Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC East Coast, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Cik Hazlina Abdul Halim, menggambarkan generasi muda Singapura sebagai ‘multiple hyphenates’, iaitu generasi yang mempunyai pelbagai identiti, minat dan aspirasi.
“Bukannya hati kita senang tergores, tetapi kita berani untuk lebih emosi.
“Bukan kerana kita bersikap terlalu idealistik, tetapi kerana kita menetapkan jangkaan tinggi setelah melihat kejayaan ibu bapa kita.
“Bukan kerana semangat kita mudah luntur, tetapi kerana kita mengalami keperitan dan berani menunjukkan kelemahan,” jelas Cik Hazlina pada rapat tengah hari Parti Tindakan Rakyat (PAP) di UOB Plaza pada 28 April.
Teras ucapannya adalah penekanan bahawa generasi muda bukan golongan rapuh, tetapi kumpulan yang tabah dan idealistik.
Dalam ucapannya, Cik Hazlina turut menggunakan istilah popular dalam kalangan Generasi Z, seperti ‘no cap’ (bermaksud sejujurnya); ‘facts’ (sebagai pengesahan sesuatu itu benar); dan ‘glow up’ (perubahan positif dari segi kejayaan atau penambahbaikan); mungkin dengan harapan untuk kelihatan lebih relevan dan dekat di hati pengundi muda.
Cik Hazlina turut berkongsi perjalanan peribadinya – daripada seorang wartawan yang menghargai fakta dan konteks, kepada seorang wanita dalam kalangan 13.1 peratus wanita setempat, yang menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Mengimbas pengalamannya sebagai Presiden Lembaga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), sebuah agensi perkhidmatan sosial yang membantu wanita, kanak-kanak dan keluarga, Cik Hazlina, 40 tahun, menceritakan bagaimana pasukannya berusaha membantu golongan rentan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Di dalam setiap peranan yang dipegang, katanya, harapan, kekuatan dan kegembiraan adalah tunjang utama.
Dalam ucapannya, Cik Hazlina, yang turut bertutur dalam bahasa Melayu, menyeru masyarakat supaya menghargai pencapaian Singapura yang dibina atas pengorbanan generasi terdahulu.
Beliau menegaskan, sepertimana cita-cita generasi lalu telah mengubah tanah lumpur menjadi sebuah kota metropolitan moden, generasi kini juga perlu berani mempunyai impian besar dan bekerja keras demi masa depan lebih gemilang.
“Saudara lihat sahaja di sekeliling anda, betapa megahnya suasana,” katanya.
Cik Hazlina turut menyuarakan tentang penambahbaikan peluang pekerjaan dan usaha memupuk lebih ramai warga Singapura agar memegang jawatan kepimpinan.
“Seperti anda, saya inginkan pejabat yang memastikan kesaksamaan, berlaku adil dan selamat untuk semua.
“Seperti anda, saya ingin melihat lebih ramai warga Singapura menerajui jawatan kepimpinan. PAP akan menyokong tenaga kerja untuk mencapai aspirasi.
“Jangan sesekali kita putus asa. Biar putih tulang, jangan putih mata,” tegas beliau, sambil mengingatkan bahawa kesejahteraan masyarakat harus menjadi keutamaan bersama.
Cik Hazlina turut mengajak warga Singapura agar terus maju bersama, biarpun banyak negara dunia sedang menghadapi keadaan tidak menentu.
“Dalam suasana global kerap berubah dan tidak menentu, Singapura mesti membina sebuah negara yang berdaya tahan, yakin dan penuh rasa prihatin,” ujarnya.
Beliau turut memberi kata-kata perangsang kepada mereka yang sedang mengejar kerjaya dan yang berhasrat membina keluarga.
“Kepada (rakan-rakan) yang sedang mengejar kerjaya, teruskan usaha dan ikut rentak sendiri! Kepada rakan-rakan yang berhasrat membina keluarga – semoga berjaya!”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg