Pada era 1960-an, kawasan Bedok dibangunkan sebagai sebahagian daripada projek reklamasi East Coast, dengan antara kumpulan flat pertama yang dibina termasuk yang didirikan di Chai Chee dekat Bedok North Avenue 1 pada 1970-an.
Melangkah ke beberapa dekad seterusnya, estet Bedok terus berkembang maju.
Hari ini, Bedok menampilkan pelbagai kemudahan dan ciri-ciri baru, serta flat Bina Ikut Tempahan (BTO) untuk keluarga muda.
Pusat beli-belah Bedok Mall yang dihubungkan dengan stesen MRT Bedok dan pusat pertukaran bas, serta kompleks Heartbeat@Bedok yang antara lain menempatkan pusat untuk warga emas dan Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat di sana.
Tidak jauh dari situ juga terletaknya rumah berhalaman di Parbury Avenue dan Lucky Heights, dengan kondominium mewah dapat dilihat di kejauhan.
Ini menunjukkan kerencaman profil penduduk GRC East Coast, dengan keperluan yang berbeza – daripada keluarga muda yang baru berpindah masuk ke estet matang itu hingga ke warga emas yang telah berdekad lamanya tinggal di situ.
Menyusuli laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac, sempadan East Coast menyaksikan beberapa perubahan.
Estet di Chai Chee dan Joo Chiat, yang merupakan sebahagian daripada GRC Marine Parade, kini digabungkan ke dalam GRC East Coast, meningkatkan jumlah pengundi di kawasan itu daripada 120,239 kepada 150,691 dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) mendatang.
Ini menjadikan GRC lima anggota itu yang keempat terbesar dalam GE2025 – di belakang Ang Mo Kio, West Coast-Jurong West dan Nee Soon.
Sementara itu, kawasan Siglap di bawah GRC East Coast pula kini menjadi sebahagian daripada GRC Pasir Ris-Changi dengan empat anggota yang baru dibentuk.
Campuran estet perumahan privet Joo Chiat dan flat HDB di Chai Chee akan mewujudkan unsur kepelbagaian dan ketidakpastian untuk GRC East Coast, kata zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Faizal Yahya.
Beliau menambah bahawa disebabkan kerencaman profil dan latar belakang sosioekonomi penduduk yang berbeza, pengundi mungkin melihat pelbagai isu seperti pekerjaan, kos sara hidup, kemudahan dalam estet, dan harga rumah, dalam lensa yang berlainan.
“Menangani isu-isu utama ini agar ia tidak meminggirkan mana-mana kumpulan pengundi adalah penting dalam mana-mana strategi politik,” kata beliau.
Pasukan Anggota Parlimen (AP) lima anggota di GRC East Coast yang ada sekarang terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, bersama Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; Timbalan Speaker, Cik Jessica Tan; dan Cik Cheryl Chan.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu menewaskan pasukan Parti Pekerja (WP) yang diterajui Cik Nicole Seah dalam pilihan raya umum yang terakhir pada 2020.
Anggota pasukan WP yang lain terdiri daripada peguam, Encik Terence Tan dan Encik Dylan Ng; pengarah sekutu Persatuan Barah Singapura, Encik Kenneth Foo; dan penyelidik, Encik Abdul Shariff Aboo Kassim.
Pasukan PAP itu meraih 53.41 peratus undi di GRC itu, namun ia antara kemenangan paling tipis parti tersebut dan juga lebih rendah daripada 60.73 peratus undi yang diraih dalam pilihan raya 2015.
Sebaliknya, ia merupakan prestasi terbaik bagi WP di GRC itu sejak 2006 – apabila East Coast buat kali pertama ditandingi lebih daripada satu parti.
Sejak persaingan sengit dalam GE2020 itu bagaimanapun, Cik Seah telah meletak jawatan daripada WP pada 2023 selepas hubungannya dengan anggota parti dan AP GRC Aljunied pada ketika itu, Encik Leon Perera, didedahkan melalui video yang tersebar dalam talian.
Dengan perubahan kepada sempadan GRC East Coast dalam laporan EBRC, kini timbul spekulasi siapakah yang bakal kekal dalam pasukan, siapakah yang akan dikeluarkan, dan apakah ada wajah baru yang bakal diperkenalkan.
Yang pertama adalah persoalan apakah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, akan menyertai pasukan PAP di GRC East Coast, memandangkan kawasan Joo Chiat yang diwakilinya di GRC Marine Parade kini digabungkan ke dalam GRC East Coast.
Encik Tong bahkan telah dilihat bertemu penduduk East Coast termasuk semasa lawatannya ke Pasar dan Pusat Penjaja Blok 16, Bedok South, bersama-sama Encik Heng pada 23 Mac.
Dalam pada itu, timbul juga persoalan apakah Dr Maliki akan dikeluarkan daripada pasukan di East Coast kerana estet Flora Road dan Loyang di Siglap yang diwakili beliau kini telah digabungkan ke dalam GRC Pasir Ris-Changi yang baru.
Para penganalisis bagaimanapun berpendapat Encik Tong mungkin akan dihantar menerajui pasukan PAP di GRC lain.
Pengamat politik bebas, Dr Felix Tan, berkata Joo Chiat, adalah sebuah kawasan kecil yang tidak akan memberi kesan besar terhadap undi di East Coast.
“Ia tidak kemungkinan menjejas keseimbangan di sana. Di samping itu, Edwin Tong, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pemimpin 4G, mungkin akan menjadi menteri utama bagi GRC lain.
“Tidak ada maknanya mempertaruhkan segala-galanya dalam satu kawasan,” kata beliau.
Sependapat, profesor undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Madya Eugene Tan, berkata bahawa adalah tidak mengejutkan jika Encik Tong dikerahkan untuk menerajui sebuah GRC baru, seperti Punggol.
“Tidak jelas apakah Menteri Tong akan bertanding di sana (East Coast) walaupun kawasan yang diwakilinya sekarang akan menjadi sebahagian daripada GRC itu dalam GE2025,” kata beliau.
“Dalam GRC lima anggota, undian bagi PAP dari kawasan Joo Chiat tidak semestinya akan membawa perbezaan,” tambahnya.
Berkenaan Dr Maliki pula, Dr Faizal berkata meskipun kawasan Siglap diwakili Dr Maliki kini dimasukkan ke dalam GRC Pasir Ris-Changi, beliau bagaimanapun merupakan calon minoriti di East Coast dalam GE2020.
Zamil penyelidik kanan IPS, Dr Gillian Koh, pula menarik perhatian kemungkinan, Cik Jessica Tan, digantikan dengan wajah baru dalam pasukan PAP, memandangkan beliau telah menjadi AP kawasan itu selama empat penggal sejak 2006.
Bahkan, seorang wajah PAP baru – Cik Melissa Tan, ketua pegawai eksekutif (CEO) firma kitar semula dan pengurusan sampah, Wah & Hua – telah dilihat bertemu penduduk East Coast bersama AP, Cik Cheryl Chan.
Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun, mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), turut dilihat mengiringi kumpulan AP GRC East Coast dalam lawatan ke Masjid Al-Ansar di Bedok pada pagi 31 Mac sempena solat Hari Raya Aidilfitri.
Bagi pasukan parti pembangkang WP pula, Dr Felix Tan berkata parti itu telah kehilangan “kuasa bintang utama” iaitu Cik Seah, dan tiada pengganti yang mempunyai daya tarikan seperti beliau.
Terdapat kemungkinan WP akan meletakkan seseorang yang mempunyai kelayakan kukuh, profesional yang berpendidikan tinggi, yang mempunyai dorongan untuk berkhidmat kepada penduduk.
“Di samping itu, ia mestilah seseorang yang penduduk kenali dan boleh rasa dekat dengannya. WP akan berhati-hati dalam memasuki GRC East Coast sekarang. Setelah kehilangan Nicole Seah, peluang WP untuk terus maju di sana mungkin agak tipis,” kata beliau.
Selain Cik Seah, Encik Terence Tan juga tiada lagi bersama WP. Beliau meninggalkan parti tersebut pada 2024 untuk memberi tumpuan pada kerjaya dan keluarganya.
Sementara itu, Encik Kenneth Foo dan Encik Abdul Shariff, terus dilihat aktif mendekati penduduk East Coast bersama dengan wajah baru, peguam Encik Ang Boon Yaw, kata Dr Faizal.
Meskipun profil penduduk GRC East Coast rencam, para penganalisis menjangkakan isu sehari-hari seperti kos sara hidup, perumahan dan pekerjaan, menjadi antara faktor penentu bagi penduduk apabila mereka keluar mengundi kelak.
Bagaimanapun, dek kerencaman profil dan latar belakang sosioekonomi yang berbeza dalam kalangan penduduk, isu-isu sedemikian mungkin dilihat dalam lensa berbeza dalam kumpulan yang berlainan.
“Contohnya, penduduk, orang bujang dan pasangan lebih muda mempunyai keperluan berbeza berbanding penduduk lebih tua yang telah tinggal di sana selama beberapa dekad,” kata Dr Faizal.
“Pengundi lebih tua kemungkinan akan memberi tumpuan pada penambahbaikan estet seperti lebih banyak prasarana yang disesuaikan untuk membantu pergerakan warga emas.
“Sebaliknya, penduduk lebih muda mungkin mengutamakan kemudahan penjagaan kanak-kanak jika mereka (merupakan) ibu bapa atau kemudahan riadah,” tambahnya.
Dr Faizal menambah bahawa penduduk lebih berusia yang sudah tinggal di sana berdekad lamanya juga mungkin mengundi pasukan PAP yang mewakili mereka sekarang, namun belum pasti apakah itu halnya bagi pengundi lebih baru.
Dr Felix Tan pula berkata ramai penduduk East Coast mungkin tertanya-tanya sama ada akan ada lebih penjelasan tentang Pelan East Coast – kali pertama didedahkan pada Hari Pencalonan semasa GE2020 apabila Encik Heng mengumumkan inisiatif itu.
Dalam satu laporan The Straits Times pada Januari 2025, Pejabat Kawasan Undi Berkumpulan East Coast di bawah Persatuan Rakyat (PA) menyatakan bahawa pelbagai program dan inisiatif di bawah Pelan East Coast itu telah dilancarkan sejak 2020 bagi menangani isu-isu yang dihadapi golongan penduduk yang berlainan.
Contohnya, terdapat program kerusi roda percuma bagi warga emas dengan masalah pergerakan, bengkel melengkapi warga emas dengan kemahiran digital, dermasiswa bagi menggalak wanita menceburi pendidikan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (Stem), dan inisiatif pembersihan pantai di Taman East Coast.
Terdapat juga langkah-langkah membantu penduduk dalam soal kos sara hidup, seperti inisiatif 200=100@East Coast, yang membolehkan penduduk bergaji rendah membeli barang pasar seperti beras, telur dan minyak masak pada separuh harga, dengan had $200, sekali setiap dua bulan.
Bagaimanapun, tidak semua penduduk begitu tahu ataupun jelas tentang Pelan East Coast tersebut.
Bagi pensyarah, Encik Firdaus As’at, 37 tahun, yang sudah menetap di Simei selama tiga dekad, walaupun beliau sedikit sebanyak tahu bahawa pelan itu bertujuan meningkatkan sekitaran kehidupan di kawasan GRC East Coast melalui pelbagai inisiatif, beliau tidak begitu jelas tentang perinciannya.
“Sebagai contoh, terdapat rancangan untuk memperkenalkan kawasan permainan baru dan memperluaskan program diskaun barangan runcit bagi membantu penduduk.
“Walaupun inisiatif ini sangat baik, nampaknya tidak semua penduduk mengetahuinya.
“Oleh itu, komunikasi mengenai rancangan ini boleh diperbaiki melalui buletin masyarakat, media sosial dan sesi dialog bersama penduduk supaya semua orang mendapat maklumat dan dapat menikmati manfaat pembangunan ini,” katanya.
Penduduk East Coast yang ditemui dan dihubungi Berita Harian baru-baru ini secara umumnya berkongsi mereka gembira dan senang hati dengan prasarana dan kemudahan yang disediakan di estet mereka.
Ini seperti kompleks Heartbeat@Bedok, kemudahan dan khidmat dipertingkat di Hospital Besar Changi (CGH), lebih banyak laluan pejalan kaki terlindung, dan adanya lebih banyak tempat makan halal.
“Estet kami dijaga dengan baik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.
“Kami telah melihat banyak perubahan sejak bertahun-tahun lalu di GRC ini, termasuk penambahbaikan kepada pusat pertukaran bas, poliklinik baru di Heartbeat@Bedok, pusat beli-belah Bedok Mall, dan stesen MRT baru di Laluan Downtown,” kata Cik Asiah Osman, 75 tahun, yang tinggal di kawasan Bedok sejak 1999.
Namun, para penduduk turut menimbulkan beberapa keprihatinan tentang isu perbandaran.
Seorang penduduk Simei berusia 39 tahun yang enggan namanya didedahkan, berkata kebersihan di sekitar estet perumahannya boleh ditambah baik lagi.
Peguam itu turut berkata adalah baik jika lebih banyak bas boleh disediakan dan jika pusat beli-belah Eastpoint Mall mempunyai kemudahan lebih baik.
Cik Siti Syalihah Abd Rahman, penduduk Simei berusia 36 tahun, turut berkata isu kebersihan merupakan antara keprihatinannya.
“Ada kalanya orang buang barang besar dalam tong sampah besar dan juga letakkannya di tepi tong sampah itu.
“Hampir setiap hari pasti akan ada barang besar yang dibuang. Ini menimbulkan bahaya keselamatan dan juga tidak sedap mata memandang,” kata beliau.
Pelajar, Encik Mohamed Haady, 24 tahun, pula berharap khidmat bas yang melalui jalan raya kecil dalam estet itu dapat disediakan.
“Contohnya, di Bedok North Avenue 4, walaupun ada khidmat bas 18 sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khidmatnya disediakan untuk satu arah sahaja kerana arah yang bertentangan berakhir di depoh.
“Digabungkan dengan selang masa yang lama, ia jarang bermanfaat, walaupun dapat difahami bahawa selang masa yang lama itu adalah kerana ia melalui jalan raya lebih kecil dengan kurang ramai orang,” kata beliau.
Selain isu perbandaran, soal kos sara hidup juga rata-rata menjadi kebimbangan utama ramai penduduk.
Penduduk Bedok Reservoir View yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Subee, 66 tahun, berkata meskipun baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) yang disediakan pemerintah untuk menangani isu kos sara hidup banyak membantu, namun ia mungkin tidak mencukupi untuk keluarga besar dengan lebih banyak keperluan.
Cik Siti Syalihah pula menambah: “Harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan penjagaan kesihatan agak tinggi. Saya juga prihatin dengan kos barangan untuk anak-anak seperti susu dan lampin.”
Ditanya apakah ciri-ciri yang dicari penduduk dalam calon yang bertanding dalam GE nanti, penduduk GRC East Coast secara umumnya berkongsi mereka mahukan calon yang bermutu, berkelayakan, aktif dalam mendekati penduduk, dan benar-benar mengambil berat tentang masyarakat.
“Saya mencari calon yang mempunyai keupayaan menjalin hubungan dengan penduduk, benar-benar prihatin tentang masyarakat, proaktif dan selalu berkongsi maklumat terkini bersama penduduk,” kata penduduk Simei dan suri rumah, Cik Nirwana Jainal, 35 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg