Polis uji keberkesanan ves baru dengan ciri kurangkan suhu badan
Polis uji keberkesanan ves baru dengan ciri kurangkan suhu badan
Pegawai polis barisan hadapan mungkin akan menerima ves penyejuk yang membantu mengagihkan semula berat dari tali pinggang mereka dan mengurangkan ketegangan pada bahagian belakang tubuh mereka.
Load Bearing Vest (LBV) yang sedang dihasilkan oleh pihak polis dan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) itu juga mampu mengurangkan suhu badan pegawai pada purata sebanyak 2 darjah Celsius.
Pada masa ini, pegawai polis membawa peralatan penting sehingga 5 kilogram pada tali pinggang utiliti mereka, termasuk senjata api, baton, peranti komunikasi dan gari.
Ini menyebabkan ketegangan belakang yang ketara kepada pegawai yang bertugas dalam syif yang panjang.
Set komunikasi, kantung gari dan kantung untuk barang kecil seperti buku nota dan pena dipasang pada ves, bukan pada tali pinggang, menyebabkan berat pada tali pinggang berkurangan kepada hampir separuh.
LBV itu juga mempunyai tempat untuk lencana pangkat polis, tanda nama dan kamera yang dipasang pada badan.
Senjata api dan baton masih dibawa pada tali pinggang.
Idea untuk ves itu muncul pada 2015, dengan kecenderungan menghasilkan versi kemas kini semakin meningkat pada 2023.
Sebuah prototaip telah diuji sejak 2024 semasa pegawai polis ditugaskan pada acara Chingay, Grand Prix Singapura dan Sambutan Tahun Baru Marina Bay.
Maklum balas daripada ujian awal menunjukkan ves itu agak menyusahkan dan mengambil masa yang lama untuk dipakai kerana reka bentuknya menggunakan tali pinggang dan kantung yang terlalu kecil untuk barang-barang yang perlu dibawa oleh pegawai.
Versi terkini yang dihasilkan pada suku pertama 2025 menggantikan tali pinggang dengan velcro dan mempunyai kantung lebih besar.
Versi itu kini sedang menjalani ujian selama sebulan di Pusat Polis Kejiranan (NPC) Rochor.
Walaupun LBV meningkatkan keselesaan dengan mengurangkan tekanan otot di bahagian pinggang di belakang badan, ia boleh mengekalkan haba badan, walaupun mempunyai mesh udara yang boleh dipam yang memudahkan aliran udara yang lebih baik.
Bagi menangani masalah tersebut, polis dan HTX membangunkan sistem pengudaraan prototaip yang menggunakan empat kipas dan plat mesh udara di belakang ves untuk memastikan pegawai tetap rasa dingin.
Ujian makmal menunjukkan ini dapat menurunkan suhu badan purata sebanyak 2 darjah Celsius.
Seorang jurutera dari Pusat Kepakaran Faktor Manusia dan Simulasi HTX, Encik Lloyd Ng, berkata sistem penyejukan itu direka bagi meningkatkan toleransi haba dan keselesaan.
“Dengan perubahan iklim yang semakin ketara dan gelombang haba yang menjadi lebih kerap, adalah semakin penting untuk memastikan pegawai dapat beroperasi dengan selamat dan berkesan dalam persekitaran yang panas,” katanya.
Ketua Pasukan di NPC Rochor, Penolong Superintendan Polis Yap Jia Ying, berkata sistem penyejukan telah membantu pegawai merasa kurang letih.
Katanya: “Ujian awal menunjukkan hasil positif dari segi keselesaan pegawai dan keberkesanan operasi, dan kami akan terus memperbaiki prototaip berdasarkan pengalaman pengguna kami.”

