Topik diikuti
Pergi ke BHku15 asatizah lahir hasrat sertai kohort sulung tingkat keupayaan niaga
Inisiatif Peningkatan Berasaskan Kumpulan (GBU) di bawah Pergas, ASME bolehkan perusahaan pimpinan asatizah manfaatkan hampir 90% geran pemerintah
Seramai 15 usahawan asatizah sudah menzahirkan minat untuk menyertai kohort pertama program kerjasama antara Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan Persatuan Syarikat Kecil dan Sederhana (ASME), kata Presiden Pergas, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid.
Inisiatif Peningkatan Berasaskan Kumpulan (GBU), yang bakal bermula pada pertengahan 2027 itu, membolehkan perusahaan pimpinan asatizah memanfaatkan hampir 90 peratus geran pemerintah bagi meningkatkan keupayaan perniagaan mereka.
Ustaz Tarmizi berkongsi bahawa seperti kebanyakan syarikat kecil dan sederhana (SME) lain, perusahaan pimpinan asatizah biasanya beroperasi pada skala kecil dengan kurang daripada 10 tenaga kerja.
Menurut beliau, SME berskala kecil sebegini lazimnya tidak layak memohon geran tersebut secara individu, namun menerusi GBU mereka kini dapat mengakses bantuan berkenaan secara berkumpulan.
Kerjasama antara Pergas dengan ASME itu merupakan hasil satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai pada 13 Mei lalu yang bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas untuk golongan asatizah yang berminat menceburi kerjaya dalam bidang perniagaan.
Ustaz Tarmizi memberikan perkembangan tersebut ketika ditemui di Rapat Hari Kebangsaan 2026 (NDR) yang disampaikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio, pada 23 Ogos.
Ketika menyampaikan rapat dalam bahasa Melayu, Encik Wong berkata kerjasama antara Pergas dengan ASME ialah satu contoh bagaimana pelbagai peluang boleh terhasil melalui kolaborasi yang lebih kukuh.
Beliau mengulas mengenai bagaimana peluasan rangkaian M Kuasa Tiga+ (M3+) boleh membawa kepada lebih banyak manfaat bagi masyarakat.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Ustaz Tarmizi berkongsi bahawa sasaran kohort pertama GBU itu ialah seramai 30 asatizah.
“Kami kini sedang membangunkan kerangka program ini bersama ASME dan bakal mengadakan beberapa sesi Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bersama usahawan asatizah dalam beberapa bulan akan datang.
“Ini bertujuan mengenal pasti titik masalah atau penyataan masalah bersama, serta mencari penyelesaian secara kolektif,” ujar beliau.
Beliau juga berharap asatizah dapat menawarkan kebolehan bahasa mereka untuk bekerjasama dengan SME bagi perancangan peluasan pasaran serantau dan antarabangsa, contohnya pasaran Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Ustaz Tarmizi menambah, MOU tersebut sekali gus akan membantu asatizah kekal relevan dan berdaya tahan, terutama dalam suasana ekonomi semasa.
“Menerusi kerjasama ini, mereka juga dapat berhubung dengan pemilik perniagaan lain di luar sektor agama dan masyarakat asatizah,” ujarnya.
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaannya, Encik Wong, berkata bahawa inisiatif itu dapat membantu perusahaan milik asatizah mendapatkan khidmat nasihat, alat digital dan rangkaian perniagaan.
“Hasilnya, perniagaan pula mendapat manfaat daripada kepakaran bahasa dan budaya masyarakat apabila mereka berkembang ke pasaran serantau,” katanya.
Kerjasama antara Pergas dengan ASME itu menggabungkan kepakaran perusahaan, kekuatan budaya dan bahasa, serta pengetahuan patuh syariah untuk menyokong SME Singapura – termasuk perusahaan pimpinan asatizah – dalam meluaskan perniagaan ke pasaran antarabangsa dan memperkukuh keupayaan tempatan.
Kerjasama tersebut bertunjangkan tiga teras utama.
Dalam aspek peluasan pasaran sejagat, ia akan memanfaatkan kepakaran budaya dan bahasa serta pengetahuan patuh syariah untuk membantu SME menembusi pasaran luar negara yang baharu.
Selain itu, bagi sudut transformasi digital, ia akan menyokong SME dalam mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) dan alat digital untuk meningkatkan produktiviti serta daya saing.
Daripada sudut keusahawanan dan bimbingan, ia akan membangunkan generasi pemimpin perniagaan yang seterusnya menerusi bimbingan berstruktur dan rangkaian daripada ASME.
Ketika ditemui BH pula, Naib Presiden ASME, Cik Hamidah Aidillah Mustafa, berkongsi bahawa Pusat Kecemerlangan AI ASME (SME@AITE) di ITE Kolej Central juga sedang bekerjasama dengan Pergas untuk membangunkan kohort GBU itu.
Inisiatif tersebut akan membantu perniagaan asatizah membina keyakinan dan keupayaan untuk meneroka bagaimana AI dapat menyokong operasi serta pertumbuhan mereka, katanya.
“Memorandum kami dengan Pergas mencerminkan pendekatan di mana kita mahukan lebih banyak perniagaan SME kita berkembang di persada antarabangsa.
“Kami mahu mewujudkan laluan yang lebih kukuh bagi perniagaan yang diterajui oleh asatizah untuk membina keupayaan, memanfaatkan pendigitalan, dan merebut peluang baharu,” katanya.
