Topik diikuti
Pergi ke BHkuMasagos: Faishal komited, aktif sumbang kepada S’pura, masyarakat Melayu/Islam
Masagos: Faishal komited, aktif sumbang kepada S’pura, masyarakat Melayu/Islam
Turut gesa masyarakat hormati privasi, selain beri sokongan kepada Zaqy yang akan ambil alih
Masagos: Faishal komited, aktif sumbang kepada S’pura, masyarakat Melayu/Islam
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menyifatkan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, sebagai insan yang komited dalam memperkukuhkan institusi keluarga.
Ini selain tumpuannya dalam mengurangkan kadar kesalahan bentan atau residivisme, memperkasa belia dan membina ikatan yang menyatukan masyarakat, tambah Encik Masagos.
Dalam satu hantaran Facebook pada 20 Julai, Encik Masagos berkata beliau dan Dr Faishal “aktif berkhidmat kepada Singapura dan masyarakat Melayu/Islam”.
Oleh itu, beliau amat berdukacita apabila mendapat tahu Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), telah meletak jawatan sebagai anggota Kabinet dan Anggota Parlimen (AP).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 20 Julai, Dr Faishal meletak jawatan sebagai seorang menteri, AP GRC Marine Parade-Braddell Heights dan anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) atas “alasan peribadi”.
Encik Masagos berkata ini satu tempoh sukar bagi Dr Faishal, keluarganya dan masyarakat yang telah banyak meraih manfaat daripada bakti dan sumbangannya.
“Saya berharap masyarakat dapat memberi beliau dan keluarganya ruang serta menghormati privasi mereka ketika melalui masa yang amat mencabar ini,” ujarnya.
Dr Faishal mengambil alih jawatan itu daripada Encik Masagos – Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dari 1 Mei 2018 hingga 22 Mei 2025 – pada 23 Mei 2025.
Sehubungan itu, Encik Masagos menggesa agar masyarakat umum memberi sokongan kepada Encik Zaqy Mohamad dalam menggalas tanggungjawab barunya, sambil menyifatkan usaha membantu masyarakat Melayu/Islam harus diteruskan.
Ini setelah PMO menyatakan bahawa Encik Zaqy, Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), akan mengambil alih tugas sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
Encik Masagos berkata: “Saya berharap kita semua dapat memberi sokongan kepada Encik Zaqy Mohamad dalam peranan barunya… sedang beliau bekerja rapat dengan pemimpin Melayu/Islam dan rakan masyarakat lain untuk meneruskan (usaha) ini.”
Dalam surat peletakan jawatan Dr Faishal kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 20 Julai, beliau berkata berlaku “kesilapan pertimbangan” dalam mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita.
Dr Faishal berkata hubungan fizikal antara beliau dengan wanita itu tidak pernah wujud, dan beliau juga tidak berniat membiarkan interaksi tersebut berkembang menjadi hubungan sedemikian.
Namun, beliau mengakui tindakannya “tidak memenuhi piawaian yang diharapkan dan tidak selaras dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan”, selepas merenungkan kembali perkara itu.
Dalam surat yang diutuskan kepada Dr Faishal sebagai tanda penerimaan peletakan jawatannya, Encik Wong berkata beliau menghargai pengakuan bahawa tingkah laku Dr Faishal “tidak memenuhi piawaian yang diharapkan” sebagai AP dan menteri, serta keputusan beliau untuk bertanggungjawab terhadap perkara itu.
