Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dulu penyampai berita, kini bakal calon GRC East Coast

Bidang kewartawanan cetus minat Hazlina Halim ceburi politik
Apr 18, 2025 | 4:56 PM
Cik Hazlina Abdul Halim bakal bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC East Coast bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Cik Hazlina Abdul Halim bakal bertanding sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC East Coast bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Jika dahulu wajahnya terpampang sebagai penyampai berita Melayu di kaca televisyen, Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun, kini menjadi ‘bahan’ berita pula apabila beliau muncul sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC East Coast bagi pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengapa pilih untuk sertai politik, Cik Hazlina akui cita-citanya sejak kecil lagi sebenarnya untuk menjadi seorang wartawan.

Namun, menerusi bidang media inilah, beliau terdedah kepada dunia politik yang mewujudkan nyala rasa untuknya meneroka dan menceburi, lantas mencetus minat dalam dirinya.

Ditemui Berita Harian (BH) di cawangan PAP Siglap, beliau berkata menyertai politik memberinya peluang menggubal visi masa depan Singapura dengan lebih dekat lagi, lantas menjadi pembakar semangat untuk dirinya.

Mengimbau detik pertama membuat liputan Pilihan Raya Umum (GE) pada 2006, Cik Hazlina berkata:

“Salah satu kelebihan menjadi seorang wartawan ialah kita bertemu dengan pelbagai orang, rakyat Singapura, sama ada pemimpin, sukarelawan, mahupun wajah-wajah Singapura yang istimewa.”

Beliau percaya dengan bekalan kemahiran yang dicungkil daripada interaksi bersama penduduk lapisan masyarakat, beliau dapat mempertingkat khidmatnya buat Singapura.

Cik Hazlina memulakan kerjayanya sebagai penyampai radio sebelum beralih ke kaca televisyen sebagai penyampai berita dan pernah menjadi editor berita.

Di luar kerjayanya dalam bidang kewartawanan, Cik Hazlina meraih kemahiran lain setelah menceburi sektor swasta dan berkhidmat dalam agensi sosial.

Beliau pernah menjadi pensyarah Politeknik Temasek bagi jurusan komunikasi dan pengurusan media selain menyertai bahagian ehwal awam di Kedutaan Amerika Syarikat di Singapura.

Sebelum ini, Cik Hazlina menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Make-A-Wish Singapore.

Walaupun beliau sendiri belum dikurniakan rezeki cahaya mata setelah 10 tahun berkahwin, Cik Hazlina menghargai peluang menjadi ‘ibu’ yang dapat memenuhi hajat kanak-kanak yang menghidap penyakit, bak fairy godmother, menerusi badan amal tersebut.

Beliau merupakan mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan juga anggota Lembaga Pengarah Yayasan Mendaki dan Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Cik Hazlina juga pernah berkhidmat sebagai kaunselor daerah bersama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan anggota Dana Masyarakat serta Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM).

“Saya berpeluang berkhidmat di peringkat masyarakat sebagai sukarelawan.

“Daripada situ saya melihat bagaimana pentingnya hubungan antara kita sebagai rakyat, sebagai masyarakat dan juga pemimpin.

“Kata orang itu, bagai aur dengan tebing, kita harus sentiasa bekerjasama,” kata Cik Hazlina, yang kini merupakan Naib Presiden Kanan Teneo, sebuah firma perundingan, sejak Mac.

Ini bukan kali pertama Cik Hazlina menggunakan kata-kata kiasan dalam interaksinya bersama wartawan.

Sebelum ini, apabila mengadakan lawatan ke Pasar Fengshan di Bedok pada 12 April, Cik Hazlina berkongsi bahawa strateginya adalah untuk mendekati penduduk dan sentiasa mendengar bak kata pepatah kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah.

Kefasihannya dalam bahasa Melayu turut menarik perhatian sebahagian warganet yang memuji penguasaan bahasa Ibunda beliau.

Cik Hazlina tertawa seraya berkata beliau penyokong tegar usaha menggalakkan kemampuan berdwibahasa.

“Sejujurnya, saya cinta pada bahasa kerana saya percaya bahasa itu senjata dan juga penawar, di mana ia boleh mendekatkan kita dan boleh mengeratkan lagi hubungan,” ujarnya yang juga boleh berbahasa Mandarin.

Selain hakikat bahawa bahasa Melayu, bahasa kebangsaan dan bahasa Ibunda beliau, Cik Hazlina mahu membuktikan bahawa keupayaan untuk fasih dalam bahasa Melayu tidak bererti penguasaan bahasa Inggeris seseorang itu akan berkurangan.

“Saya percaya, kedua-duanya boleh dicapai dengan usaha tekun untuk menggunakan bahasa dengan konsisten,” tambahnya.

Menyentuh mengenai isu-isu khusus buat masyarakat Melayu/Islam yang ingin diperjuangkan, Cik Hazlina berkata antaranya adalah dalam membina keluarga yang kukuh, memastikan masa depan anak lebih cerah dan meningkatkan mutu kehidupan.

“Saya juga dapati, penting buat masyarakat kita diberi ruang untuk menganuti agama Islam dengan suasana yang selamat.

“Agama penting bagi kita semua dan merupakan landasan identiti kita.

“Kos sara hidup tentunya antara maklum balas yang kami terima dan ini sama seperti masyarakat Singapura yang lain.

“Saya juga dapati isu di Gaza juga sesuatu yang masyarakat kita pentingkan.

“Saya ingin mendekati dan lebih memahami bagaimana kita boleh sama-sama melakukan sesuatu mengenainya,” katanya.

Isu yang ingin diperjuangkan untuk masyarakat Melayu/Islam

Saya juga dapati, penting buat masyarakat kita diberi ruang untuk menganuti agama Islam dengan suasana yang selamat.  Agama penting bagi kita semua dan merupakan landasan identiti kita.  Kos sara hidup tentunya antara maklum balas yang kami terima dan ini sama seperti masyarakat Singapura yang lain. Saya juga dapati isu di Gaza juga sesuatu yang masyarakat kita pentingkan. Saya ingin mendekati dan lebih memahami bagaimana kita boleh sama-sama melakukan sesuatu mengenainya.
Cik Hazlina Abdul Halim, calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC East Coast.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg