Lebih banyak peluang untuk warga bentuk huraian bersama pemerintah
Lebih banyak peluang untuk warga bentuk huraian bersama pemerintah
PM Wong komited perkukuh kerjasama pemerintah dengan rakyat; masyarakat ambil bahagian perkuat negara
Warga Singapura akan mempunyai lebih banyak peluang untuk secara langsung membentuk huraian bersama pemerintah dengan lebih banyak Panel Rakyat dan Panel Belia diadakan di masa akan datang.
Menyatakan demikian di majlis pelancaran ulang tahun ke-40 unit maklum balas pemerintah, Reach, pada 29 Mac, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau komited untuk mengukuhkan kerjasama antara pemerintah dan warga Singapura, satu proses yang akan mengukuhkan lagi negara.
Dalam ucapan yang disampaikan di acara di Jewel di Lapangan Terbang Changi itu, Encik Wong berkata sepanjang dua dekad lalu, usaha pendampingan awam pemerintah telah berkembang dari segi skala dan skop.
Daripada beberapa ratus orang memberi sumbangan dalam Jawatankuasa Semakan Ekonomi pada awal tahun 2000, pendampingan awam telah berkembang kepada hampir 50,000 warga dijangkau dalam Perbincangan Singapura Kita pada 2013 dan lebih 200,000 dalam gerakan Melakar Hala Tuju Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan.
Namun pendampingan awam melangkaui mendengar maklum balas, kata Encik Wong.
“Kami mahu melibatkan warga Singapura secara langsung dalam membentuk huraian,” katanya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan, pemerintah telah mengadakan Panel Rakyat yang melihat warga membincangkan idea dalam pelbagai bidang daripada menangani kencing manis kepada meningkatkan daya tahan pekerjaan.
Belia turut diperkasa dengan pelancaran pusingan pertama Panel Belia pada 2023 yang memberi warga muda peluang mengkaji, merunding dan membangunkan saranan dasar.
Saranan mereka telah membawa kepada inisiatif untuk meningkatkan kecelikan kewangan, peluang pekerjaan, daya tahan digital dan kitar semula.
“Memandang ke hadapan, kami akan mengadakan lebih banyak Panel Rakyat dan Panel Belia. Jika idea-idea itu baik, kami akan membawanya ke tahap lanjut.
“Kami akan mahu membincangkannya, kami mungkin membentangkan saranan-saranan itu sebagai Kertas Putih di Parlimen, malah mungkin membawa kepada perubahan perundangan dan pastinya melaksanakan saranan-saranan ini untuk manfaat semua,” kata Encik Wong.
Beliau menambah, tidak dapat dielakkan, perjalanan kerjasama pemerintah dan rakyat dalam mencipta huraian bersama mungkin agak ‘bercelaru’, dan huraian mungkin mengambil masa lebih panjang untuk dibangunkan.
“Tetapi saya yakin bahawa masyarakat yang lebih terbuka dan mengambil bahagian akan menguatkan, bukan melemahkan, Singapura,” kata Encik Wong.
“Sebagai perdana menteri, saya komited untuk mengukuhkan kerjasama antara pemerintah dan warga Singapura ini,” tambahnya.
Dalam perkhidmatan awam, pemerintah akan mengukuhkan kebiasaan untuk mencari kerjasama, kata Encik Wong, sambil menyeru agensi agar mencuba pendekatan baru dan belajar daripada kejayaan dan kegagalan.
Beliau juga meminta warga Singapura sedar bahawa mencipta huraian bersama adalah proses yang “bercelaru dan berulang”.
“Perkara mungkin tidak secekap yang kita suka, tetapi jika kita tabah dan tekal, saya percaya hasilnya akan lebih baik dan kita akan muncul lebih kuat bersama-sama,” kata Encik Wong.

