Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndranee: Langkah diperkenal cermin anjakan pendekatan pemerintah sokong keluarga
Kumpulan kerja itu akan terus dapatkan pandangan rakyat, saranan lebih menyeluruh dibentang awal 2027
Pemerintah akan terus bekerjasama rapat dengan majikan, pertubuhan masyarakat dan rakan kongsi lain untuk membentuk masyarakat yang menjadikan perkahwinan dan keibubapaan sesuatu yang mampu dicapai dan memberi kepuasan.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Pengerusi Kumpulan Kerja Permulaan Baharu Perkahwinan dan Keibubapaan (M&P), Cik Indranee Rajah, berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD).
Dalam kenyataan tersebut, Cik Indranee, yang juga Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara berkata:
“Penambahbaikan ini mencerminkan respons pemerintah kepada kumpulan pertama saranan daripada Kumpulan Kerja Permulaan Baharu M&P, dan usaha kami masih diteruskan. Walaupun tiada satu langkah yang dapat menangani setiap keprihatinan, penambahbaikan ini secara keseluruhannya mencerminkan anjakan ketara dalam pendekatan pemerintah menyokong keluarga.
“Ia akan memberi ibu bapa lebih banyak masa, bantuan kewangan yang lebih besar, pilihan penjagaan yang lebih dimampui dan mudah diakses, sokongan perumahan yang lebih kukuh, serta jaminan yang lebih kukuh sepanjang anak-anak mereka membesar.”
Cik Indranee manambah, kumpulan kerja itu akan terus mendapatkan pandangan rakyat serta meneliti langkah lanjut menangani isu lain yang dibangkitkan, termasuk sokongan keseimbangan kerja dan kehidupan, kesuburan dan kesihatan ibu, pembentukan hubungan, serta pendidikan.
Kumpulan Kerja itu akan membentangkan saranan yang lebih menyeluruh pada awal 2027, menurut kenyataan NPTD itu yang dikeluarkan menyusuli Rapat Hari Kebangsaan yang disampaikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 23 Ogos.
Dalam ucapannya, Encik Wong telah mengumumkan Pakej Sokongan Anak SG yang memperuntuk hampir $70,000 bagi setiap kanak-kanak warga Singapura sehingga usia 16 tahun.
Ibu bapa yang bekerja juga layak mendapat cuti penjagaan anak tambahan, bergantung pada bilangan anak mereka yang berusia 12 tahun dan ke bawah.
Mereka layak bercuti selama lapan, 10 atau 12 hari setahun, jika mereka mempunyai seorang, dua orang atau tiga orang anak atau lebih.
Ini berbanding peruntukan masa ini, yang tidak membezakan hari cuti mengikut bilangan anak, iaitu enam hari cuti bagi setiap ibu bapa yang bekerja jika anak bongsu mereka berusia enam tahun dan ke bawah, atau dua hari jika anak bongsu berusia antara 7 hingga 12 tahun.
Tarikh mula skim Cuti Penjagaan Anak (CCL) baru ini akan diumumkan di masa depan, kata NPTD.
Bagi membantu majikan menanggung kos tersebut serta menggalakkan tempat kerja yang mesra keluarga, pemerintah akan membayar balik sepenuhnya kos bagi semua skim cuti berkaitan anak yang diwajibkan di sisi undang-undang, tertakluk kepada had bayaran balik.
Yuran di pusat jagaan kanak-kanak dan bayi yang disokong pemerintah juga akan dikurangkan, masing-masing sehingga $150 dan $300 sebulan.
Pengurangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2030, dengan keluarga berpendapatan lebih rendah terus membayar yuran lebih rendah.
