Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dua muka baru PAP sertai Majlis Bandaran Jurong-Clementi

Apr 5, 2025 | 8:05 PM
Muka baru Cik Cassandra Lee (kanan) dan Encik David Hoe (kiri), dilihat menyertai Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) iaitu (dua dari kiri) Dr Tan Wu Meng; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai dan Encik Xie Yao Quan, semasa pelancaran pelan induk lima tahun Majlis Bandaran Jurong-Clementi pada 5 April.
Muka baru Cik Cassandra Lee (kanan) dan Encik David Hoe (kiri), dilihat menyertai Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) iaitu (dua dari kiri) Dr Tan Wu Meng; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu; Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai dan Encik Xie Yao Quan, semasa pelancaran pelan induk lima tahun Majlis Bandaran Jurong-Clementi pada 5 April. - Foto ST

Dua muka baru yang mungkin bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 telah diperkenalkan secara rasmi kepada awam.

Kededua muka baru itu, Encik David Hoe dan Cik Cassandra Lee, menyertai Anggota Parlimen (AP) Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam majlis pelancaran pelan induk lima tahun Majlis Bandaran Jurong-Clementi (JRTC) pada 5 April.

Encik Hoe merupakan pengarah kedermawanan di Majurity Trust manakala Cik Lee ialah sukarelawan akar umbi bersama PAP di Jurong sejak 2015.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, memperkenalkan mereka semasa berucap dalam satu majlis yang diadakan di Canopy@Jurong East.

Cik Fu berkata: “Bekerja rapat dengan penduduk dan majlis bandaran, mereka (Cik Lee dan Encik Hoe) akan menyuntik semangat dan pengalaman baru dalam ikatan dan pembinaan masyarakat kepada pasukan semasa.”

Beliau hadir dalam acara itu bersama AP GRC Jurong lain iaitu Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Dr Tan Wu Meng, Encik Xie Yao Quan dan AP SMC Bukit Batok yang juga Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai.

Seorang lagi AP GRC Jurong yang juga Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang, tidak kelihatan di majlis tersebut.

Beliau mengendalikan daerah Taman Jurong, kini disertakan dalam GRC West Coast-Jurong West yang baru.

“Pasukan yang anda lihat hari ini akan mengendalikan GRC Jurong East-Bukit Batok dan SMC Jurong Central, sekiranya kami diberikan mandat oleh anda,” ujar Cik Fu.

Cik Fu yang merupakan AP SMC Yuhua sejak 2006, dijangka mengetuai pasukan PAP bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) itu setelah sebahagian kawasan undinya itu disertakan dalam GRC Jurong East-Bukit Batok yang baru.

Ini berikutan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac.

Beliau berkata JRTC antara lain akan menaik taraf sembilan estet lama, 41 sudut senaman dan 30 taman permainan, sebagai sebahagian daripada pelan induk 2026-2030.

Secara berasingan, Cik Rahayu berkata di sebalik ketidaktentuan beliau akan kembali menerajui daerah Bukit Batok East selepas Pilihan Raya Umum akan datang, beliau memberi jaminan kerja-kerja berjalan seperti biasa untuk penduduk di daerah itu.

Berkongsi kepada Berita Harian selepas acara, beliau berkata: “Saya tidak dapat memberi pengesahan (buat masa ini). Saya tidak ingin penduduk rasa tidak tentu atau tergantung… dan saya menghargai keinginan mereka untuk tahu (status perwakilan) ini.”

Beliau dan pasukannya akan meneruskan usaha kunjungan ke pasar dan rumah untuk mengetahui sentimen di lapangan, tambahnya.

Sementara itu, majlis itu turut menyaksikan JRTC menandatangani kerjasama secara rasmi dengan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) dan Hospital Masyarakat Jurong berkenaan penggunaan peralatan latihan jasmani di ruang awam secara selamat.

Kerjasama itu bakal menyaksikan pemasangan peralatan yang sesuai dan selamat untuk warga emas di sudut senaman, yang direka dengan unsur pencegahan kelemahan usia tua, sebagai sebahagian daripada pelan induk lima tahun JRTC, kata Cik Fu.

Beliau berkata ini menjadikan JRTC majlis bandaran pertama di Singapura dengan inisiatif pembangunan estet yang tertumpu kepada kesejahteraan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg