Lima anak patung Labubu bernilai kira-kira $300 dilaporkan dicuri di Yishun selepas tiga budak lelaki dilihat mencondongkan mesin cekau pada pagi 18 November.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST), polis mengesahkan mereka dimaklumkan dan sedang menyiasat kejadian yang berlaku di luar sebuah kedai haiwan peliharaan di Blok 930 Yishun Central 1.
Encik Derrick He, pemilik Little Pets Kingdom dan mesin cekau tersebut, berkata beliau sedari wayar di atas mesin itu terkeluar dari palang di atas ketika dia tiba di tempat kerja pada 9.30 pagi.
Setelah memeriksa lebih teliti, beliau mendapati lima daripada 11 anak patung Labubu daripada ‘The Monsters Tasty Macarons Series’ hilang dari mesin itu.
Rakaman kamera CCTV yang dilihat oleh ST menunjukkan tiga budak lelaki bermain dengan mesin cekau itu pada kira-kira 6.30 pagi, tetapi tidak berjaya menangi anak patung tersebut.
Dua daripada mereka kemudian dilihat memegang mesin cekau itu di sisi bertentangannya dan cuba mencondongkannya.
Dalam percubaan lain kira-kira 7 pagi, dua budak lelaki itu dilihat mencondongkan mesin tersebut ke satu sisi, manakala budak ketiga mengangkatnya sedikit dari lantai.
Pada satu ketika, ketiga-tiga budak itu hampir meletakkan mesin tersebut mendatar di atas lantai sebelum mendirikannya semula. Salah seorang daripada mereka dilihat memasukkan tangannya ke dalam ruang yang mengeluarkan anak patung tersebut.
Encik He, 52 tahun, berkata beliau terkejut apabila melihat rakaman tersebut. Mesin itu menarik dua kali ganda jumlah pengunjung biasa selepas beliau letakkan 11 anak patung ke dalamnya kira-kira 10 hari lalu.
Beliau berkata beliau akan terus meninggalkan anak patung yang masih ada di dalam mesin itu walaupun selepas kejadian tersebut.
Dijual pada harga $24.90 di laman web rasmi Pop Mart, anak patung siri itu sudah habis dijual dalam talian di Singapura, dengan penjual semula mengenakan harga hingga $65 setiap anak patung.
Anak patung Labubu menjadi viral di seluruh dunia apabila Lisa daripada kumpulan Blackpink, memuat naik gambar beliau bersama anak patung itu pada April.
Anak patung itu sangat laris, dan peminat sanggup membayar dua kali ganda harga untuk membelinya daripada penjual semula.
Pada Oktober, seorang bapa dan dua anaknya dirakam mencuri anak patung Labubu bernilai $100 di sebuah kedai mesin cekau di Sim Lim Square, menurut AsiaOne.
Pada awal November, seorang jurucakap Plaza Singapura berkata laporan polis telah dibuat terhadap sebuah halaman Facebook yang berpura-pura menjadi milik pusat beli-belah itu.
Halaman media sosial palsu itu mempromosikan jualan anak patung Labubu edisi terhad dengan diskaun.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg