Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Politeknik Ngee Ann sepadu Gen AI dalam kurikulum, mulai Jan

Jan 5, 2026 | 4:30 PM
kecerdasan buatan generatif, (Gen AI), Politeknik Ngee Ann (NP), Sofea Carmila Rohaizat, PAIR
Pelajar tahun tiga Politeknik Ngee Ann (NP), Cik Sofea Carmila Rohaizat, mengatasi rasa ragu menggunakan kecerdasan buatan generatif (Gen AI) selepas digalakkan menggunakan teknologi itu sebagai sebahagian daripada tugasan sekolah. - Foto POLITEKNIK NGEE ANN

Semua pelajar Politeknik Ngee Ann (NP) akan mempelajari penggunaan kecerdasan buatan generatif (Gen AI) mulai Januari 2026.

Langkah itu bertujuan menyiapkan mereka bagi menghadapi dunia pekerjaan yang kian rancak menggunakan teknologi tersebut dalam tugasan harian.

Gen AI tidak akan diajar sebagai satu mata pelajaran berasingan, sebaliknya disepadukan ke dalam kurikulum sedia ada.

Semua pelajar, tidak kira kursus pengajian, akan menggunakan teknologi itu sekurang-kurangnya dalam satu modul setiap tahun, melalui pendekatan berstruktur.

Pendekatan itu dimodelkan daripada kerangka PAIR – singkatan bagi problem (masalah), AI, interaction (interaksi) dan reflection (renungan) – yang dibangunkan oleh pakar Gen AI di King’s College London, Profesor Oguz Acar.

Pendekatan itu akan mengemudi pelajar melalui empat langkah: Mentakrif masalah dengan jelas; memilih alat AI yang sesuai; menguji alat itu melalui penggunaan; dan merenung bagaimana teknologi itu mempengaruhi cara mereka berfikir serta membuat keputusan.

NP berkata langkah itu bertujuan memastikan AI kekal sebagai penyokong pertimbangan, kreativiti dan penyelesaian masalah manusia, bukan pengganti, lapor The Straits Times.

Pelajar juga akan dididik untuk mempertimbangkan penggunaan AI secara beretika, termasuk memastikan ketepatan dan memahami hadnya.

NP berharap dapat melahirkan lulusan yang yakin menggunakan teknologi baru, namun tetap mampu membuat keputusan secara berdikari dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah.

Politeknik tempatan lain turut memperkenalkan AI ke dalam kurikulum.

Contohnya, Politeknik Nanyang (NYP) telah menyepadukan latihan asas Gen AI ke dalam semua program diploma sejak Oktober 2025.

Menurut Pengetua yang juga Ketua Eksekutif NP, Encik Lim Kok Kiang, politeknik itu telah membina keupayaan AI sejak 2022, bermula dengan pusat Gen AI dan menawarkan aliran khusus AI dalam kursus teknologi maklumat (IT).

“AI berkembang dengan sangat pantas, dan kurikulum kami mesti berkembang selari dengannya,” kata Encik Lim.

Beliau menekankan bahawa penguasaan AI adalah penting, tetapi sama pentingnya bagi pelajar untuk belajar merangka masalah dengan baik, berfikir secara kritis, dan menggunakan AI secara bertanggungjawab.

Cik Sofea Carmila Rohaizat, 19 tahun, pelajar tahun tiga NP, pada awalnya ragu-ragu menggunakan alat Gen AI, bimbang ia akan menjejas keputusannya atau menyebabkan salah laku akademik.

Pandangannya berubah pada tahun kedua pengajiannya dalam diploma pengurusan pelancongan dan resort, apabila digalak menggunakan AI sebagai sebahagian tugasan.

Ketika menjalani latihan amali di Sentosa Development Corp pada 2025, Cik Sofea turut menggunakan alat AI seperti ChatGPT dan Gemini untuk memperhalusi idea acara dan kandungan media sosial.

“Walaupun penggunaan AI banyak membantu, kita perlu sedar batasnya. Akhirnya, kita mahu rasa puas kerana telah berusaha untuk meraih diploma ini.

“Gen AI ada had, tetapi sebagai manusia, potensi kita jauh lebih besar,” katanya.

Cik Sofea merancang untuk melanjutkan pengajian dalam analitik data di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan percaya kerangka PAIR akan menjadi aset berharga dalam pengajian dan kerjaya masa depannya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg