Pengundi boleh menonton ucapan calon pilihan raya di televisyen menerusi dua siaran politik parti (PPB) bagi pilihan raya umum akan datang pada 25 April dan 1 Mei.
Hanya parti politik yang mempunyai sekurang-kurangnya enam calon di bawah lambang parti yang diiktiraf layak menyertai PPB, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) dalam satu kenyataan pada 21 April.
Ia turut memperincikan garis panduan berkempen bagi tempoh bermula pada Hari Penamaan Calon pada 23 April hingga tamat tempoh mengundi pada 3 Mei.
Calon bebas dan parti politik yang mempunyai kurang daripada enam calon tidak layak menyertai PPB, yang akan memberi parti politik masa siaran percuma untuk menyampaikan mesej kempen mereka sepanjang tempoh berkempen di enam saluran televisyen percuma dan 13 stesen radio.
Parti politik boleh memilih untuk berucap dalam bahasa Inggeris, Mandarin, Melayu dan/atau Tamil, lapor The Straits Times.
PPB mesti mematuhi semua kod amalan yang berkaitan untuk televisyen dan radio, termasuk “memastikan bahawa kandungan (siaran) yang merujuk kepada kaum dan agama disampaikan secara tepat dan memaparkan rasa hormat,” kata ELD.
Kandungan siaran politik juga tidak boleh “diselewengkan dengan meninggalkan fakta atau dengan memberi penekanan mengelirukan, dan tidak boleh mengandungi fitnah atau bahan jenayah,” tambah ELD.
Selain tarikh dua PPB tersebut, ELD mengeluarkan garis panduan tambahan berkaitan aktiviti berkempen yang akan berkuat kuasa dari Hari Penamaan Calon hingga tamat Hari Mengundi:
Calon boleh melakukan lawatan mendekati penduduk dan lawatan ke rumah tanpa permit daripada polis jika:
* Calon, ejen pilihan raya atau orang yang diberi kuasa oleh calon untuk menjalankan aktiviti pilihan raya hadir semasa lawatan mendekati penduduk dan lawatan ke rumah;
* Aktiviti berkenaan diadakan dalam tempoh berkempen dari 7 pagi hingga 10.30 malam;
* Lawatan mendekati penduduk dan lawatan ke rumah tidak menyebabkan halangan kepada jalan raya awam atau tempat awam, kekacauan awam, kerosakan harta benda atau bunyi bising yang menyebabkan gangguan kepada penduduk atau aktiviti di kawasan sekitarnya.
Sepanduk, bendera dan poster yang dipamerkan secara terbuka semasa tempoh berkempen mesti mematuhi Akta Pilihan Raya Parlimen 1954 dan Peraturan-Peraturan (Pengiklanan Pilihan Raya) Parlimen 2024.
“Bentuk pengiklanan pilihan raya bukan dalam talian ini juga mesti mematuhi undang-undang negara yang lain dan tidak bersifat menghasut dan tidak boleh mengandungi “bahan yang boleh menyebabkan kebimbangan dan kegusaran,” kata ELD.
Calon boleh berkempen dalam talian melalui media sosial, laman web, podcast dan e-mel, mengikut peraturan Iklan Pilihan Raya Dalam Talian (OEA) dalam Akta Pilihan Raya Parlimen dan Peraturan-Peraturan (Pengiklanan Pilihan Raya) Pilihan Raya Parlimen.
Hanya parti politik, calon dan ejen pilihan raya boleh menerbitkan iklan pilihan raya dalam talian berbayar.
Pihak lain boleh menerbitkan iklan ini hanya jika mereka menerima kebenaran bertulis daripada calon atau ejen pilihan raya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg