Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih $379,000 lesap sejak Mei ekoran penipu samar sebagai pegawai MOM

Jun 3, 2025 | 5:18 PM
MOM, scam
Polis mengingatkan orang ramai bahawa pegawai pemerintah tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang, mendedahkan maklumat bank, memuat turun aplikasi daripada ‘App Store’ tidak rasmi, atau memindahkan panggilan kepada polis. - Foto fail

Sekurang-kurangnya $379,000 telah lesap sejak Mei akibat penipuan oleh individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Polis pada 3 Jun berkata jumlah kerugian itu dikaitkan dengan sekurang-kurangnya enam kes.

Dalam penipuan itu, mangsa akan menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MOM.

Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa mereka telah menggajikan pekerja yang terbabit dalam kegiatan jenayah atau isu berkaitan imigresen – termasuk pengubahan wang haram, permit kerja atau visa yang telah tamat tempoh, serta kesalahan tinggal di Singapura melebihi tempoh yang dibenarkan.

Apabila mangsa menafikan mereka pernah menggaji pekerja sebegitu, panggilan itu akan dipindahkan kepada seorang lagi individu yang mendakwa dirinya sebagai pegawai pemerintah, seperti polis atau pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Penipu kedua itu akan mengatakan bahawa mangsa telah terlibat dalam kegiatan jenayah.

Mangsa kemudian diminta membuat pemindahan wang atau menyerahkan wang tunai kepada penipu bagi tujuan ‘siasatan’ dan ‘penjagaan keselamatan’, lapor The Straits Times (ST).

Selain itu, mangsa turut diarahkan mengisytiharkan aset kewangan mereka, membuat laporan kepada penipu setiap hari dan dilarang bercakap dengan sesiapa mengenai perkara tersebut.

Penipuan itu terbongkar apabila penipu tersebut tidak dapat dihubungi atau mangsa sendiri mengesahkan situasi mereka dengan polis melalui saluran rasmi.

Terdapat juga laporan bahawa penipu memberitahu mangsa mereka boleh menyemak identiti pegawai pemerintah melalui Direktori Pemerintah Singapura (SGDI).

Namun, polis menegaskan platform SGDI tidak digunakan untuk tujuan tersebut.

Pegawai pemerintah tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang, mendedahkan maklumat bank, memuat turun aplikasi daripada App Store tidak rasmi, atau memindahkan panggilan kepada polis.

Bagi maklumat lanjut atau jika ada keraguan, hubungi talian polis di 1800-255-0000. Bagi bantuan segera, hubungi 999.

Borang laporan polis rasmi boleh dihantar secara dalam talian di www.police.gov.sg/i-witness.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg