Singapura tidak boleh berundur dan bersikap tertutup, dan akan memanfaatkan kepercayaan sebagai kekuatan teras untuk memperdalam hubungan dan kerjasama dan bukannya berpecah belah di tengah-tengah dunia yang semakin bergolak dan tidak stabil, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Dalam dunia yang tidak stabil, kekuatan terbesar Singapura adalah kepercayaan, kata Encik Wong, sambil menambah bahawa negara, perniagaan dan pelabur tahu Singapura adalah sebuah tempat di mana kedaulatan undang-undang diutamakan, institusinya teguh, serta kontrak dan komitmen sentiasa dihormati.

Menyampaikan ucapan di Rapat Hari Kebangsaan yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 23 Ogos, beliau berkata:

“Apabila Singapura memberi janji, kita akan mengotakannya. Dalam dunia di mana kepercayaan kian sukar didapati, ini kekal sebagai salah satu kekuatan terbesar kita.

“Kita akan membina atas kepercayaan ini dan memperdalam jalinan kita dengan dunia.

“Tatkala negara-negara saling menjauhi, kita akan membina lebih banyak jalinan, bukan mengurangkannya.

“Kita akan mendampingi lebih banyak rakan kongsi, menjadikan diri kita lebih relevan, dan mencipta lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura.”

Encik Wong berkata peraturan dan norma sejagat yang menjadi teras kepada kestabilan dan kemakmuran antarabangsa selama berdekad kini sedang digugat, didorong oleh pergeseran imbangan kuasa, terutamanya kebangkitan pesat China sebagai pesaing setara kepada Amerika Syarikat.

Kededua negara itu sedang belajar cara untuk hidup dengan realiti baharu – bersaing sengit, sambil berusaha mengelakkan konfrontasi dan konflik terbuka.

Namun, Encik Wong berkata dunia tidak dibentuk oleh Amerika dan China sahaja, dengan Eropah kekal sebagai kuasa utama; India kian bangkit dengan pantas; dan banyak kuasa pertengahan semakin aktif menegaskan kepentingan mereka.

Oleh itu, kuasa kini semakin tersebar, dengan pusat kuasa yang berbeza saling berebut pengaruh, bersaing mendapatkan pasaran, teknologi, sumber, dan semakin banyak berebut tentang siapakah yang menetapkan peraturan permainan.

Ini dapat dilihat dengan jelas dalam sistem perdagangan sejagat, kata Encik Wong.

Selama berdekad lamanya, negara-negara mengurangkan halangan dan membuka ekonomi mereka, tarif dikurangkan dan rantaian bekalan merentasi sempadan, disokong rangka peraturan bersama menerusi Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) dan institusi sejagat lain – namun, ini semua sedang berubah.

Krisis seperti pandemik Covid-19, pencerobohan Russia ke atas Ukraine dan krisis Selat Hormuz di Timur Tengah yang sedang berlaku sekarang pula mendedahkan kelemahan akibat kebergantungan pada pembekal tunggal serta gangguan bekalan sejagat.

Negara-negara telah belajar daripada krisis tersebut, kata Encik Wong, dengan pemerintah seluruh dunia semakin banyak menggunakan perdagangan, teknologi dan pelaburan untuk memajukan matlamat strategik dan keselamatan mereka.

Beliau memberi contoh tarif yang dikenakan Amerika – walaupun mahkamah memutuskan tarif itu tidak sah di sisi undang-undang, pentadbiran Amerika menemui cara lain untuk mengenakan semula tarif, kali ini atas alasan dakwaan penggunaan buruh paksa.

Baru-baru ini, Amerika turut membangkitkan kebimbangan tentang barangan China yang dilencongkan menerusi negara lain, terutamanya di Asia Tenggara, untuk mengelakkan tarifnya.

Menurut Encik Wong, Singapura memandang serius kededua isu itu dan mempunyai undang-undang dan peraturan yang jelas.

Namun, beliau juga berkata bahawa negara ini mesti realistik tentang apakah yang boleh dilakukan secara bersendirian.

Sebagai pusat utama bagi eksport semula dan pemindahan kapal, barangan melalui Singapura dari seluruh dunia dan “kita tidak mungkin dapat mengesan dan mengesahkan keseluruhan rantaian bekalan di sebalik setiap produk yang melalui perairan kita”, kata Encik Wong.

Encik Wong berkata Singapura akan terus mendekati Amerika dan menjelaskan pendirian negara ini.

Namun, beliau menambah bahawa Singapura harus menyedari realiti yang lebih besar, iaitu perdagangan tidak sebebas seperti dahulu dan tidak lagi sekadar mengenai ekonomi semata-mata.

Bahkan, teknologi baharu juga menambah risiko – dron murah kini boleh mendatangkan kerosakan serius, biarpun terhadap pasukan yang jauh lebih berkuasa.

Apabila semua perkara itu digabungkan, Encik Wong berkata risiko kesilapan andaian dan keadaan memburuk dengan pantas adalah jauh lebih tinggi dan konflik serantau boleh menjadi sesuatu yang lebih besar dengan pantas.

“Jadi inilah dunia hari ini – lebih dipertikaikan, lebih tidak stabil dan lebih berbahaya berbanding sebelum ini.

“Ini bukan gangguan sementara. Inilah amalan biasa baharu yang perlu dihadapi dan diharungi Singapura bagi tahun-tahun akan datang.

“Tindakan kita tidak boleh dengan berundur dan bersikap tertutup,” tambah beliau.