Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pertarungan dijangka sengit di SMC Jalan Kayu, Sembawang West, Bukit Panjang

Calon PAP, Ng Chee Meng saing dengan pendatang baru WP, Andre Low bagi SMC Jalan Kayu
Apr 23, 2025 | 8:26 PM
Calon-calon di SMC yang dijangka jadi tumpuan: (Atas, dari kiri) Encik Ng Chee Meng (PAP – Jalan Kayu), Cik Poh Li San (PAP – Sembawang West), Encik Henry Kwek (PAP – Kebun Baru); (Bawah, dari kiri) Encik Andre Low (WP – Jalan Kayu), Dr Chee Soon Juan (SDP – Sembawang West), Dr Paul Tambyah (SDP – Bukit Panjang).
Calon-calon di SMC yang dijangka jadi tumpuan: (Atas, dari kiri) Encik Ng Chee Meng (PAP – Jalan Kayu), Cik Poh Li San (PAP – Sembawang West), Encik Henry Kwek (PAP – Kebun Baru); (Bawah, dari kiri) Encik Andre Low (WP – Jalan Kayu), Dr Chee Soon Juan (SDP – Sembawang West), Dr Paul Tambyah (SDP – Bukit Panjang). - Foto ST

Pendatang baru dari Parti Pekerja (WP), Encik Andre Low, akan bersaing dengan Encik Ng Chee Meng daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) di SMC Jalan Kayu dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

PAP mengumumkan pada 19 April bahawa Encik Ng, yang juga ketua gerakan pekerja, akan bertanding di kerusi tunggal itu, namun sehingga Hari Penamaan Calon pada 23 April, masih belum jelas siapa lawannya.

WP sebelum ini telah mengedarkan risalah di kawasan Jalan Kayu tanpa menamakan calon yang bakal bertanding di kawasan tersebut.

Pada Hari Penamaan Calon, Encik Low, 33 tahun, pengurus produk kanan di syarikat kewangan teknologi (fintech) sejagat, dilihat memasuki Sekolah Menengah Deyi di Ang Mo Kio sekitar 10.30 pagi dengan ditemani seorang lagi anggota WP, Encik Tan Kong Soon, 48 tahun.

Namun, hanya Encik Low menaiki ke dewan dan membuat permohonan. Beliau adalah antara 14 muka baru WP pada GE2025.

Sekolah tersebut juga merupakan pusat penamaan calon bagi GRC Ang Mo Kio, SMC Kebun Baru dan SMC Yio Chu Kang – kawasan-kawasan yang tidak ditandingi WP.

Di SMC Yio Chu Kang, calon PAP, Encik Yip Hon Weng, 48 tahun, akan bersaing dengan calon Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Encik Michael Fang, 48 tahun, seorang pensyarah kolej swasta.

Bagi SMC Kebun Baru pula, calon PAP, Encik Henry Kwek, 49 tahun, akan bersaing dengan calon Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Tony Tan, 55 tahun.

Bercakap kepada wartawan selepas penamaan calon, Encik Low menjelaskan mengapa beliau ingin bertanding di SMC tersebut.

“Kami (WP) rasa seperti kami adalah sebahagian daripada keluarga Sengkang dengan pertalian rapat di sini, lebih-lebih lagi kami dahulu pernah bertanding di kawasan ini semasa ia dikenali sebagai SMC Sengakang West... rasanya seperti kami ‘pulang ke rumah’,” ujar Encik Low yang bakal menimang cahaya matanya yang pertama.

Sebagai seorang calon muda, mantan peguam itu yakin beliau dapat menyuarakan isu dan masalah yang dihadapi ramai penduduk muda di kawasan itu, tambah beliau.

Pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), WP menewaskan pasukan PAP yang dipimpin Encik Ng di GRC Sengkang.

Parti itu bertanding di SMC Sengkang West namun tidak berjaya dalam Pilihan Raya Umum 2011 dan 2015. SMC itu kemudian dimansuhkan pada 2020.

Pesaingnya, Encik Ng, kelihatan ceria, tersenyum dan melambai kepada para penyokong dan media.

Mengenai pertandingan menentang Encik Low, Encik Ng berkata beliau mengharapkan persaingan yang adil dan berhemah.

Beliau berkongsi bahawa sejauh ini, beliau telah banyak mendengar luahan penduduk berkenaan isu kos sara hidup, kebimbangan terhadap pekerjaan, serta pelbagai cabaran di peringkat masyarakat.

Encik Ng berkata: Saya berharap dapat meraih undi supaya saya boleh mewakili mereka di Parlimen, bersuara bagi pihak mereka, dan mengambil tindakan praktikal untuk meningkatkan kehidupan masyarakat di Jalan Kayu dan Fernvale.”

Di SMC Sembawang West yang juga baru diwujudkan, calon PAP, Cik Poh Li San, akan menentang ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Dr Chee Soon Juan.

Cik Poh, 50 tahun, mengumumkan pencalonannya semasa sidang media di Beaulieu House pada 22 April, dengan PAP turut mengesahkan pasukan lima anggota bagi GRC Sembawang.

Persaingan dijangka sengit kerana Dr Chee, 62 tahun, bukan sahaja pemimpin SDP, bahkan seorang politik veteran yang telah bertanding dalam beberapa pilihan raya sejak 1990-an dan dikenali ramai atas pendiriannya mengenai kebebasan bersuara dan hak asasi.

Satu lagi persaingan di SMC yang dijangka hangat ialah SMC Bukit Panjang. Kawasan itu akan sekali lagi ditandingi pengerusi SDP, Dr Paul Tambyah, 60 tahun, dan calon PAP, Encik Liang Eng Hwa.

Semasa taklimat media pada 15 April, Encik Liang menyifatkan Dr Tambyah sebagai “lawan yang hebat” dan bakal memberi saingan sengit di Bukit Panjang.

“Saya jangka pertandingan ini sangat sengit, dan kemenangan boleh pergi ke mana-mana pihak.

“Pilihan raya adalah sesuatu yang luar biasa dan saya akan lakukan yang terbaik bagi penduduk Bukit Panjang,” ujar Encik Liang.

Dalam GE2020, SMC Bukit Panjang merupakan antara kerusi yang paling sengit dipertandingkan, dengan PAP berjaya mengekalkan kerusi SMC itu dengan 53.73 peratus undi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg