Operasi pembersihan semua pantai yang terjejas akibat tumpahan minyak berkemungkinan akan selesai dalam tempoh sekitar sebulan, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu di Parlimen pada 7 Ogos.
Beliau menjawab soalan Encik Dennis Tan (Hougang) mengenai status usaha pembersihan susulan kejadian tumpahan minyak di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun lalu.
“Fasa pertama telah selesai dan fasa kedua, yang tertumpu di kawasan yang sukar dibersihkan, sedang dijalankan dengan baik. Beberapa operasi pembersihan pantai telah mara ke fasa terakhir di mana sukarelawan dikerahkan untuk membantu,” kata Cik Fu.
Fasa pertama pembersihan tertumpu pada usaha menghapuskan tompokan minyak dan pasir tercemar dari permukaan pantai yang terjejas dan menggunakan pelampung untuk mengelakkan pencemaran selanjutnya.
Fasa seterusnya bertujuan mengeluarkan minyak dari kawasan yang sukar dibersihkan seperti bongkah batu, benteng pemecah ombak dan minyak yang terperangkap lebih dalam di dalam pasir.
Pada fasa akhir, kawasan pantai akan diperiksa bagi mengeluarkan “bola tar” iaitu tompokan kecil minyak yang telah mengeras dan bercampur dengan pasir.
Menjawab soalan susulan oleh Encik Tan berkenaan jumlah perbelanjaan yang ditanggung, Cik Fu berkata pemerintah belum menjumlahkan perbelanjaan kerana perhatian setakat ini tertumpu kepada operasi pembersihan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg