Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eng Hwa: Peranan AP penting dalam perjuangkan kepentingan penduduk

Apr 30, 2025 | 9:40 PM
Encik Liang Eng Hwa merancang menjadikan Bukit Panjang sebagai “zon kesejahteraan” dengan pelbagai kemudahan baru seperti taman terapeutik, sukan masyarakat, pusat penuaan aktif serta program kesihatan mental dan kesejahteraan.
Encik Liang Eng Hwa merancang menjadikan Bukit Panjang sebagai “zon kesejahteraan” dengan pelbagai kemudahan baru seperti taman terapeutik, sukan masyarakat, pusat penuaan aktif serta program kesihatan mental dan kesejahteraan. - Foto ST

Penyandang kerusi SMC Bukit Panjang (SMC), Encik Liang Eng Hwa, menegaskan Anggota Parlimen (AP) memainkan peranan penting memperjuangkan projek dan inisiatif yang memberi manfaat kepada penduduk.

Beliau yang mewakili Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyifatkan tanggapan bahawa siapa calon AP tidak penting dan agensi pemerintah akan secara automatik melaksanakan semua projek yang dirancang sebagai “tidak munasabah”.

Kenyataan tersebut merupakan respons kepada calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Profesor Paul Tambyah, yang sebelum ini berkata perkhidmatan awam Singapura adalah profesional dan cekap, justeru sebarang projek yang diluluskan akan tetap diteruskan tanpa mengira siapa yang menjadi AP kawasan tersebut.

“Apabila usaha saya kadangkala tidak berjaya, saya bawa isu-isu ini ke Parlimen dan mengajukan kepada Menteri berkenaan untuk pertimbangan lanjut, jika perlu,” kata Encik Liang yang juga menyifatkan dirinya sebagai ‘anak jati’ kawasan itu.

Berucap di rapat Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Encik Liang, yang telah berkhidmat selama hampir dua dekad, berkata walaupun agensi pemerintah adalah profesional, mereka tetap berhak menolak cadangan projek jika ia tidak selari dengan dasar semasa atau keutamaan kementerian.

“Tugas seorang AP bukan sekadar menerima perancangan sedia ada, malah membina kes yang kukuh berdasarkan maklum balas penduduk, berunding dengan agensi dan kementerian, serta melobi untuk mendapatkan kelulusan dan pembiayaan,” kata Encik Liang kepada penyokongnya di Sekolah Rendah Beacon pada 30 April.

“Projek seperti rangkaian jalan Senja-KJE, pembinaan semula dua pusat penjaja dan pengenalan laluan bas 972 adalah hasil daripada usaha gigih dan berterusan yang saya lakukan bersama penduduk Bukit Panjang,” jelas beliau.

Encik Liang, yang pernah dikatakan sebagai ‘ahli politik paling rajin’ dalam satu tinjauan, turut menegaskan bahawa tanpa usaha melobi dan perancangan teliti, banyak projek tidak akan menjadi kenyataan.

Beliau dan Profesor Tambyah bersaing semula di Bukit Panjang dalam GE2025.

Dalam pertandingan pada 2020, Encik Liang menang selepas memperoleh 53.73 peratus undi, menewaskan Profesor Tambyah.

Encik Liang menekankan bahawa seorang AP mesti mampu menyumbang di dua peringkat – membahaskan dasar dan isu nasional di Parlimen, dan menyelesaikan masalah dan keperluan penduduk di lapangan.

“Anda memerlukan Anggota Parlimen berpengalaman untuk meneruskan projek dan melihatnya membuahkan hasil.

“Jika dipilih, saya komited untuk semua projek yang dijalankan,” katanya yang turut berkongsi rancangannya untuk Bukit Panjang untuk lima tahun akan datang.

“Saya berpuas hati kerana dapat memainkan peranan dalam memodenkan dan menaik taraf kawasan Bukit Panjang,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg