Poliklinik ke-10 di bawah rangkaian Poliklinik Singhealth (SHP) telah dibuka secara rasmi kepada penduduk Tampines North oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada Jumaat.
Terletak di persimpangan antara Tampines Avenue 6 dengan Tampines Street 6, Poliklinik Tampines North, yang setinggi empat tingkat itu, menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyeluruh dan holistik, kata SHP dalam satu kenyataan.
Semasa ditemui media, Dr Sabrina Wee, Pengarah Klinik, Poliklinik Tampines North, menonjolkan satu ciri unik poliklinik baru itu – ia bersedia menghadapi ancaman pandemik.
Klinik itu akan menggunakan roller shutter atau pintu gulung, yang akan membahagikannya kepada dua bahagian, untuk memisahkan pesakit yang tidak sihat dengan pesakit yang sihat.
Ia turut menawarkan perkhidmatan utama seperti perubatan pesakit luar, rawatan bagi penyakit kronik dan akut, perkhidmatan kesihatan wanita dan kanak-kanak, imunisasi, khidmat kesihatan bersekutu seperti fisioterapi, podiatri dan dietetik, serta khidmat diagnostik dan radiologi, tambah SHP.
Mengenai model penjagaan yang diterapkan polikinik itu, Dr Wee menambah:
“Dengan My Care Team atau Pasukan Penjagaan Saya (MCT), setiap pesakit akan menerima pelan penjagaan peribadi dan dibantu oleh pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada doktor, jururawat, dan kakitangan sampingan dan pentadbiran.
“Pasukan pelbagai bidang disiplin ini akan bekerja di ruang yang sama, bagi memudahkan komunikasi dan kerjasama.”
Menurut Dr Wee lagi, poliklinik yang dijangka menerima sebanyak 500 hingga 700 pesakit setiap hari itu menggunakan sistem automasi supaya dapat menyediakan pengalaman lebih mudah dan baik kepada pesakit.
“Pesakit juga boleh mengurangkan masa menunggu dengan menggunakan Stesen Layan Diri yang terletak di sekitar poliklinik untuk membuat pendaftaran, janji temu dan bayaran semasa kunjungan mereka.
“Aplikasi Health Buddy SingHealth juga boleh digunakan untuk melakukan semua transaksi tersebut menerusi telefon bimbit mereka walau di mana sekalipun mereka berada,” kata SHP.
Dr David Ng, Ketua Pegawai Eksekutif SHP, menambah: “Kami sedang memperluas khidmat konsultasi video SHP (ViCON) untuk memanfaatkan teknologi bagi memperkasa pesakit untuk memantau sendiri tekanan darah dan kadar gula dalam darah mereka.”
Semasa pembukaan rasmi Poliklinik Tampines North, satu majilis penanaman pokok telah diadakan untuk menunjukkan komitmen poliklinik tersebut terhadap usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Para penderma telah dijemput menanam plak penghargaan di hadapan pokok yang telah mereka tanam, disaksikan oleh Encik Ong dan hadirin khas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg