Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Faishal: Politik identiti, campur tangan asing jejas keharmonian S’pura

Apr 26, 2025 | 10:00 PM
faishal ibrahim, GE2025, GRC Marine Parade-Braddell Heights
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menyeru rakyat Singapura agar menolak politik identiti dan mempertahankan keharmonian kaum serta agama yang telah lama dibina. - Foto ST

Unsur-unsur yang mendorong politik identiti dan campur tangan asing boleh menghakis keharmonian kaum serta agama di Singapura yang telah dibina selama ini.

Berucap di Rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Punggol yang diadakan di Sekolah Menengah Yusof Ishak pada 26 April, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menegaskan bahawa rakyat Singapura perlu sentiasa berwaspada terhadap ancaman sedemikian kerana ia boleh menjejas kestabilan masyarakat berbilang bangsa negara.

Dr Faishal berkata: “Unsur-unsur yang akan menggalakkan politik identiti dan ancaman asing dalam urusan negara akan mengikis keharmonian kaum yang dibina selama ini. 

“Kita harus berwaspada terhadap isu sedemikian kerana ia akan menjejas kestabilan kehidupan Singapura sebagai masyarakat berbilang bangsa.”

Beliau menegaskan bahawa keharmonian kaum dan agama Singapura adalah pencapaian luar biasa yang dikagumi dunia dan satu “impian bagi kebanyakan masyarakat di serata dunia”.

Mengakui bahawa usaha membangunkan masyarakat berbilang bangsa dan agama bukan satu perjalanan yang mudah, Dr Faishal berkata ia juga memerlukan usaha dari pelbagai pihak termasuk rakyat Singapura.

“Perjalanan untuk membangunkan masyarakat berbilang bangsa dan agama bukan mudah.

“Ia memerlukan dasar, undang-undang dan landskap yang kondusif.

“Rakyat Singapura sendiri memainkan peranan progresif dalam mengekalkan keharmonian ini,” ujarnya.

Beliau turut menambah insiden-insiden berkaitan kaum dan agama, sama ada di dalam atau luar negara, boleh menjejas keseimbangan sosial jika tidak ditangani dengan berhemah.

Ucapan beliau susulan insiden baru-baru ini yang melibatkan beberapa individu warga asing, termasuk pemimpin Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan individu yang pernah terlibat dengan aktiviti ekstremisme, yang menggunakan media sosial untuk menerbitkan kandungan berunsur politik semasa Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) Singapura.

Justeru, Dr Faishal menyeru rakyat agar menolak politik identiti dan menentang sebarang bentuk campur tangan asing dalam urusan negara, terutamanya semasa musim pilihan raya.

“Kita memerlukan sokongan kuat daripada semua rakyat, termasuk masyarakat Melayu/Islam, untuk mempertahankan keharmonian yang kita bina bersama,” kata wakil pasukan PAP yang memenangi GRC Marine Parade-Braddell Heights tanpa tanding itu lagi.

 Unsur-unsur yang akan menggalakkan politik identiti dan ancaman asing dalam urusan negara akan mengikis keharmonian kaum yang dibina selama ini. Kita harus berwaspada terhadap isu sedemikian kerana ia akan menjejas kestabilan kehidupan Singapura sebagai masyarakat berbilang bangsa.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim,  yang juga wakil Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg