Walaupun iklim ekonomi tidak menentu, rakyat Singapura harus tetap mengundi Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) ke Parlimen kerana parti tersebut telah menunjukkan bahawa ia boleh menjadi “kuasa untuk kebaikan” semasa krisis, kata ketuanya, Encik Pritam Singh.
Sebahagian besar daripada ucapan Encik Pritam semasa rapat WP dihabiskan untuk berucap tentang sebab mengapa ketidaktentuan global yang dicetuskan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China tidak seharusnya menghalang pengundi daripada menyokong WP.
“Parlimen dengan AP WP yang lebih rasional, dihormati dan responsif tidak akan menghambat Singapura. WP telah diuji ketika Singapura berada dalam krisis,” katanya, menyentuh mengenai pandemik Covid-19.
“Malah Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengakui bagaimana WP telah menyokong usaha nasional.
“WP (ialah) kuasa untuk kebaikan... Ia telah membuktikan dirinya sebagai pembangkang yang setia di Parlimen, setia, bukan terhadap PAP tetapi kepada Singapura dan rakyat Singapura.
“Kami akan melakukan perkara yang sama sedang Singapura mengemudi peralihan yang panjang ini kepada peraturan dunia baru,” katanya.
Beliau menambah bahawa AP WP juga akan menawarkan idea bebas untuk “memecahkan pemikiran kumpulan PAP”, selain daripada menyokong pemerintah jika diperlukan.
Beliau berkata beberapa tahun akan datang mungkin memberi peluang untuk membuat penambahbaikan struktur kepada ekonomi Singapura seperti kurang pergantungan kepada pekerja asing dan perlindungan yang lebih baik untuk pekerja daripada pemberhentian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg