Sekurang-kurangnya $622,000 telah hilang akibat penipuan pancing data melibatkan pembeli palsu di wadah dalam talian dalam dua bulan kebelakangan ini.
Dalam satu kenyataan pada 29 Disember, polis memaklumkan sekurang-kurangnya 223 kes penipuan seumpama itu telah dilaporkan sejak 1 November.
Polis menggesa orang ramai supaya terus berwaspada.
Menurut polis, mangsa penipuan adalah mereka yang meletakkan barangan untuk dijual di wadah dalam talian, kemudian didekati penipu yang menyamar sebagai seseorang yang berminat untuk membeli.
Penipu kemudian menghantar pautan pancing data kepada mangsa sebagai helah untuk urusan pembayaran atau penghantaran barangan tersebut.
Selepas membuka pautan tersebut, mangsa diminta untuk memasukkan maklumat peribadi mereka, termasuk butiran bank dan kad.
Mangsa hanya menyedari mereka telah ditipu apabila mendapati urus niaga tidak sah dibuat pada kad bank mereka.
Ini termasuk pemindahan wang ke penyedia perkhidmatan mata wang kripto luar negara seperti Binance, BTCC dan ByBit, lapor The Straits Times (ST).
Dalam kenyataan mereka, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika menjual barangan di platform dalam talian, terutamanya jika pembeli meminta maklumat perbankan atau butiran kad melalui pautan mencurigakan.
Orang ramai tidak seharusnya memberi butiran perbankan, butiran kad atau maklumat sulit lain kepada individu yang tidak dikenali, tambah polis.
Penjual yang meletakkan barangan untuk dijual secara dalam talian juga sangat digalakkan untuk bertemu pembeli secara bersemuka bagi melengkapkan urus niaga.
Bagi maklumat lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh melayari www.scamshield.gov.sg.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg