Topik diikuti
Pergi ke BHkuPoliklinik latih kakitangan barisan hadapan santuni individu keperluan intelektual mulai 2027
Poliklinik latih kakitangan barisan hadapan santuni individu keperluan intelektual mulai 2027
Usaha ke arah jadikan penjagaan kesihatan lebih terangkum
Poliklinik latih kakitangan barisan hadapan santuni individu keperluan intelektual mulai 2027
Kakitangan barisan hadapan seperti pegawai khidmat pelanggan di semua poliklinik akan menerima latihan untuk menyokong golongan yang mengalami autisme dan keperluan intelektual dengan lebih baik mulai 2027.
Latihan tersebut merangkumi kemahiran berkomunikasi secara berkesan supaya kakitangan barisan hadapan dapat memberi tindak balas dan layanan sesuai kepada golongan ini, misalnya memberi keutamaan dalam menunggu giliran.
Demikian saranan Pasukan Petugas Jaminan bagi Keluarga dengan Orang Kurang Upaya yang diterbitkan dalam satu laporan pada 4 Oktober.
Ia antara lain mengetengahkan usaha bagi meningkatkan keupayaan orang kurang upaya ke arah menjalani kehidupan berdikari dan lebih terangkum.
Laporan itu menambah bahawa tiga poliklinik di setiap kelompok kesihatan di sini juga akan mempunyai sokongan khusus bagi golongan sedemikian menjelang 2028.
Terdapat tiga kelompok kesihatan secara keseluruhan dengan setiap satu dikendalikan oleh SingHealth, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan NHG Health.
Sokongan tersebut merangkumi antara lain tempoh lebih lama ketika berjumpa doktor atau pakar, dan penglibatan lebih rapat antara anggota keluarga orang kurang upaya dengan kakitangan kesihatan, jelas laporan tersebut.
Ia turut mendapati penjaga dan orang kurang upaya bimbang sama ada mereka dapat melibatkan diri bersama masyarakat umum, kemaslahatan kesihatan mereka dan akses kepada sokongan sekiranya keadaan mereka berubah.
Oleh itu, antara tumpuan utama adalah memperkukuh sokongan terhadap akses perkhidmatan penjagaan kesihatan, kata Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam.
Bercakap dalam sidang media di Enabling Village pada 2 Oktober bagi membentangkan saranan pasukan petugas, Cik Rahayu menyatakan tumpuan diberikan kepada individu berkeperluan intelektual dan autisme kerana keadaan mereka sukar dikesan pada pandangan mata kasar.
Beliau menyifatkan langkah yang bakal diperkenalkan itu sebagai “satu anjakan besar” dan bersifat amali, namun beberapa pertimbangan harus diambil kira.
“Persoalannya kini adalah bagaimanakah kami dapat melaksanakannya secara berkesan – iaitu memastikan perkhidmatan terus berjalan lancar sambil menyediakan penyesuaian yang sewajarnya?
“Ia memerlukan kakitangan terlatih untuk mengendalikan situasi yang sukar, memandangkan keadaan boleh menjadi agresif atau sangat mencabar.
“Oleh itu, menyediakan latihan yang betul dan membangunkan keupayaan adalah langkah penting sebelum kami melaksanakan inisiatif-inisiatif tersebut,” ujarnya.
Usaha sedemikian dilakukan di bawah teras membantu individu kurang upaya agar kekal sihat – teras lain termasuk memperluas sokongan dan peluang penglibatan masyarakat, dan membina masyarakat lebih terangkum, tambah laporan itu.
Kesemua teras ini bertujuan membantu golongan kurang upaya dan keluarga mereka menjalani kehidupan yang lebih sejahtera dalam masyarakat.
Selain usaha melatih kakitangan barisan hadapan dan sokongan khusus di tiga poliklinik, laporan itu menambah bahawa Kementerian Kesihatan (MOH) dan agensi sosial SG Enable akan melancarkan Pasport Komunikasi Kesihatan (HCP) mulai 2027.
HCP ialah dokumen yang mengandungi maklumat bagaimana individu dengan keperluan intelektual atau autisme ingin berkomunikasi, iaitu sama ada secara lisan, secara bertulis atau dengan bantuan alat visual.
“Ia akan membolehkan kakitangan penjagaan kesihatan untuk memahami dan menyokong individu sedemikian dengan lebih baik dan mengurangkan keperluan untuk pesakit dan penjaga mereka menjelaskan maklumat sama berulang kali di lokasi berbeza,” tambah laporan itu.
Sehubungan itu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), SG Enable dan Kementerian Pendidikan (MOE) akan mempergiat usaha di sekolah dan tempat kerja bagi memupuk pemahaman, keyakinan dan kemahiran untuk berinteraksi secara bermakna dengan orang kurang upaya, kata MSF dalam satu kenyataan pada 4 Oktober.
Masyarakat awam juga akan dilengkapkan dengan kemahiran berinteraksi dengan golongan kurang upaya dalam kehidupan harian menerusi usaha sama MSF dan SG Enable, bagi membina masyarakat yang lebih bersifat terangkum.
Bagi memperluas sokongan dan penglibatan masyarakat, laporan itu menyatakan MSF akan menambah 1,300 tempat lagi di Pusat Kegiatan Siang Hari (DAC) serta bengkel terlindung, iaitu program bimbingan kerjaya, menjelang 2030.
Ini sebagai tambahan kepada 1,000 tempat baharu yang diumumkan sebelum ini pada 2024, menjadikan jumlah keseluruhan kepada sekitar 5,800 tempat.