Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Van rempuh pegawai polis trafik susulan kejadian kejar-mengejar

Jan 2, 2026 | 3:41 PM
Kejadian kejar-mengejar itu berakhir apabila van berkenaan terhempas sehingga ternaik ke atas sebuah tangga melepasi laluan pejalan kaki.
Kejadian kejar-mengejar itu berakhir apabila van berkenaan terhempas sehingga ternaik ke atas sebuah tangga melepasi laluan pejalan kaki. - Foto XIAOHONGSHU

Seorang pegawai Polis Trafik (TP) berusia 25 tahun dikejarkan ke hospital akibat cedera selepas sebuah van putih melanggarnya semasa satu kejadian kejar-mengejar pada 1 Januari.

Menurut kenyataan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 2 Januari, para pegawai TP sedang menjalankan rondaan di sepanjang Old Chua Chu Kang Road apabila mereka mengarahkan van tersebut berhenti untuk pemeriksaan rutin sekitar 5.20 petang pada hari berkenaan.

Namun, pemandu van lelaki berusia 34 tahun itu enggan mematuhi arahan pegawai dan bertindak memecut meninggalkan lokasi.

Pegawai TP kemudian mengejar kenderaan tersebut dan semasa kejadian itu, van berkenaan merempuh sebuah motosikal TP.

Pegawai tersebut dibawa ke hospital dalam keadaan sedar dan kini berada dalam keadaan stabil.

Polis turut menyatakan bahawa van tersebut dipercayai terbabas sendiri di persimpangan Chua Chu Kang Avenue 7 dan Keat Hong Link.

Sebilah pisau, sebatang baton serta barangan yang disyaki dadah terkawal dan peralatan berkaitan dadah ditemui di dalam van tersebut, tambah polis.

Pemandu van berkenaan turut dibawa ke hospital dalam keadaan sedar dan kemudiannya diberkas atas pelbagai kesalahan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan, memandu tanpa lesen sah, memandu tanpa perlindungan insurans yang sah, gagal berhenti apabila diarahkan oleh polis, menggunakan lesen palsu, memiliki senjata, serta disyaki terlibat dalam beberapa kesalahan berkaitan dadah.

Kesalahan berkaitan dadah yang disyaki itu telah dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB).

Siasatan polis masih dijalankan.

Dalam satu video kejadian yang dimuat naik di TikTok oleh @clarencelee9954, sebuah van putih kelihatan melalui persimpangan ketika lampu isyarat merah dan pejalan kaki sedang melintas.

Selepas membuat pusingan U di persimpangan tersebut, seorang pegawai TP dilihat mengejar kenderaan berkenaan.

View post on TikTok
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg