Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon pilihan raya digesa semak maklumat, waspada campur tangan asing

Apr 19, 2025 | 3:39 PM
Calon dinasihatkan supaya menyemak fakta maklumat yang diterima bagi memastikan kesahihannya sebelum berkongsi dalam kempen pilihan raya umum.
Calon dinasihatkan supaya menyemak fakta maklumat yang diterima bagi memastikan kesahihannya sebelum berkongsi dalam kempen pilihan raya umum. - Foto: ST

Calon pada pilihan raya umum pada 3 Mei dinasihatkan supaya menyemak fakta maklumat yang mereka terima, sentiasa berwaspada terhadap ancaman campur tangan asing dan agenda tersembunyi sebelum berkongsi dalam kempen mereka.

Peringatan itu dikeluarkan dalam nasihat bersama pada 19 April oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Agensi Keselamatan Siber (CSA) Singapura, dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), yang menekankan risiko campur tangan asing dan ancaman keselamatan siber menjelang pilihan raya.

Campur tangan asing termasuk percubaan oleh pelaku asing memanipulasi politik dalam negeri melalui cara terselindung dan menipu demi kepentingan mereka sendiri, kata peringatan itu sambil menambah bahawa tindakan sedemikian boleh menjejas kedaulatan politik dan perpaduan sosial.

“Keputusan pilihan raya Singapura mestilah diputuskan oleh rakyat Singapura sendiri. Kita harus menjaga integriti proses pilihan raya kita,” kata peringatan itu.

Menurut The Straits Times, amaran itu menyusuli nasihat CSA pada 17 April kepada parti politik dan calon mengenai ancaman siber yang mungkin muncul dan langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko.

Sebagai contoh, parti politik dinasihatkan supaya mempunyai kawalan pengesahan yang baik ke atas semua akaun kempen dalam talian, mendidik calon dan pegawai pilihan raya mengenai penyamaran palsu, dan mengambil langkah menentang serangan siber semasa musim pilihan raya ini.

Halaman web ELD menampilkan kaedah yang digunakan oleh pelaku asing dan langkah berjaga-jaga yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko itu.

Antaranya, menyemak fakta maklumat yang mereka terima untuk memastikan ia adalah tepat dan/atau sahih, atau daripada sumber yang boleh dipercayai, sebelum berkongsi atau bertindak balas terhadapnya dalam kempen mereka.

Mereka digalakkan supaya berwaspada, memantau platform mereka dengan teliti dan mengelak daripada berkongsi siaran asal yang mencurigakan.

Ini di samping mengambil maklum Akta Campur Tangan Asing (Langkah Balas) 2021, termasuk Bahagian 5 yang menetapkan mereka yang mempunyai kepentingan politik perlu melaporkan derma politik yang besar sebanyak $10,000 atau lebih, dan melarang mereka daripada menerima derma daripada penderma yang tidak dibenarkan, seperti individu atau pihak asing.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg