Antara frasa terhangat di banyak platform media sosial ialah “teras pembelian berpada-pada” (underconsumption core).
Di sini orang ramai digalakkan supaya berhenti membeli barangan berlebihan dan sebaliknya, menggunakan sepenuhnya apa yang ada dan beli hanya apa yang diperlukan.
Golongan muda di seluruh dunia mula memahami bahawa tahap penggunaan selebriti dan pempengaruh tidak sesuai dengan hakikat hidup kebanyakan orang dengan gaji purata.
Di Singapura, kita telah melihat anak muda Singapura mengamalkan gaya hidup ini.
Ia juga mencerminkan keperluan mereka mengurangkan perbelanjaan di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.
Bagaimanapun, kebangkitan ini menentang kuasa budaya yang telah tertanam mendalam.
Landskap pengguna Singapura direka bentuk untuk merangsang penggunaan berlebihan dan satu-satunya cara mengubahnya adalah dengan mengubah secara asas sikap kita terhadap penggunaan.
Yang menimbulkan persoalan: Adakah pembelian berpada-pada akan menjadi amalan yang berkekalan di Singapura, atau sekadar trend mikro tingkah laku sekejap sahaja?
Berapa ramai antara kita yang telah melakukan perkara ini: Beratur mengelilingi pusat beli-belah untuk mendapatkan edisi terbaru beg yang sangat popular?
Atau tergesa-gesa mendapatkan kasut terkini?
Bagaimana pula dengan membeli kotak misteri patung setiap minggu, termasuk patung ‘Labubu’ kegilaan baru-baru ini yang dipopularkan oleh Lisa, ahli kumpulan gadis K-Pop Blackpink?
Tingkah laku ini sememangnya ekoran budaya kiasu yang sangat dibanggakan Singapura – takut ketinggalan.
Dari satu segi, walaupun ia memainkan peranan dalam identiti kita, pemikiran kiasu ini membuat kita bersaing dengan orang lain, dengan membeli.
Membeli sesuatu tanpa berfikir ini timbul ekoran kebimbangan bahawa tidak melanggan sesuatu yang terbaru akan mengurangkan daya tarikan sosial kita.
Maksud saya, kita seperti tidak menyertai kumpulan popular, yang dalam masyarakat Asia boleh menjadikan kita seperti orang luar.
Satu lagi penyumbang kepada mania pengguna khusus Singapura ialah kalendar tawaran jualan murah yang tidak berkesudahan daripada syarikat dan jenama utama.
Pada masa lalu, perusahaan runcit dan pengguna Singapura sebahagian besarnya akan mengambil bahagian dalam Jualan Raksasa Singapura, yang dianjurkan Persatuan Peruncit Singapura bagi menggalakkan pelancongan dan perbelanjaan tambahan di daerah beli-belah utama Republik ini.
Hari ini, kita dimanjakan dengan pilihan jualan murah bulanan seperti 6.6 dan 11.11 dan jualan murah sempena cuti utama seperti Hari Kebangsaan – dengan item berwarna merah atau putih kadangkala banyak dipotong harga.
Pembelian yang biasanya tidak akan dibuat berlaku juga kerana tawaran penjimatan yang tidak dapat ditolak.
Banyak perniagaan tempatan menawarkan penghantaran ekspres.
Pemberitahuan dalam talian yang berterusan juga mungkin mendorong pengguna membeli-belah dengan lebih kerap kerana kepuasan yang diterima hilang secepat ia datang.
Satu kajian pada 2023 menyokong hal ini, dengan 60 peratus rakyat Singapura membuat pembelian sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Purata rakyat Singapura juga membelanjakan $182.20 setiap pesanan pada 2023, peningkatan hampir $5.30 daripada tahun sebelumnya.
Kemudian, terdapat sikap bahawa kejayaan di Singapura disamakan dengan apa yang anda miliki, berapa banyak yang anda miliki dan dari mana barang-barang ini dibeli.
Orang ramai tergoda untuk membeli barangan berjenama, sama ada mewah atau yang biasa, supaya mereka kelihatan “berjaya”.
Dalam kajian penyelidikan pada 2019, 55 peratus responden berasakan orang yang berwajah cantik atau tampan cenderung untuk lebih berjaya.
Anda mungkin tidak dapat mengubah penampilan fizikal anda, tetapi anda boleh mengawal apa yang anda pakai sebagai daya tarikan – hingga mendorong pembelian berlebihan.
Beli-belah barangan vintaj, yang pernah menjadi sumber alternatif untuk membeli-belah mengikut bajet – terutama bagi golongan muda – dan yang menyumbang kepada ekonomi kitaran semula, kini menjadi mahal bagi ramai orang.
Dari beberapa segi, ia menghasilkan pembelian lebih daripada keperluan dan bukannya menyumbang kepada ekonomi kitaran.
Sebahagian sebab peningkatan perbelanjaan adalah kesan perubahan trend.
Budaya belia pula banyak dipengaruhi ‘estetika’ yang berubah pantas di media sosial.
Satu lagi penyumbang kepada tabiat penggunaan tempatan ialah rutin koleksi terbaru yang keluar setiap minggu – model perniagaan untuk beberapa jenama e-dagang tempatan yang memenuhi keperluan wanita.
Banyak jenama sedemikian sangat bergantung pada pempengaruh untuk mempamerkan produk mereka dan menampakkan gaya hidup dan status mewah.
Dalam tinjauan Rakuten Insight pada 2023 ke atas pempengaruh media sosial, hampir 50 peratus responden Singapura menyatakan bahawa mereka “membeli item atau produk kerana ia telah diakui oleh pempengaruh”.
Jika orang ramai mula melihat pempengaruh sebagai menikmati kehidupan mewah yang tidak boleh dicapai, namun masih terpengaruh dengan barangan yang mereka promosikan setiap minggu, bukankah kita masih mengejar kehidupan ideal itu?
Walau apa pun, pengaruh mereka mendorong penggunaan berlebihan.
Oleh itu, walaupun terdapat kesedaran semakin meningkat tentang pembelian berpada-pada di sini, jika kita ingin melihat perubahan sebenar, ia akan memerlukan peralihan asas dalam cara kita menghargai kejayaan dan keperibadian.
Hanya selepas itu, bolehlah ia menjadi amalan berkekalan dan bukan hanya satu lagi fasa sekejap dalam budaya dipacu pengguna di Singapura.
Larissa Santhana Nair bekerja dalam bidang komunikasi dengan tumpuan pada pemasaran, pengiklanan kreatif, perhubungan awam dan pengurusan jenama. Rencana ini kali pertama diterbitkan di The Straits Times.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg