Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indranee: Kadar kesuburan S’pura rendah dek peralihan sikap, keutamaan pasangan muda

Feb 28, 2025 | 6:59 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, berkata peralihan sikap dan keutamaan dalam kalangan pasangan muda beberapa tahun kebelakangan secara tidak langsung menjejas kadar kesuburan negara yang rendah, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, berkata peralihan sikap dan keutamaan dalam kalangan pasangan muda beberapa tahun kebelakangan secara tidak langsung menjejas kadar kesuburan negara yang rendah, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat. - Foto ZAOBAO

Peralihan sikap dan keutamaan dalam kalangan pasangan muda di Singapura beberapa tahun sejak kebelakangan ini telah secara tidak langsung menjejas kadar kesuburan negara yang rendah, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.

Beliau berkata walaupun 2024 merupakan Tahun Naga, jumlah kelahiran penduduk meningkat kepada 30,800 sahaja berbanding 30,500 pada 2023.

Dalam kalendar zodiak Cina, Tahun Naga secara tradisi dilihat sebagai tahun bertuah buat pasangan untuk mempunyai anak.

Cik Indranee menyatakan demikian sebagai mukadimah kepada perbahasan Jawatankuasa Pembekalan (COS) PMO pada 28 Februari di Parlimen.

Menurut beliau, jumlah kadar kesuburan (TFR) awal kekal tidak berubah pada 2024, iaitu 0.97 berbanding 2023 – kali pertama dalam sejarah negara TFR merosot bawah paras 1.0.

TFR merujuk kepada purata bilangan bayi yang dilahirkan setiap wanita semasa usia reproduktif. TFR Singapura meningkat dalam tiga Tahun Naga – 1988, 2000 dan 2012.

Dengan TFR di bawah paras 1.0, ini bermakna purata bilangan anak setiap wanita lahirkan adalah kurang daripada apa yang diperlukan untuk menggantikan individu yang telah meninggal dunia.

Oleh demikian, beliau memberi penekanan bahawa mengatasi isu TFR kekal menjadi keutamaan negara, lebih-lebih lagi sedang Singapura antara negara dengan TFR paling rendah di dunia.

“Sedang pertumbuhan tenaga kerja tempatan di sini semakin perlahan, ia akan menjadi semakin mencabar untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan ekonomi yang dinamik.

“Jumlah golongan muda adalah kurang untuk menyokong populasi warga emas yang semakin meningkat,” tambahnya.

Cik Indranee menggariskan keperluan untuk menangani dua cabaran demografi – populasi kian menua dan TFR rendah – yang turut dialami beberapa masyarakat sejagat.

Berkenaan perkara ini, beliau mengetengahkan langkah-langkah yang diambil pemerintah untuk menggalakkan perkahwinan dan sokong ibu bapa.

Ini termasuk cuti berkongsi ibu bapa, dengan ibu bapa mendapat cuti berbayar tambahan sebanyak 10 minggu, berkuatkuasa pada 1 April.

Semasa menyampaikan ucapan Belanjawan pada 18 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan Skim Keluarga Besar bagi menggalak pasangan mempunyai lebih ramai anak.

Cik Indranee berkata tinjauan Perkahwinan dan Keibubapaan menunjukkan lebih sepertiga daripada pasangan suami isteri ingin mempunyai tiga anak atau lebih.

Tetapi jumlahnya adalah lebih rendah bagi pasangan yang sebenarnya ada lebih daripada dua anak.

Beliau menambah sesetengah pasangan bimbang tentang kekurangan masa terluang untuk setiap anak, sementara ada yang bimbang dengan prospek perbelanjaan lebih tinggi.

Justeru, beliau berkata langkah sedia ada menyokong ibu bapa yang mempunyai lebih ramai anak.

Sebagai contoh, di bawah Skim Bonus Bayi, anak pertama dan kedua mendapat $11,000 dalam bentuk Tunai Bonus Bayi, manakala anak ketiga dan seterusnya mendapat $13,000.

“Tetapi kami ingin memberi lebih keyakinan kepada pasangan yang ingin mempunyai keluarga lebih besar,” ujar Cik Indranee.

Sementara itu, beliau berkata Singapura memberikan kira-kira 24,000 kerakyatan baru, termasuk 1,400 kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu bapa warga Singapura.

Kira-kira 35,000 Penduduk Tetap (PR) baru turut diberikan, tambahnya.

Beliau turut memberi perkembangan berkenaan jumlah perkahwinan penduduk pada 2024, dengan 24,800 perkahwinan dicatatkan pada 2024.

Jumlah ini adalah lebih rendah daripada jumlah pada 2023 iaitu 26,500 perkahwinan.

Perkahwinan penduduk merujuk kepada perkahwinan dengan salah satu atau kedua-dua pasangan merupakan warganegara Singapura atau PR.

“Sedang pertumbuhan tenaga kerja tempatan di sini semakin perlahan, ia akan menjadi semakin mencabar untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan ekonomi yang dinamik. Jumlah golongan muda adalah kurang untuk menyokong populasi warga emas yang semakin meningkat.”
Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Cik Indranee Rajah.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg