Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis beri amaran penipuan subsidi rumah Johor-Singapura

Sep 4, 2025 | 5:30 PM
Iklan tersebut mengandungi pautan yang akan membawa mangsa ke WhatsApp, di mana mereka akan berkomunikasi dengan penipu.
Iklan tersebut mengandungi pautan yang akan membawa mangsa ke WhatsApp, di mana mereka akan berkomunikasi dengan penipu. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Polis memberi amaran kepada orang ramai agar berhati-hati dengan penipuan yang melibatkan Inisiatif Subsidi Perumahan Johor-Singapura.

Dalam penipuan seperti ini, mangsa akan menemui iklan seperti “JBSG Housing Subsidy Program” (Program Subsidi Perumahan JBSG) atau “Free Homes Across the Causeway” (Rumah Percuma di Seberang Koswe) di platform dalam talian, seperti Facebook, yang menyentuh tentang apa yang didakwa kerjasama antara pemerintah Singapura dengan Johor dalam menyediakan perumahan bersubsidi, kata polis dalam satu kenyataan pada 4 September.

Iklan tersebut juga mengandungi pautan terbenam bagi pihak yang berminat memohon.

Pautan itu mengarahkan mangsa ke platform pesanan WhatsApp di mana mereka akan berkomunikasi dengan penipu, tambah polis, lapor The Straits Times (ST).

Pautan itu juga akan diberikan kepada mangsa untuk mengisi maklumat peribadi mereka, seperti nombor kad pengenalan Singapura, alamat rumah dan e-mel, antara lain.

Dalam beberapa kes, mangsa diminta agar membuat pemindahan wang dalam talian untuk bayaran guaman dan duti setem kepada penipu, atau menyerahkan wang tunai secara fizikal kepada individu yang tidak dikenali, kata polis.

Dalam satu kejadian, dokumen dengan tanda tangan palsu Perdana Menteri Singapura dan Malaysia juga digunakan, tambah polis.

“Polis ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa maklumat mengenai inisiatif ini adalah palsu, dan pemberian maklumat peribadi boleh disalahgunakan untuk tujuan penipuan,” kata polis.

Pihak polis juga menggesa orang ramai agar tidak memberikan maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali dan tidak memindahkan wang atau menyerahkan barang berharga lain kepada mereka.

Hampir setengah bilion dolar hilang akibat penipuan pada separuh pertama 2025, dengan hampir 20,000 kes dilaporkan di Singapura.

Kerugian sebanyak $456.4 juta, antara Januari dengan Jun 2025, adalah satu kemerosotan daripada $522.4 juta yang hilang dalam tempoh yang sama pada 2024.

Sekitar 1,000 mangsa kehilangan lebih $100,000 pada separuh pertama 2025, berbanding sekitar 700 mangsa dalam tempoh yang sama pada 2024.

Mata wang kripto membentuk sebahagian besar kerugian penipuan, dengan jumlah lebih $81 juta dicatat pada separuh pertama 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg