Muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Hazlina Abdul Halim, berharap dapat menjalin hubungan lebih baik dengan penduduk GRC East Coast, khususnya di kawasan undi Siglap, dan memahami kebimbangan mereka.
Ini di samping meneruskan usaha baik yang telah dijalankan oleh Anggota Parlimen (AP) semasa kawasan undi itu, Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, kata beliau.
Dr Maliki mengumumkan pada 12 April bahawa beliau tidak akan bertanding di GRC East Coast bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), dan Cik Hazlina bakal bertanding di GRC itu, mengambil alih tugas berkhidmat di kawasan undi Siglap.
Bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan ke Pasar Fengshan di Bedok pada 12 April, Cik Hazlina, 40 tahun dan mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), berkata adalah penting beliau mengadakan pendekatan dan perbincangan tulen bersama penduduk.
“Strateginya ialah mendekati penduduk, lebih mendengar dan lebih memahami, kerana jika kita ingin membentuk masa depan bersama, kita harus bekerjasama.
“(Ia) Bak (kata pepatah) kuat berdiri pohon kerana akarnya, kuat akar kerana tanah. Yang penting kami ingin mendengar, membantu dan bekerjasama dengan penduduk,” kata Cik Hazlina, yang menjadi Naib Presiden Kanan di Teneo, sebuah firma perundingan, sejak Mac.
Turut hadir semasa lawatan pasar itu termasuk Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast - Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan; dan Cik Cheryl Chan.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, yang juga AP GRC Marine Parade, turut hadir bersama seorang lagi muka baru PAP - mantan Ketua Turus, Staf bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming.
Sebelum ini, Cik Hazlina menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Make-A-Wish Singapura.
Beliau kini menggalas peranan sebagai mantan presiden terkini PPIS dan juga anggota Lembaga Pengarah di Yayasan Mendaki dan Yayasan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).
Cik Hazlina juga pernah berkhidmat sebagai kaunselor daerah bersama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan anggota Dana Masyarakat serta Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM).
Beliau, yang pernah juga bertugas sebagai editor dan penyampai berita, melahirkan penghargaannya kepada Dr Maliki, yang berkhidmat kepada penduduk GRC East Coast hampir 14 tahun.
“Dr Maliki adalah seorang yang mempamerkan ciri-ciri kepimpinan yang begitu hebat, dan beliau adalah seorang mentor yang sangat saya kagumi.
“Beliau telah lama berkhidmat dalam sektor perkhidmatan sosial dan sentiasa memperkasa masyarakat,” kata Cik Hazlina.
Kali pertama kali Cik Hazlina diumumkan sebagai muka baru PAP ialah semasa lawatannya ke 50A Pasar Marine Terrace pada 22 Mac, bersama Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga AP GRC Marine Parade.
Ketika itu, semasa ditemui media, Dr Tan berkata Cik Hazlina bakal calon pilihan raya yang “lebih muda dan berpotensi tinggi”.
Mengulas tentang bagaimana beliau akan menyumbang pengalaman dan pengetahuannya kepada pasukan PAP di GRC East Coast, Cik Hazlina menukil pengalaman menyeluruhnya di sektor swasta serta bersama badan masyarakat.
“Saya amat bersyukur dengan pengalaman bekerja di sektor awam, sektor swasta serta bersama orang ramai, dan saya membawa pengalaman ini untuk mengutamakan hubungan dengan penduduk.
“Saya pernah berkhidmat dengan PPIS dan beberapa agensi – yang kesemuanya mengendalikan pusat di sekitar kawasan ini. Jadi kawasan ini sudah saya kenali dan saya berharap dapat berjumpa penduduk yang lain pada masa terdekat,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg