Langkah bantu warga emas kekal aktif, bersara dengan tenang

Bagi membantu warga emas menjalani kehidupan yang lebih aktif dan bersara dengan lebih tenang dalam masyarakat setempat, pemerintah akan memperkenalkan langkah baharu di bawah inisiatif Age Well SG atau Sihat Menua SG.

Perubahan yang bakal dilaksanakan itu akan memberi warga emas lebih fleksibiliti menggunakan simpanan MediSave bagi penjagaan kesihatan.

Ini selain memudahkan mereka memanfaatkan nilai rumah bagi persaraan tanpa perlu meninggalkan kediaman masing-masing.

Tingkat sokongan bagi golongan bujang

Menegaskan bahawa golongan bujang tidak dilupakan, pemerintah mengakui ramai dalam kalangan mereka turut menyokong keluarga serta menjaga ibu bapa yang semakin lanjut usia.

Memandangkan isu perumahan kekal menjadi kebimbangan utama bagi golongan ini, pemerintah sedang merangka langkah untuk meningkatkan sokongan kepada golongan bujang, dengan beberapa perubahan dasar dijangka dilaksanakan dalam tempoh penggal pemerintahan semasa.

Golongan berkeperluan khas capai potensi

Bagi golongan kurang upaya, langkah baharu akan memberi tumpuan kepada usaha membantu mereka menjalani kehidupan yang bermakna dan mencapai potensi sepenuhnya.

Pelan pemerintah akan mengutamakan kelancaran peralihan daripada alam persekolahan ke alam pekerjaan, memperluas peluang pekerjaan, serta memperkukuh akses kepada penjagaan dan sokongan masyarakat setempat.