Calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) di SMC Jalan Kayu, Encik Ng Chee Meng, berkata beliau mahu bertanding semula dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) untuk berkhidmat kepada penduduk, bukan untuk kepentingan peribadi dan bukan dengan sebarang jaringan keselamatan.
“Tidak ada ‘pelabuhan’ yang selamat. Saya berdiri di hadapan anda kerana saya mahu berkhidmat, bukan dengan sebarang jaringan keselamatan,” kata Encik Ng, semasa rapat PAP di Sekolah Rendah Fern Green pada 27 April.
Kenyataannya itu dilihat sebagai reaksi kepada hujah Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, pada 26 April bahawa orang ramai tidak perlu mengundi calon PAP seperti Encik Ng kerana jika mereka tewas, mereka boleh pergi ke NTUC, disifatkan Encik Pritam sebagai ‘tempat selamat’ bagi calon PAP.
Encik Ng, yang merupakan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menyatakan bahawa misinya adalah sama seperti ketika beliau memperjuangkan hak pekerja dalam NTUC iaitu untuk memastikan suara rakyat terus dibela.
“Apabila saya berkhidmat di NTUC, saya bertemu ramai pekerja. Saya dengar kisah hidup mereka. Saya sedar bahawa ramai yang berusaha keras, dan mereka perlukan seseorang untuk memperjuangkan nasib mereka,” kongsinya.
Beliau juga menjelaskan bahawa komitmennya untuk berkhidmat kepada rakyat adalah satu janji yang akan ditepati, dan beliau akan terus berjuang kerana mahu melihat kehidupan penduduk lebih baik.
“Saya berjanji untuk melihat perkara ini dengan penuh tanggungjawab. Saya tidak akan berpatah balik. Ini adalah komitmen saya, dan saya akan terus berkhidmat dengan sepenuh hati,” tambahnya.
Selain itu, Encik Ng turut memberi penjelasan tentang isu yang melibatkan perjanjian antara syarikat insurans Income dengan Allianz yang menjadi perhatian ramai.
Menurut Encik Ng, perjanjian tersebut adalah usaha strategik bagi mengukuhkan kedudukan Income, yang telah mengalami penurunan ketara dalam pasaran, dari 20 peratus kepada hanya 6 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Perjanjian ini adalah langkah untuk memastikan Income kekal relevan dan berdaya saing, supaya kepentingan pemegang polisi terus terpelihara,” jelas Encik Ng.
Namun, beliau juga mengakui keputusan pemerintah yang telah mengambil langkah untuk meminda undang-undang sehingga menyebabkan perjanjian itu tidak dapat diteruskan.
“Kami menghormati keputusan itu dan menerima pandangan pemerintah. Kami akan belajar daripada maklum balas ini dan memastikan ketelusan dalam tindakan kami pada masa depan,” tambahnya.
Semasa ucapannya juga, seorang wanita dalam kalangan penyokong tiba-tiba memerlukan rawatan perubatan. Encik Ng segera menghentikan ucapannya, memberi ruang dan masa bagi wanita tersebut dirawat. Setelah situasi terkawal, Encik Ng meneruskan ucapannya.
Dalam menghadapi cabaran yang pelbagai kini, Encik Ng menegaskan bahawa beliau komited untuk terus berkhidmat kepada rakyat, khususnya di Jalan Kayu, dengan melaksanakan projek yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.
“Bersama-sama dengan pemimpin tempatan dan pasukan saya, saya berjanji akan terus berusaha menjadikan Jalan Kayu sebagai masyarakat yang lebih inklusif dan mesra.
“Kami ingin memastikan bahawa setiap penduduk, tidak kira latar belakang, dapat merasakan manfaat daripada segala usaha ini,” ujar Encik Ng.
Beliau turut menyeru kepada pengundi agar memberi sokongan penuh kepadanya dalam pilihan raya kali ini, dengan harapan dapat terus memperjuangkan hak mereka di Parlimen dan memastikan suara pekerja dan rakyat didengar dengan lebih kuat.
“Saya ingin berikan yang terbaik dengan kemahiran saya, menggunakan kekayaan pengalaman saya untuk berkhidmat dan untuk membina kehidupan lebih baik untuk anda dan keluarga anda di Jalan Kayu.
“Kerana di tengah-tengah semuanya, ia bukan sekadar mengenai dasar atau projek. Ia adalah tentang anda – kehidupan sebenar anda, cabaran sebenar, aspirasi sebenar,” ujar Encik Ng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg