Beberapa kejutan dijangka sempena Hari Penamaan Calon pada 23 April, yang membuka tirai tempoh berkempen sembilan hari dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), yang dijangka paling sengit dalam sejarah.
Diadakan di tengah-tengah suasana geopolitik yang bergelora dan tidak menentu, golongan muda juga dijangka memainkan peranan penting dalam pilihan raya ini dengan kawasan undi baru, GRC Punggol, dengan lebih separuh daripada sekitar 120,000 pengundinya berusia antara 21 dengan 45 tahun, mencerminkan persaingan tersebut secara paling ketara.
GE2025 juga merupakan detik penting bagi parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), dengan setiausaha agung, Encik Lawrence Wong, memimpin parti tersebut dalam pilihan raya pertamanya sebagai Perdana Menteri dan ketua barisan pemimpin generasi keempat (4G).
Buat masa ini, calon PAP bagi tiga GRC – Tanjong Pagar, East Coast dan Punggol – serta dua SMC iaitu Radin Mas dan Queenstown masih belum diumumkan.
Parti Pekerja (WP), yang pada GE2020 memenangi dua GRC – Sengkang dan Aljunied, serta SMC Hougang – pula masih belum mendedahkan kawasan undi yang bakal ditandinginya.
Malah, beberapa kawasan undi seperti GRC Tampines, Sembawang dan Tanjong Pagar masing-masing telah menarik minat berbilang parti pembangkang, yang mencadangkan persaingan berbilang penjuru boleh berlaku di kawasan tersebut.
Empat menteri Kabinet masih belum dinamakan sebagai bakal calon pada masa ini.
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang masing-masing menerajui GRC Tanjong Pagar dan GRC East Coast pada GE2020, masih belum dinamakan sebagai bakal calon.
Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, tidak akan bertanding di GRC Pasir Ris-Changi, tetapi berkata beliau masih hadir untuk memberi sumbangan sebagaimana yang diperlukan oleh PM Wong.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik EdwinTong, yang bertanding di GRC Marine Parade pada GE2020 juga belum dinamakan secara rasmi sebagai bakal calon, walau beliau dijangka berpindah ke GRC East Coast kali ini, kerana daerah mengundi Joo Chiat yang diwakilinya telah diserap ke GRC tersebut.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) beberapa pengamat politik berkata sikap berahsia yang diambil kededua parti pemerintah dan parti pembangkang berhubung bakal calon masing-masing di kawasan tertentu menambah kepada kemungkinan kejutan yang boleh berlaku pada Hari Penamaan Calon.
Pengamat politik bebas, Dr Felix Tan, berkata:
“Persoalannya ialah siapa yang akan menyerahkan kertas pencalonan terlebih dahulu. Adakah PAP atau parti pembangkang yang mengatakan mereka akan bertanding di kawasan undi itu.
“Jika pembangkang mengemukakan pencalonan mereka di kawasan itu, maka parti penyandang – PAP – akan lebih berkuasa dalam menentukan siapa yang mereka mahu letak di kawasan undi itu. Namun, sebarang kejutan hanya akan berlaku kerana PAP mungkin melihat pembangkang di situ sebagai agak hebat,” katanya.
Menambah, Dr Tan berkata persaingan di kawasan undi demikian dan beberapa kawasan undi lain dijangka lebih sengit bagi GE2025 kerana beberapa parti dianggap bersiap sedia dengan individu yang berkelayakan tinggi.
“Ramai calon mungkin menjangkau kepada kumpulan umur yang sama iaitu pengundi lebih muda. Oleh itu, pengundi perlu lebih arif tentang siapa yang akan mereka undi. Dan kerana calon-calon itu sangat serupa – daripada segi kelayakan mereka – pengundi perlu menilai sama ada calon-calon itu selaras dengan nilai mereka dan/atau memahami apakah dorongan di sebalik keinginan mereka untuk bertanding dalam pilihan raya ini,” katanya.
Sebagai contoh, WP telah menampilkan dua peguam Melayu/Islam dalam senarai calon muka baru iaitu Cik Siti Alia Abdul Rahim Mattar, 43 tahun, dan Encik Sufyan Mikhail Putra, 33 tahun. Ia juga menampilkan peguam kanan dan rakan kongsi pengurusan di firma guaman Audent Chambers LLC, Encik Harpreet Singh Nehal, 59 tahun.
Pada masa yang sama, PAP telah menampilkan pakar bedah gigi, Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun di GRC Aljunied, serta pakar psikiatri, Dr Syed Harun Alhabsyi, 40 tahun di GRC Nee Soon dan di GRC West Coast-Jurong West pula, pakar bedah ortopedik, Dr Hamid Razak, 39 tahun, telah ditampilkan.
Empat GRC – Marine Parade-Braddell Heights, West Coast-Jurong West, East Coast dan Sengkang – dijangka menjadi medan persaingan sengit pada GE2025, antaranya kerana jurang kemenangan mata peratusan yang tipis di kawasan-kawasan tersebut pada GE2020.
PAP menang dengan kelebihan 15.48 mata peratusan undi di GRC Marine Parade pada GE2020.
Pada GE2020, GRC West Coast – yang kini dikenali sebagai West Coast-Jurong West – menyaksikan pasukan PAP yang diterajui mantan Menteri Pengangkutan, Encik S. Iswaran, menang tipis dengan kelebihan 3.36 mata peratusan undi ke atas Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin Dr Tan Cheng Bock.
Pasukan PAP di GRC East Coast pula meraih kemenangan dengan kelebihan 6.78 mata peratusan undi, sementara WP menang dengan kelebihan 4.24 mata peratusan undi di GRC Sengkang.
GE2025 ini juga menyerlah dengan kehadiran calon wanita paling ramai yang diperkenalkan dengan PAP sejauh ini mengetengahkan 13 calon wanita daripada 32 calon baru.
Sebanyak 97 kerusi dipertaruhkan sempena Hari Mengundi pada 3 Mei – satu rekod – yang dibahagikan kepada 33 kawasan undi iaitu 15 SMC dan 33 GRC. Laporan tambahan oleh Nur Dhuha Esoof


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg