Topik diikuti
Pergi ke BHkuHazlina kupas realiti tugas, tanggungjawab sebagai AP
Hazlina kupas realiti tugas, tanggungjawab sebagai AP
Hazlina kupas realiti tugas, tanggungjawab sebagai AP
Ramai mungkin melihat Anggota Parlimen (AP) sebagai individu yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan pelbagai masalah penduduk.
Namun bagi AP penggal pertama, Cik Hazlina Abdul Halim, beliau lekas sedar bahawa realiti sebenar tugas seorang AP itu jauh lebih kompleks.
Amanah dan harapan penduduk yang ditanggung begitu berat, namun untuk melaksanakan tugas dengan sempurna, ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
Setahun selepas melangkah ke arena politik, AP GRC East Coast itu akur sedang masyarakat lebih banyak meneliti ucapan AP di Parlimen atau menghadiri acara masyarakat, pengalamannya sejauh ini telah banyak membuka matanya terutama tentang betapa besarnya harapan penduduk terhadap AP mereka.
AP penggal pertama itu berkongsi pengalaman beliau dalam podcast BHerbual terbitan Berita Harian (BH).
“Saya fikir perkara yang paling meninggalkan kesan ialah tanggungjawab seorang AP ini tidak mengenal waktu ataupun garis batasan,” katanya.
“Apabila Parlimen tidak bersidang, kami berada di kawasan undi untuk menjadi penyambung harapan, penyambung aspirasi, penyambung bantuan dan sokongan kepada para penduduik,” tambah beliau, yang memimpin kawasan undi Fengshan di GRC East Coast.
Mantan personaliti media dan wartawan itu berkata tugas seorang AP menuntut keseimbangan antara memahami dasar negara dengan mendekati realiti kehidupan rakyat di kawasan undi.
Menurutnya, antara pengalaman paling menyentuh hati sepanjang setahun ialah menyedari ada penduduk yang melihat pertemuan dengan AP sebagai “jalan terakhir” apabila berdepan masalah kehidupan.
“Kadangkala bagi sesetengah penduduk tu mereka seperti memang buntu. Memang tidak tahu cara lain. Dan kadangkala bertemu dengan AP tu adalah jalan terakhir.
“Dan mereka sangat-sangat berharap...dan dari sudut kemanusiaan semata-mata, kami juga mahu membantu sedaya mungkin,” ujarnya.
Pengharapan penduduk itu membawa satu tanggungjawab yang tidak diambil ringan.
Namun, Cik Hazlina, 41 tahun, yang merupakan Naib Presiden Kanan Strategi dan Komunikasi di firma penasihat global Teneo, serta Ketua Pegawai Eksekutif Dana Masyarakat EtonHouse menekankan hakikatnya seorang AP tidak mampu menyelesaikan semua masalah – sesuatu yang menjadi faktor salah faham terbesar dalam kalangan sesetengah penduduk.
Bantuan kepada penduduk memerlukan kerjasama pelbagai pihak – daripada jiran dan sukarelawan akar umbi hingga kepada agensi pemerintah dan badan khidmat sosial.
“Lebih banyak pihak pemegang taruhan, lebih rumit keadannya dan mungkin memerlukan lebih masa sedikit (untuk mencari huraian),” jelas Cik Hazlina.
“Kadang-kadang penduduk salah faham bahawa mereka memohon bantuan daripada AP dan bukan menerusi AP,” katanya sambil menjelaskan pentingnya kerjasama antara masyarakat dengan institusi sokongan.
Dalam pada itu, ada juga penduduk yang kurang bersedia tampil mendapatkan bantuan, meskipun mereka benar-benar memerlukan.
Dalam kes-kes sedemikian, Cik Hazlina dapati jiran memainkan peranan penting dalam membantu mengenal pasti keluarga atau individu itu.
“Golongan yang paling penting kalau bukan keluarga, adalah jiran. Alhamdulillah, semangat kejiranan amat subur di Fengshan,” katanya.
Dalam podcast BHerbual, Cik Hazlina turut menangani persepsi sesetengah pihak yang menganggap AP sekadar “membaca skrip” ketika berucap di Parlimen.
Sebagai seorang mantan pembaca berita dan keupayaannya bertutur secara formal, persepsi tersebut ada kalanya lebih terkesan kepada beliau daripada AP lain.
Bagi beliau, persiapan rapi sebelum berucap bukan tanda ucapan itu tidak tulen, sebaliknya mencerminkan rasa hormat terhadap masa dan amanah yang diberikan.
“Apa yang diutamakan ialah persiapan,” katanya sambil mengimbas latihannya sebagai penyampai berita selama hampir dua dekad.
“Saya hormat masa anda. Saya hormat waktu yang saya diberi bersama anda. Kemudian saya tuliskanlah apa yang ingin saya katakan.”
Beliau menjelaskan setiap hujah dan ucapan di Parlimen ditulis sendiri oleh AP dan dikongsi lebih awal dengan media serta penterjemah bagi memudahkan proses persidangan.
Mengimbas malam keputusan Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Cik Hazlina berkata debaran sebagai calon sangat berbeza berbanding pengalaman lamanya membuat liputan pilihan raya sebagai wartawan.
“Daripada seorang yang mengamati, seorang yang melaporkan, menjadi seorang yang merupakan calon. Jadi sungguh menyeluruh bagi saya pengalaman itu,” katanya.
Menurut beliau, debaran itu perlu terus diwujudkan kerana ia menjadi dorongan untuk terus membuat persiapan dan memperbaiki diri.
“Yang penting bagi saya ialah mengekalkan keghairahan untuk berkhidmat, untuk membantu dan meninggalkan kesan pada kehidupan orang lain,” ujarnya.
Cik Hazlina juga percaya setiap pengalaman kerjayanya – sebagai wartawan, pensyarah, aktivis sosial dan pemimpin badan Melayu/Islam – menjadi “persiapan” kepada tugasnya hari ini sebagai AP.
“Saya percaya setiap pengalaman itu bermakna, setiap langkah yang kita lalui, setiap pengalaman yang kita dianugerahkan itu sebagai persiapan untuk masa kini.
“Contohnya, sebagai seorang wartawan, saya dapat mengupas isu lebih menyeluruh, lebih mendalam. Diberi kelebihan untuk menggilap kemahiran mendengar dan bertanya, dan bersimpati.
“Sebagai seorang yang bekerja di agensi perkhidmatan sosial, saya dapat memahami cara kehidupan seseorang yang mengalami kehidupan ini berbeza dari cara yang kita alami,” ujarnya.
Pengalaman yang berbeza itu bukan sahaja melengkapkan Cik Hazlina dengan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang AP, tetapi juga corak pemikiran yang diperlulan untuk mengharungi cabaran memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan penduduk.
“Saya bersyukur kerana saya menjadi seorang yang optimistik, yang percaya esok akan lebih indah, akan lebih baik. Percaya bahawa ada kebolehan bertindak, dan dengan sokongan kita tidak akan berputus asa.
“Saya rasa itu yang yang menjadi kemahiran penting yang saya kumpul sepanjang pengalaman ini,” ujarnya.
