Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, telah meminta untuk meletak jawatan daripada pejabat politik atas sebab-sebab keluarga berkuat kuasa 1 Jun.

Dalam satu kenyataan pada 22 Mei, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menerima peletakan jawatannya.

“Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Dr Koh atas khidmatnya selama sedekad sebagai pemegang jawatan politik, dan atas sumbangannya merentasi pelbagai portfolio,” kata PMO.

Kenyataan itu turut menambah bahawa Dr Koh akan terus berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan undi Tampines Central di GRC Tampines.

Dr Koh berkata dalam catatan Facebook pada 22 Mei bahawa keputusannya untuk meletak jawatan daripada jawatan politik “dibuat selepas banyak pertimbangan dan perbincangan dengan keluarga” dan “ia dibuat dengan hati yang berat”.

Beliau berkata berkhidmat sebagai pemegang jawatan politik merupakan salah satu penghormatan terbesar dalam hidupnya.

“Saya bersyukur atas peluang untuk menyumbang kepada Singapura merentasi pelbagai kementerian dan gerakan pekerja dan membuat perubahan sebagai sebahagian daripada pasukan yang dinamik.

Dalam kenyataan itu juga, Dr Koh mengucapkan terima kasih kepada Encik Wong atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepadanya untuk memegang jawatan politik yang lebih tinggi.

Namun, Dr Koh berkata beliau telah menjadi seorang “suami, bapa dan anak yang tidak hadir” sejak menceburi politik “meletakkan keperluan Singapura dan pengundi saya melebihi keluarga saya”.

“Sudah terlalu lama isteri saya memikul banyak beban di rumah, sering terpaksa menjaga ibu bapa dan anak-anak kami seorang diri.

“Buat masa ini, keluarga saya memerlukan perhatian saya dengan cara yang tidak sepadan dengan tuntutan pejabat politik,” tambah Dr Koh.

Dr Koh berkata beliau akan mengambil masa beberapa bulan akan datang untuk meluangkan sedikit masa bersama keluarganya dan mempertimbangkan langkah seterusnya.

Dalam catatan Facebook pada 22 Mei, Encik Wong berkata beliau amat berterima kasih atas sumbangan Dr Koh selama bertahun-tahun kepada pemerintah dan kepada Singapura.

“Walaupun saya sedih kehilangan anggota pasukan yang berdedikasi, saya memahami hasratnya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya, dan telah menerima permintaannya.

“Saya gembira beliau akan terus berkhidmat kepada penduduknya di Tampines Central dan menyumbang di Parlimen,” kata Dr Wong dalam catatannya itu.

Encik Wong berkata beliau telah mengenali Dr Koh sejak bertahun lamanya, dan melihat sendiri pendekatan beliau (Dr Koh) yang penuh pertimbangan dan penelitian rapi kepada isu, dan bagaimana beliau jaga peka untuk memperbaiki kehidupan rakyat.

Dalam kenyataan PMO juga, PM Wong turut mengucapkan terima kasih kepada Dr Koh atas sumbangan beliau merentasi pelbagai portfolio.

Ini termasuk di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Kementerian Kesihatan (MOH), Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), MND, dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).

“Di MND dan MSE, beliau menerajui usaha untuk mengembangkan sektor agri-makanan, memperkukuh keselamatan dan sekuriti makanan, serta menambah baik amalan kemampanan.

“Merentasi pelantikannya di MTI, MOM, dan NTUC, Dr Koh bekerja keras untuk memperkukuh sokongan bagi perniagaan, pekerja dan rakyat Singapura yang bergaji rendah”, tambah PMO.

PMO menambah Dr Koh telah berusaha untuk memperkukuh ekosistem perusahaan, memastikan pekerja mendapat manfaat daripada transformasi perniagaan, membantu mengembangkan Model Gaji Progresif (PWM) dan memajukan perlindungan untuk pekerja platform antara lain.

Di MOH pula, PMO berkata Dr Koh telah menggunakan pengalaman klinikalnya untuk membantu membentuk dasar-dasar yang berpandangan ke hadapan.

Beliau telah menyumbang kepada usaha untuk memastikan penjagaan kesihatan mampu milik dan mudah diakses, memperkukuhkan penjagaan pencegahan melalui inisiatif seperti Healthier SG atau SG Lebih Sihat, dan Age Well SG atau Sihat Menua SG, tambah PMO.

Dr Koh, seorang pakar bedah kolorektal, mula menceburi politik pada 2013, apabila beliau bertanding untuk pilihan raya kecil Punggol East 2013, yang dicetuskan oleh peletakan jawatan Speaker Parlimen dan AP kawasan itu, Encik Michael Palmer atas sebab kecuaian peribadi.

Namun, Dr Koh tewas dalam pertarungan empat penjuru kepada calon Parti Pekerja (WP), Cik Lee Li Lian dengan peratusan undi sebanyak 43.73 peratus berbanding Cik Lee yang meraih 54.50 peratus undi.

Beliau akhirnya dipilih ke Parlimen dalam GE 2015 sebagai sebahagian daripada pasukan GRC Ang Mo Kio, dan dilantik ke jawatan politik sejurus selepas itu pada 2016.