Unit maklum balas pemerintah, Reach, akan menganjurkan siri dialog tentang isu sukar seperti kaum dan agama sebagai sebahagian sambutan ulang tahunnya yang ke-40.
Mengumumkan demikian pada 29 Mac, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata Reach akan mempunyai misi baru untuk membina jambatan demi memupuk persefahaman dalam masyarakat Singapura yang kian pelbagai.
“Reach boleh terus mengadakan pendampingan awam untuk dialog antara pemerintah dan rakyat. Tetapi kita juga harus mengadakan dialog antara rakyat dengan rakyat untuk membangunkan kepercayaan dan persefahaman yang lebih baik antara satu sama lain,” kata Encik Wong dalam ucapannya di majlis pelancaran ulang tahun ke-40 Reach di Jewel, Lapangan Terbang Changi.
Acara yang dihadiri sekitar 150 tetamu itu menandakan permulaan siri inisiatif satu tahun di bawah tema ‘Membina Jambatan Merentas Masyarakat’.
Bagi menjayakan misi barunya, Encik Wong berkata Reach perlu mencipta lebih banyak ruang yang dikongsi bersama untuk warga Singapura daripada latar belakang berbeza bertemu, berbual dan membina persefahaman antara satu sama lain, lebih-lebih lagi mengenai isu yang sukar dilihat daripada sudut pandangan yang sama.
“Reach akan menganjurkan satu siri sesi-sesi sedemikian. Ia akan menyatukan pemimpin daripada masyarakat sivil untuk mendampingi satu sama lain tentang isu sukar seperti kaum dan agama, mobiliti sosial dan kesan perubahan teknologi yang pesat,” kata Encik Wong.
“Membina jambatan ini tidak akan mudah. Tetapi kita akan ambil langkah pertama. Dan lama kelamaan, ia akan menjadi lebih lancar dan lebih mudah,” tambahnya.
Dalam ucapannya, Encik Wong juga berkata masyarakat yang lebih terbuka dan turut serta dalam mencari huraian akan mengukuhkan Singapura, walaupun akan ada perbezaan pandangan dan perselisihan faham.
Beliau menyeru warga Singapura agar menyumbang kepada pembentukan huraian untuk negara kerana ini akan membolehkan mereka mempunyai rasa pemilikan dan tanggungjawab, mengukuhkan kompak sosial serta memupuk rasa kekitaan yang lebih mendalam.
Encik Wong berkata saranan mereka telah secara langsung membentuk perubahan dasar utama dan agenda ‘Melakar Hala Tuju Singapura’ sepanjang satu hingga dua tahun lalu.
Beliau menambah, pemerintah mendengar walaupun ia tidak selalu bersetuju dengan setiap cadangan.
Kadangkala ia mungkin bersetuju dengan niat di sebalik saranan, tetapi memerlukan lebih banyak masa untuk mencapai keseimbangan. Adakala, idea-idea itu mengambil masa untuk dijadikan dasar yang baik, tambah Encik Wong.
“Pemerintah akan sentiasa menyediakan kepimpinan dan hala tuju, tetapi kita tidak boleh dan tidak seharusnya melakukan ini secara bersendirian,” kata Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg