Penjagaan kesihatan sentiasa menjadi topik penting kepada ramai orang – menjadikannya topik utama bagi penjenayah mencari mangsa yang kurang berwaspada.
Kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) juga mendorong penjenayah mencari helah baru untuk menjerat mangsa.
Bahkan dengan menggunakan teknologi AI, penjenayah kini berupaya menghasilkan ‘deepfake’.
‘Deepfake’ adalah satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.
Ia merupakan bahan imejan, video dan audio yang kelihatan realistik dan berupaya memperdaya mangsa supaya percaya dengan maklumat yang disampaikan.
Penjenayah lazimnya menggunakan imej, video dan teknologi pengklonan suara untuk meniru nada pertuturan dan gaya selebriti dan personaliti kesihatan popular seperti, Dr Ben Carson, Brad Pitt, Cristiano Ronaldo dan lain-lain.
Menggunakan bahan ‘deepfake’ penjenayah mencipta iklan dan tapak web palsu yang menawarkan produk kesihatan ‘ajaib’, ubat atau rawatan yang menjamin boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk barah.
Matlamat penjenayah antara lain adalah untuk menipu mangsa supaya membeli produk kesihatan yang tidak diiktiraf, mendorong mereka yang kurang berwaspada agar memberikan maklumat peribadi.
Kajian firma keselamatan siber, Bitdefender, menunjukkan ramai warga yang mempercayai kandungan ‘deepfake’.
Sebagai contoh, penyelidik Bitdefender mendapati sebuah laman palsu yang mempromosikan produk kesihatan, yang tidak diiktiraf, menarik seramai 350,000 pengikut.
Kajian itu juga mendapati peningkatan ketara dalam iklan penipuan berkaitan kesihatan, yang memanfaatkan imej, video dan audio yang dijana AI; yang mempromosikan pelbagai suplemen di wadah media sosial Facebook, Messenger dan Instagram.
Penipu menggunakan lebih 1,000 video palsu yang berbeza merentas pelbagai masyarakat termasuk masyarakat Melayu.
Sebuah iklan mencurigakan yang ditemui misalnya, memaparkan seorang wanita Melayu bertudung yang mempromosikan sebuah produk perangsang seks. Video itu disiarkan dalam bahasa Melayu.
Penyelidik turut menemui lebih 40 iklan suplemen perubatan tidak diiktiraf yang telah dipromosikan.
Kebanyakan iklan merangkumi pasaran geografi yang disasarkan dengan kandungan yang disesuaikan menggunakan nama selebriti, ahli politik, pengacara televisyen, doktor dan karyawan penjagaan kesihatan lain untuk mengumpan pengguna.
Baru-baru ini, penyanyi popular Datuk Seri Siti Nurhaliza mengeluarkan nasihat agar orang ramai berwaspada menyusuli kejadian sekumpulan penipu menggunakan teknologi AI untuk meniru suara dan wajah selebriti itu untuk mengaut keuntungan.
Selain itu, tokoh lain yang ditiru termasuk artis popular seperti, George Clooney, Denzel Washington dan Taylor Swift.
Kempen iklan palsu berasaskan ‘deepfake’ turut menyasarkan berjuta-juta pengguna di seluruh dunia termasuk Eropah, Amerika Utara, Timur Tengah, Asia dan Australia.
Kajian Bitdefender juga mendapati bahan ‘deepfake’ yang direka bentuk dan disiarkan di wadah media sosial sedang mengubah landskap.
Kemajuan teknologi hari ini, termasuk AI, membolehkan penipu meningkatkan capaian dan kadar kejayaan kegiatan penipuan mereka dengan ketara.
Ini, menjadikannya lebih sukar bagi individu dan pertubuhan mempertahankan diri daripada angkara penjenayah.
Dalam konteks penipuan kesihatan, peningkatan bahan ‘deepfake’ memberi penipu wadah baru bagi skim lama dan memberi mereka lebih banyak kredibiliti berbanding sebelum ini.
AI membolehkan penipu menyesuaikan mesej dan iklan palsu bagi memenuhi minat dan masalah kesihatan individu, dan oleh itu meningkatkan kemungkinan penglibatan dengan kandungan penipuan
Ia membolehkan penipu menghasilkan mesej yang amat meyakinkan, sempurna dari segi tatabahasa dan dalam konteks dengan iklan yang mereka siarkan melalui platform media sosial
Iklan yang disesuaikan yang dikaitkan dengan video palsu tokoh selebriti dan karyawan perubatan terkenal meningkatkan lagi kemungkinan kempen penipuan itu berjaya.
Contoh ‘deepfake’ yang dianalisis merangkumi pelbagai peringkat mutu.
Walaupun kebanyakan video menunjukkan tanda pemalsuan yang jelas, penyelidik Bitdefender mendapati banyak contoh video yang lebih sukar dikesan kepalsuannya.
Wadah media sosial membuka pintu kepada usahawan kecil dan besar (dan juga penjenayah) untuk mendekati berjuta-juta pelanggan pada kos yang rendah.
Kajian Bitdefender menunjukkan terdapat beribu-ribu laman yang mempromosikan suplemen perubatan yang palsu ataupun yang tidak diiktiraf.
Berpuluh ribu iklan media sosial juga telah dicipta oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Pihak berniat jahat menggunakan pelbagai strategi untuk mengukuhkan kewibawaan mereka dan memperdaya pengguna media sosial.
Berikut beberapa taktik yang paling banyak digunakan:
1. Penipu akan mengatakan apa sahaja untuk meyakinkan pengguna supaya membeli produk dan perkhidmatan palsu mereka. Ia termasuk frasa menarik yang direka untuk memikat dan memanipulasi emosi.
2. Menggesa individu agar membuat keputusan serta-merta dek tawaran masa terhad dan diskaun lumayan.
3. Sebarkan janji palsu untuk mengeksploitasi individu yang memerlukan dan kurang berwaspada.
4. Gunakan teknologi ‘deepfake’ untuk membuat kandungan yang meyakinkan menggunakan fakta atau maklumat palsu.
Malangnya biarpun iklan sedemikian sering mengemukakan tawaran yang terlalu baik dan tidak masuk akal, ramai individu masih menjadi mangsa bahan yang mengelirukan ini.
Ini boleh dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk kurangnya kesedaran, terlalu mempercayai sebarang maklumat dalam talian, keinginan individu mencari ubat mujarab bagi penyakit yang dihadapi.
Pengguna dinasihatkan supaya menerima nasihat hanya daripada doktor bertauliah sebelum menggunakan ubat atau produk perubatan tertentu.
Suplemen tidak diiktiraf atau palsu boleh menimbulkan risiko kesihatan yang serius dan mungkin mengandungi bahan berbahaya.
Selidik syarikat dan produk tambahan dalam talian sebelum membuat sebarang pembelian atau menyerahkan maklumat peribadi atau kad kredit anda.
Sahkan semua iklan yang ditemui di wadah media sosial, termasuk Facebook.
Waspada apabila menonton iklan perubatan. Penipu lazimnya menggunakan istilah saintifik untuk mengelirukan anda supaya membuat pembelian.
Jika anda tidak biasa dengan jenama tertentu, berbincang dengan pembekal penjagaan kesihatan anda terlebih dahulu.
Jika laman Internet masih kelihatan meyakinkan, pengguna menggunakan alat seperti WHOIS untuk menyemak tarikh pendaftaran domain dan menyelidik pihak yang menghasilkan laman tersebut.
Elak menggunakan kad debit untuk membuat pembayaran di laman yang mencurigakan.
Gunakan huraian keselamatan siber khusus dengan sistem penapisan antipancingan data dan antipenipuan untuk menangkis platform dan tapak web yang berbahaya.
“
Penjenayah lazimnya menggunakan imej, video dan teknologi pengklonan suara untuk meniru nada pertuturan dan gaya selebriti serta personaliti popular seperti, Dr Ben Carson, Brad Pitt, Cristiano Ronaldo dan lain-lain. Menggunakan bahan ‘deepfake’ penjenayah mencipta iklan dan tapak web palsu yang menawarkan produk kesihatan ‘ajaib’, ubat atau rawatan yang menjamin boleh menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk barah.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg