Topik diikuti
Pergi ke BHkuAP Marine Parade-Braddell Heights jamin jaga maslahat penduduk Kembangan
AP Marine Parade-Braddell Heights jamin jaga maslahat penduduk Kembangan
Semua inisiatif masyarakat dan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) diteruskan seperti biasa
AP Marine Parade-Braddell Heights jamin jaga maslahat penduduk Kembangan
Semua inisiatif masyarakat dan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) bagi penduduk Kembangan, di bawah GRC Marine Parade-Braddell Heights, akan diteruskan seperti biasa, kata pasukan Anggota Parlimen (AP) GRC itu dalam hantaran Facebook masing-masing pada 20 Julai.
Ini berikutan peletakan jawatan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim selaku AP bertanggungjawab bagi kawasan undi Kembangan.
Dr Faishal turut meletak jawatan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam; Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri); dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas “alasan peribadi”, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 20 Julai.
Speaker Parlimen yang juga AP bertanggungjawab bagi kawasan undi Braddell Heights, Encik Seah Kian Peng, berkata keutamaan pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights kini adalah bagi memastikan kemaslahatan penduduk di Kembangan tetap terjaga.
Beliau berkata: “Bersama-sama pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights yang lain – Encik Goh Pei Ming, Cik Tin Pei Ling dan Cik Diana Pang – kami akan bersungguh-sungguh menjaga penduduk di Kembangan.
“Antara satu sama lain, kami akan mengendalikan semua kes dan rayuan MPS, serta meneruskan inisiatif masyarakat sedia ada yang menyediakan sokongan kepada warga emas, keluarga mudah terdedah, dan meningkatkan perpaduan masyarakat di Kembangan.”
Encik Seah turut memberi jaminan bahawa usaha beliau di Kembangan tidak akan menjejas komitmen dan tahap sokongannya kepada penduduk Braddell Heights.
Beliau menambah bahawa beliau telah mengenali Dr Faishal selama lebih 20 tahun dan menyifatkannya sebagai sahabat yang baik hati.
Dr Faishal juga telah meminta Encik Seah supaya memohon maaf kepada penduduk dan ketua akar umbi di kawasan itu selepas peletakan jawatannya.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) dan AP bertanggungjawab bagi kawasan undi Marine Parade, Encik Goh Pei Ming, dalam hantaran Facebooknya berkata Dr Faishal merupakan anggota pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights yang bernilai.
Sepanjang lebih kurang setahun sejak menjadi AP bagi Kembangan, beliau menyifatkan Dr Faishal telah menjalin hubungan baik dengan penduduk dan “amat mengambil berat tentang kemajuan dan kebajikan masyarakat Melayu/Islam”.
Encik Goh berkata: “Beliau bekerja tanpa mengenal erti lelah, namun tidak lokek dengan senyuman.
“Sungguhpun demikian, kami faham bahawa beliau telah melakukan kesilapan dalam membuat pertimbangan dan memilih untuk memikul tanggungjawab.
“Kami menghormati beliau atas keberanian moralnya dan melakukan perkara yang betul.”
Walaupun usaha akan disalurkan demi menyokong penduduk Kembangan, beliau memberi jaminan komitmen dan tahap sokongan kepada semua penduduk di bawah jagaan pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights kekal sama.
AP bertanggungjawab bagi MacPherson, Cik Tin, menyifatkan apa yang berlaku sebagai perkara yang disesali.
“Keutamaan segera kami adalah untuk meneruskan penjagaan dan sokongan kami kepada penduduk Kembangan, sedang kami terus mengambil berat dan menyokong kawasan undi masing-masing di GRC ini,” ujarnya.
