Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Dr Charlene Chen, baru-baru ini mencuri perhatian netizen selepas memuat naik video di Instagram dan TikTok yang memaparkan dirinya menjalani latihan dikir barat dalam diam sebelum membuat persembahan kejutan sempena satu acara Hari Raya.

Video tersebut menunjukkan beliau berlatih bersama kumpulan dikir barat Merpati Puteh 27 sebagai persiapan untuk persembahan istimewa sewaktu acara ‘Riuh Raya’ di Kelab Masyarakat (CC) Tampines East pada 4 April.

Berkongsi pengalamannya melakukan persembahan dikir barat buat kali pertama, Dr Chen, yang juga naib pengerusi Majlis Bandaran Tampines, memberitahu Berita Harian (BH):

“Saya sentiasa suka menonton dikir barat. Ia merupakan satu seni yang penuh keceriaan, bertenaga, dan membangkitkan semangat.

“Jadi apabila peluang itu muncul, saya fikir kepada diri sendiri, ‘Apa kata saya keluar dari zon selesa dan turut mengambil bahagian?’”

“Acara kemasyarakatan di Singapura adalah tentang menyatukan orang ramai, dan saya berharap (persembahan) ini juga menjadi satu kejutan kecil untuk para penduduk, sebagai tanda penghargaan atas kehadiran mereka, serta untuk mencipta satu detik kegembiraan bersama.”

Dalam video yang dimuat naik beliau, Dr Chen kelihatan duduk bersila sambil berlatih melakukan ragam dikir barat seperti bertepuk tangan dan menggerakkan tubuh bersama para anggota Merpati Puteh 27.

Menurutnya, anggota kumpulan itu membimbing beliau mempelajari asas persembahan tradisional tersebut sebelum tampil di pentas.

Beliau menambah bahawa pergerakan seperti ‘melukis pelangi’, ‘lap meja’, dan ‘mengibarkan layang-layang’ telah membantunya mengingati langkah asas tersebut.

Dalam video yang sama, Dr Chen juga kelihatan berpakaian baju Melayu dan melakukan persembahan dikir barat di atas pentas semasa acara tersebut bersama anggota Merpati Puteh 27 yang lain.

Beliau berkata seni tradisional itu membantunya untuk berhubung dengan para penggiat dikir barat dan para penduduk secara lebih mendalam.

“Apabila orang melihat anda mencuba sesuatu yang baharu dan menghayati budaya mereka, ia mewujudkan satu bentuk ikatan yang berbeza.

“Saya juga rasa ia menggalakkan semua orang untuk lebih bersantai, berseronok, dan menikmati detik itu bersama-sama.

“Itulah makna sebenar kemasyarakatan, iaitu meraikan budaya dan pengalaman antara satu sama lain,” terangnya.