Singapura berikrar menggembleng seluruh keupayaan untuk memperkukuh pemusatan dan perpaduan Asean, serta memperdalam penyepaduan serantau apabila ia mengambil alih teraju sebagai pengerusi kumpulan serantau Asia Tenggara pada 2027.

Negara ini juga menyasar menjadikan Asean pasaran tunggal yang lebih berkesan, dan juga akan mengukuhkan perkongsian di luar rantau ini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Rapat Hari Kebangsaan 2026 yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 23 Ogos.

“Tahun depan (2027), Singapura akan menjadi pengerusi Asean.

“Kita akan melakukan sedaya upaya untuk mengukuhkan pemusatan dan perpaduan Asean, memperdalam penyepaduan serantau, dan menjadikan Asean pasaran tunggal yang lebih berkesan.

“Kita juga akan mengukuhkan perkongsian di luar rantau kita – menghimpunkan pelbagai rakan kongsi, membina persefahaman bersama, dan memastikan saluran dialog dan kerjasama sentiasa terbuka,” kata beliau.

Singapura akan mengambil alih sebagai pengerusi Asean daripada Filipina pada 2027 – tahun yang sama Asean bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-60.

Dalam beberapa laporan media sebelum ini, pemimpin Singapura, termasuk Encik Wong, telah menyatakan bahawa Singapura akan memberi tumpuan pada usaha memperkukuh perpaduan serantau, daya tahan, penyepaduan digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), dan tindakan iklim semasa penggalnya sebagai pengerusi nanti.