Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis beri amaran kes tipu mohon PR, babit rugi hampir $400,000
Polis beri amaran kes tipu mohon PR, babit rugi hampir $400,000
Polis beri amaran kes tipu mohon PR, babit rugi hampir $400,000
Mangsa penipuan dalam talian yang mendakwa menawarkan bantuan permohonan status Penduduk Tetap Singapura (PR) telah mengalami kerugian hampir $400,000 setakat 2026.
Pihak polis, dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada 22 April, menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan sebegini.
Sejak 1 Januari, sekurang-kurangnya 24 kes telah dilaporkan, dengan jumlah kerugian terkumpul mencecah kira-kira $397,000.
Menurut pihak polis, mangsa lazimnya menemui iklan atau hantaran palsu di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, yang menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan status PR di Singapura.
Penipu akan memperdaya mangsa untuk membayar yuran permohonan dan caj tambahan.
Alasan yang diberikan termasuk meningkatkan peluang kejayaan melalui pelaburan dalam syarikat, pembelian sijil akademik, serta derma.
Bagi mengukuhkan penipuan, dokumen palsu mungkin diberikan.
Ini termasuk sijil pemegang saham yang dipalsukan, kononnya dikeluarkan oleh Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), serta sijil sekolah dan resit sumbangan palsu.
Mangsa kemudian diarahkan untuk melakukan pindahan wang melalui bank, atau bertemu dengan pihak yang tidak dikenali bagi menyerahkan wang tunai.
Selain itu, sesetengah mangsa menerima dokumen palsu mengenai status permohonan PR mereka, yang kelihatan seperti dihantar oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan secara langsung dengan ICA, kata pihak polis.
Pada Mac, ICA telah memberi amaran tentang surat palsu berkaitan permohonan PR Singapura yang kononnya dikeluarkan olehnya, selain amaran mengenai invois cukai palsu yang meminta pembayaran.
“Orang ramai tidak seharusnya memindahkan wang atau menyerahkan wang tunai kepada pihak yang tidak dikenali,” tegas pihak polis.
Mereka menambah bahawa orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk melindungi diri daripada penipuan, antaranya:
– Muat turun aplikasi ScamShield untuk melindungi daripada panggilan dan SMS penipuan.
– Semak kesahihan mesej, nombor telefon dan pautan laman web yang mencurigakan melalui aplikasi ScamShield atau laman webnya www.scamshield.gov.sg
– Maklumkan pihak berkuasa, keluarga dan rakan tentang penipuan.
– Segera laporkan sebarang urusan kewangan yang mencurigakan kepada bank.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Bantuan ScamShield di 1799.
