Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP baru PAP bukti berkesan di lapangan sejak GE2025

Nov 9, 2025 | 6:39 PM
PAP, Anggota Parlimen, Hamid Razak, Hazlina Abdul Halim, Cassandra Lee
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, memberi contoh tiga Anggota Parlimen (AP) baru – (dari kiri) Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West); Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) dan Cik Cassandra Lee (GRC West Coast-Jurong West). - Foto PAP

Anggota Parlimen (AP) baru daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP), kesemuanya seramai 27 individu, telah membina hubungan yang kukuh di lapangan dan memberi kesan ketara kepada kehidupan penduduk mereka, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau, yang juga Setiausaha Agung PAP, berkata demikian semasa berucap di Majlis Anugerah dan Persidangan PAP 2025 pada 9 November yang diadakan di Singapore Expo.

Dalam ucapannya, beliau memetik tiga AP baru sebagai contoh – Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West), Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast) dan Cik Cassandra Lee (GRC West Coast-Jurong West).

Mengenai Dr Hamid, Encik Wong berkongsi bagaimana pakar ortopedik itu, yang membesar di Jurong, telah bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang pada ketika itu merupakan AP kawasan tersebut, semasa lawatan rumah ke rumah ketika beliau masih seorang pelajar perubatan

Pertemuan itu, katanya, telah mendorong Dr Hamid untuk mula berkhidmat sebagai sukarelawan masyarakat dan aktivis PAP.

“Beliau telah berkhidmat untuk masa yang lama, dan kini beliau terus berkhidmat untuk penduduk Jurong sebagai AP,” kata Encik Wong.

“Malah, beliau mengadakan sesi ‘Chit Chat with Dr PAP’ secara berkala dan beliau mengambil berat tentang penduduk, bukan sahaja sebagai AP, tetapi juga sebagai doktor,” kata Encik Wong lagi.

Mengenai Cik Hazlina, Encik Wong menekankan bagaimana bekas penyampai berita itu telah memberi impak dengan menyampaikan ucapan sulungnya di Parlimen pada Oktober dalam keempat-empat bahasa rasmi negara.

Beliau juga telah memberi impak di Fengshan dan sedang berusaha keras di kawasan itu untuk membantu keluarga yang rentan, tambahnya.

Mengenai Cik Lee, Encik Wong menekankan bagaimana beliau telah lama menjadi aktivis bersama PAP selepas mengikuti jejak langkah ibunya dan berkhidmat bersama Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, di Yuhua.

“Kini beliau telah berpindah berdekatan untuk menjadi AP di Ayer Rajah. Beliau merupakan AP termuda kita, memperjuangkan keluarga muda dan membina kawasan kejiranan yang lebih terhubung dan terangkum untuk semua,” kata Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg