Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat salah, melakukan gangguan dalam talian atau memuat naik kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum atau agama sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei, dengan Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 23 April.
Perbuatan dalam talian yang tidak bertanggungjawab boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah dan meremehkan integriti proses pilihan raya, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dalam satu kenyataan bersama pada 16 April.
Dua penguasa itu mengingatkan rakyat Singapura bahawa meskipun mereka berhak menyertai perbincangan dalam talian, ia harus dilakukan secara beradab dan bertanggungjawab.
Mereka turut menekankan risiko penyebaran maklumat salah dan palsu menjelang pilihan raya, sambil mengingatkan orang ramai bahawa kandungan palsu atau yang diubah, senang direka dan digunakan untuk memperdaya orang ramai serta mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Ini termasuk menggunakan kandungan deepfake (palsu mendalam), iaitu kaedah mengubah paras seseorang pada gambar atau video, menggunakan gambar asli mereka melalui kaedah tindan wajah.
Sebagai contoh, mantan presiden, Puan Halimah Yacob, memaklumkan pada 15 April beliau akan membuat laporan polis selepas menemui sebuah video deepfake yang menunjukkan seolah-olah beliau mengeluarkan kenyataan negatif terhadap Pemerintah.
SPF dan MDDI menggesa pengundi agar berhati-hati berkaitan perkara yang mereka kongsi, dan rujuk kepada sumber rasmi jika mereka meragui sesuatu maklumat.
Individu yang menyebarkan maklumat palsu dalam talian boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah pelbagai akta.
Ini termasuk menyampaikan mesej palsu di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Lain (Keamanan dan Gangguan Awam); menyebarkan maklumat palsu dengan sengaja yang bertentangan dengan kepentingan awam di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma); serta menerbitkan kandungan berkaitan pilihan raya yang telah diubah secara digital hingga mengelirukan orang ramai mengenai tindakan atau kenyataan calon di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).
Kenyataan itu turut memberi amaran terhadap perbuatan membuat gangguan dalam talian, termasuk mengeluarkan komen yang boleh menimbulkan perasaan cemas, tekanan atau gangguan kepada orang lain.
Perbuatan seperti doxxing – iaitu menyiarkan maklumat peribadi seseorang dengan niat mengganggu atau mengugutnya – adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Daripada Gangguan.
Polis dan MDDI turut memberi peringatan agar orang ramai tidak memuat naik kandungan yang boleh menyinggung sensitiviti kaum, menimbulkan ketegangan antara masyarakat berbilang kaum, atau menyebarkan kebencian atas dasar agama.
Tindakan sedemikian boleh menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Mengekalkan Keharmonian Agama. Pihak berkuasa menegaskan mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pesalah.
Menekankan kepentingan memelihara kepercayaan orang awam dan integriti sistem berdemokrasi, pihak berkuasa itu menyeru semua rakyat Singapura supaya menggunakan ruang dalam talian secara bertanggungjawab sepanjang tempoh penting ini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg