Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Edwin Tong: Pilihan raya bukan sekadar mengenai AP setempat tetapi pemerintah dipilih

Apr 15, 2025 | 8:56 PM
Hadir bagi taklimat media mengenai pelancaran laman web mikro yang memperincikan Pelan East Coast pada 15 April di pusat penjaja Bedok ialah (dari kiri) Cik Hazlina Abdul Halim, Encik Goh Pei Ming, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, Cik Jessica Tan dan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How.
Hadir bagi taklimat media mengenai pelancaran laman web mikro yang memperincikan Pelan East Coast pada 15 April di pusat penjaja Bedok ialah (dari kiri) Cik Hazlina Abdul Halim, Encik Goh Pei Ming, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, Cik Jessica Tan dan Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How. - Foto ST

Pilihan raya bukan hanya tentang mengundi untuk Anggota Parlimen (AP) di kawasan tersebut, bahkan mengenai memilih pemerintah yang berupaya melindungi Singapura serta kepentingan jangka panjangnya, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pada 15 April.

Beliau menegaskan demikian kepada wartawan setelah dikemukakan beberapa soalan tentang barisan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC East Coast, ketika taklimat media yang diadakan di pusat penjaja 216 Bedok North Street 1.

Ditanya sama ada beliau akan menjadi menteri utama yang memimpin pasukan PAP di East Coast, Encik Tong tidak menafikan atau mengesahkan hal demikian.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, serta AP GRC East Coast, Cik Cheryl Chan, tidak kelihatan sewaktu taklimat media yang diadakan untuk membentangkan fasa Pelan East Coast seterusnya.

Sebaliknya, hadir bersama Encik Tong ialah Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; Timbalan Speaker Parlimen, Cik Jessica Tan; serta muka baru – mantan presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim; dan mantan Ketua Turus, Staf bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming.

“Bila tiba masanya, iaitu tidak lama lagi, kami akan mengumumkannya (barisan calon). Apa yang saya boleh katakan untuk diri saya adalah saya telah minta untuk berada dalam pasukan East Coast kerana saya percaya setelah berkhidmat di Joo Chiat selama 10 tahun, saya mempunyai projek yang belum diselesaikan,” ujar beliau, yang juga AP GRC Marine Parade.

Estet di Chai Chee dan Joo Chiat, yang merupakan sebahagian daripada GRC Marine Parade, kini digabungkan ke dalam GRC East Coast setelah perubahan sempadan yang dikeluarkan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada 11 Mac.

Ditanya tentang kemungkinan bersaing dengan Parti Pekerja (WP), Encik Tong berkata mereka “hormat pesaing mereka” dan “tidak mengambilnya sambil lewa”.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, pasukan PAP telah menewaskan WP dengan meraih 53.41 peratus undi.

Namun ia antara kemenangan paling tipis parti tersebut dan juga lebih rendah daripada 60.73 peratus undi yang diraih dalam pilihan raya 2015.

“Kami akan meneruskan usaha kami untuk bekerja keras menjaga penduduk kami. Itulah aspek paling penting dan utama dalam peranan seorang anggota parlimen di kawasan tersebut.

“Lebih daripada itu, terdapat juga pertimbangan mengenai kepentingan lebih luas Singapura, melebihi East Coast.

“Pilihan raya bukan hanya tentang AP setempat, bahkan tentang pemilihan pemerintah, dan kebolehan pemerintah menjaga Singapura, warga Singapura dan kepentingan jangka panjanganya,” kata Encik Tong.

Seiring itu, pasukan PAP di East Coast telah melancarkan laman web mikro pada tengah hari 15 April yang memberi penjelasan mengenai Pelan East Coast, yang pertama kali didedahkan pada Hari Pencalonan semasa Pilihan Raya Umum 2020 apabila Encik Heng mengumumkan inisiatif tersebut.

Menerusi laman web oureastcoast.sg, penduduk dalam divisyen berbeza – Bedok, Changi Simei, Fengshan, Kampong Chai Chee, Siglap, Joo Chiat, Chai Chee – boleh mendapatkan maklumat terkini tentang pembangunan di estet mereka sejak lima tahun lalu.

Ini termasuk kerja penambahbaikan rumah, pemasangan lif dan kemudahan seperti laluan pejalan kaki berbumbung.

Malah, mereka juga boleh mendapatkan perincian mengenai pembangunan fasa seterusnya di bawah Pelan East Coast sedang pasukan PAP berusaha menunaikan janji mereka menjadikan daerah timur daerah terbaik atau ‘east side best side’.

Sementara perkembangan sepanjang lima tahun adalah baik, Encik Tong berkata mereka mahu terus melakukan lebih menjangkaui kemudahan fizikal.

“Kami rasa cara terbaik melihat rancangan ini adalah untuk melihat bagaimana penduduk menggunakan kemudahan di East Coast, bagaimana mereka ingin jalani kehidupan, bagaimana mereka ingin anak mereka membesar,” ujarnya.

Beliau menambah bahawa antara tonggak yang dekat dengan hati penduduk ialah pemuliharaan, kemampanan, penjagaan dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Pilihan raya bukan hanya tentang AP setempat, bahkan tentang pemilihan pemerintah, dan kebolehan pemerintah menjaga Singapura, warga Singapura dan kepentingan jangka panjanganya,”
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg