Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Xie Yao Quan taruh harapan tanding di SMC Jurong Central yang baru

Mar 24, 2025 | 3:15 PM
Anggota Parlimen GRC Jurong, Encik Xie Yao Quan (dua dari kanan), beramah dengan penduduk semasa lawatan ke Jurong Central Plaza pada 23 Mac.
Anggota Parlimen GRC Jurong, Encik Xie Yao Quan (dua dari kanan), beramah dengan penduduk semasa lawatan ke Jurong Central Plaza pada 23 Mac. - Foto ZAOBAO

Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, Encik Xie Yao Quan, berharap dapat bertanding dalam SMC Jurong Central yang baru pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang, supaya beliau boleh terus berkhidmat kepada penduduk di sana.

Encik Xie, yang telah mewakili kawasan Jurong Central sejak beliau dipilih pada 2020, berkata: “Kami telah melancarkan beberapa inisiatif dan program dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi dalam fikiran kami, sebenarnya, kami baru sahaja bermula.

“Sama ada saya akan kekal di sini atau tidak, akhirnya, terpulang kepada Perdana Menteri Encik Lawrence Wong untuk membuat keputusan,” katanya kepada wartawan semasa lawatan bertemu penduduk di Jurong West pada 23 Mac.

Beliau menambah rancangannya adalah untuk Jurong Central membentuk satu majlis bandaran dengan GRC Jurong East-Bukit Batok, jika AP parti pemerintah di kawasan tersebut dipilih, lapor The Straits Times.

“Jadi dari segi urusan perbandaran, SMC Jurong Central akan dijaga dengan baik,” katanya.

“Sebenarnya, bahagian Jurong Central, bersama-sama dengan empat bahagian dalam GRC Jurong East-Bukit Batok yang baru, sudah pun diuruskan majlis bandaran yang sama, jadi kami mahukan kesinambungan di sana,” tambahnya.

SMC Jurong Central akan mempunyai 29,620 pengundi, menarik 25,668 daripada GRC Jurong dan selebihnya daripada SMC Yuhua, yang akan dibubarkan.

AP Yuhua buat masa ini, Cik Grace Fu, berkata pada 20 Mac, penduduk telah bertanya kepadanya sebab perubahan itu.

Cik Fu, yang merupakan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, berkata beliau telah menjelaskan kepada penduduk apa yang mendorong perubahan sempadan itu dan memberi jaminan akan ada penyerahan sewajarnya.

Encik Xie menjelaskan beliau telah mengadakan “perbincangan aktif” dengan Cik Fu mengenai program sedia ada di Yuhua dan Jurong Central, dan bagaimana ini akan disatukan.

Beliau menambah mereka sedang mengusahakan butirannya, dan berkata tumpuan mereka adalah dalam memastikan penduduk terus dijaga dengan baik.

Parti pembangkang, Titik Merah Bersatu (RDU), telah berkata ia merancang untuk bertanding di SMC Jurong Central, serta GRC Jurong East-Bukit Batok.

Ketika ditanya mengenai RDU, Encik Xie berkata beliau berharap kerusi tunggal itu akan dipertandingkan.

“Baik jika penduduk berpeluang menggunakan hak demokrasi mereka, dan membuat pilihan yang sesuai dengan kepentingan mereka,” tambahnya.

Pada 23 Mac, RDU memperkenalkan seorang guru piano, Cik Emily Woo, 59 tahun, sebagai ketua pasukannya untuk Jurong Central.

Cik Woo akan mengusahakan persediaan asas di kerusi tunggal itu, kata setiausaha agung RDU, Encik Ravi Philemon.

Namun, beliau menambah masih terlalu awal untuk mengesahkan mana-mana calon untuk GE2025 akan datang.

Dalam pilihan raya sebelum ini, GRC Jurong menjadi salah satu kawasan pilihan raya PAP yang berprestasi kukuh.

Tokoh penting di sebalik prestasi mantap parti pemerintah itu ialah Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang mewakili kawasan itu selama lebih dua dekad sebagai AP, sehingga beliau berundur pada 2023 untuk bertanding dalam pilihan raya presiden.

Apabila ditanya tentang peluangnya dalam GE2025 tanpa Tuan Presiden, Encik Xie menjawab: “Cogan kata saya ialah, kami menjaga penduduk dengan baik, perkara lain akan beres dengan sendirinya.”

Cik Ng Choon Khim, 62 tahun, seorang suri rumah yang menetap di Jurong Central selama lebih 40 tahun, berkata beliau sudah biasa mempunyai sekumpulan wakil dalam GRC, tetapi mengalu-alukan pertukaran kepada kerusi tunggal itu.

Beliau berkata Encik Xie telah melawat estetnya kira-kira tiga kali dalam tempoh lima tahun yang lalu, dan menambah dalam bahasa Mandarin: “Saya yakin dengan Encik Xie. Beliau biasanya turun padang dan sangat mudah didekati.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg