Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis arah Meta tangani penipuan dalam talian di S’pura

Sep 3, 2025 | 3:48 PM
Goh Pei Ming, Meta, polis, S’pura
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming. - Foto ZAOBAO

Buat julung kalinya, polis akan mengeluarkan arahan kepada platform dalam talian bagi menangani penipuan di Singapura, dengan denda maksimum sehingga $1 juta.

Dalam satu langkah tegas, arahan pelaksanaan kepada syarikat teknologi Meta – yang mengendalikan Facebook – bertujuan memerangi penipuan, termasuk penipuan penyamaran pegawai pemerintah (Gois).

Syarikat itu perlu melaksanakan langkah menangani iklan penipuan, akaun, profil, dan halaman perniagaan yang meniru pegawai pemerintah kanan di Facebook, lapor The Straits Times (ST).

Jika Meta gagal mematuhi, ia boleh didenda sehingga $1 juta.

Ini adalah arahan pelaksanaan pertama yang dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan dalam talian di Singapura di bawah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (OCHA) sejak undang-undang itu dikuatkuasakan pada Februari 2024.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, mengumumkan perkara ini pada 3 September semasa ucapannya di Sidang Kemuncak Anti-Penipuan Asia Global, yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec, Singapura.

Menyedari peningkatan penipuan Gois, Encik Goh berkata pada hari kedua sidang kemuncak bahawa langkah lebih tegas ini dilaksanakan kerana Facebook merupakan platform utama yang digunakan oleh penipu.

Beliau menambah: “Polis telah menilai bahawa tindakan lebih tegas diperlukan untuk membendung penipuan ini.”

Statistik pertengahan tahun polis yang dikeluarkan pada 30 Ogos menunjukkan kes Gois meningkat hampir tiga kali ganda, dengan 1,762 kes dilaporkan dalam separuh pertama 2025 berbanding 589 kes dalam tempoh sama 2024.

Mangsa mengalami kerugian sebanyak $126.5 juta dalam enam bulan pertama 2025, meningkat 90 peratus berbanding $67.2 juta dalam enam bulan pertama 2024.

Beberapa akaun atau pos di Facebook yang meniru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan mantan Menteri Pertahanan, Encik Ng Eng Hen muncul awal 2025.

Encik Wong pernah memberi amaran kepada orang ramai pada Mac mengenai iklan palsu di Facebook yang menggunakan teknologi ‘deepfake’ atau gambarnya untuk menjual mata wang kripto, skim buat duit mudah, atau perkhidmatan permohonan penginapan tetap.

Encik Goh berkata pemerintah sedang meningkatkan langkah menentang penipuan penyamaran sebegini, dan akan terus bekerjasama rapat dengan Meta untuk memerangi penipuan tersebut.

“Perang menentang penipuan kekal sebagai keutamaan nasional, dan menangani ancaman ini memerlukan pendekatan menyeluruh kerana Singapura adalah sasaran penipuan yang menarik,” tambah Encik Goh.

Beliau menyenaraikan empat langkah termasuk mengambil langkah awal menghalang penipuan; menggalakkan laporan dan pengesanan penipuan; mengambil tindakan tegas terhadap penipu dan mendapatkan semula hasil penipuan; serta pendidikan awam.

Pengarah Pengurusan Produk Meta, Encik Maxime Prades, berkata bahawa syarikat tersebut telah melindungi hampir 500,000 tokoh awam di seluruh dunia dengan teknologi pengecaman wajah.

Encik Prades menyatakan bahawa ini telah mengurangkan iklan ‘umpan selebriti’, walaupun tidak menyebut sama ada ia termasuk penipuan yang melibatkan anggota politik.

Beliau menambah pada 2024, Meta telah mengeluarkan lebih 157 juta iklan penipuan secara global, dengan 90 peratus dikesan dan dikeluarkan oleh syarikat sebelum pengguna melaporkannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg