Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lulusan NTU taruh harapan bantu Palestin maju seperti S’pura

Pekerja di sebuah syarikat pembangunan sofwe berpangkalan di Ramallah kongsi cabaran; miliki ijazah Sarjana Sains dalam jurusan Ekonomi Politik Antarabangsa dari NTU semasa menuntut di S’pura 2018-2019
Nov 8, 2025 | 5:30 AM
Cik Serin memberi taklimat kepada pasukannya di tempat kerja di Ramallah.
Cik Serin memberi taklimat kepada pasukannya di tempat kerja di Ramallah. - Foto ihsan SERIN SABE

Hidup warga Palestin yang sukar di Tebing Barat telah menjadi lebih mencabar sejak perang tercetus pada 7 Oktober 2023, kata seorang penduduknya, Cik Serin Sabe, 36 tahun. 

Menurut beliau, kebanyakan warga Palestin di Tebing Barat yang sebelum ini bekerja di Baitulmakdis tidak lagi boleh berbuat demikian selepas pemerintah Israel menarik balik permit kerja mereka.

Semua warga Palestin di Tebing Barat perlu memohon permit untuk memasuki Baitulmakdis untuk bekerja atau mendapatkan khidmat seperti jagaan perubatan.

Data terkini yang diterbitkan Pertubuhan Tenaga Kerja Antarabangsa (ILO) menunjukkan permit kerja sekitar 200,000 warga Palestin di Tebing Barat telah ditarik balik sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023. Ia juga meramalkan kadar pengangguran di sana melonjak kepada 38 peratus pada 2025, berbanding 18 peratus pada 2023.

Pada 7 Oktober 2023, Hamas menyerang Israel dan membunuh sekitar 1,200 orang serta menculik lagi 251 orang. Perbuatan itu mencetus serangan balas Israel yang buat masa ini telah meragut nyawa lebih 68,000 warga Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Dahulu, kami perlu beratur dan menunggu antara 30 minit hingga tiga jam walaupun ada permit. Kini, tiada sesiapa dibenarkan masuk sama sekali,” kata Cik Serin apabila dihubungi Berita Harian (BH).

Selain hilang pekerjaan, penduduk di Tebing Barat juga berdepan dengan cabaran harian seperti penduduk petempatan Israel yang merosakkan tempat tinggal dan ladang-ladang pertanian, seperti yang dialami keluarganya sendiri yang bercucuk-tanam untuk mencari rezeki, ujar Cik Serin.

Beliau kecewa dengan keadaan itu dan berasa tertekan kerana tidak berdaya membantu, tetapi Cik Serin akur berasa lega kerana masih berpeluang bekerja dan mencari makan.

Cik Serin bertugas sebagai pengurus pembangunan perniagaan di sebuah syarikat pembangunan sofwe yang berpangkalan di Ramallah – ibu kota pentadbiran Penguasa Palestin.

Pada masa yang sama, beliau juga mengajar secara sambilan di Universiti Amerika Arab, universiti privet pertama di Ramallah.

Kata beliau, mengajar warga Palestin muda yang ghairah merebut peluang pekerjaan adalah dorongan dan sumber motivasi utama bagi beliau untuk meneruskan hidup dari hari ke hari.

“Dahulu, semasa saya lebih muda, saya bersikap ingin menyerantau, ingin melihat dunia,” kata Cik Serin yang pernah bertugas di Kementerian Kewangan dan Perancangan dan berkata beliau telah menjelajah ke sekitar 33 negara.

“Namun, kini saya tidak lagi berfikiran sebegitu. Sebaliknya, saya telah tiba di peringkat usia di mana saya hanya mahu menyumbang semula kepada masyarakat saya sendiri,” ujar beliau.

Antara kenangan yang sering dikongsinya dengan belia di Palestin ialah pengalamannya semasa beliau menuntut di Singapura dari 2017-2018, sebelum pulang ke Ramallah berbekal ijazah Sarjana Sains dalam jurusan Ekonomi Politik Antarabangsa dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Beliau antara lebih 800 warga Palestin yang telah meraih manfaat daripada program bantuan teknikal yang disediakan oleh pemerintah Singapura untuk menyokong Penguasa Palestin dalam membina keupayaan warga Palestin.

Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) itu pertama kali diumumkan pada 2013.

Berkongsi lanjut, Cik Serin yang mempunyai sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) dari Universiti Northwestern dan ijazah sarjana muda daripada Universiti Berzeit di Tebing Barat, berkata beliau mula mendapat tahu mengenai peluang melanjutkan pengajian ke Singapura pada 2013, semasa ke negara itu sebagai pelancong.

Menyusuli itu, beliau bertemu dengan Wakil Singapura ke Ramallah, Encik Hawazi Daipi, yang mencadangkan supaya beliau memohon untuk menyertai program tersebut.

Semasa berada di Ramallah pada 4 November, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan telah mengumumkan dua kursus tambahan – berhubung ekonomi dan keusahawanan digital – yang bakal ditawarkan di bawah Etap mulai 2026.

Dalam pada itu, Cik Serin berkata beliau sering memberitahu pelajar atau rakan-rakannya mengenai persamaan antara Singapura dengan Palestin – dua negara kecil yang tidak mempunyai sumber semula jadi.

“Cara Singapura bangkit daripada negara dunia ketiga menjadi negara maju dalam tempoh 30 tahun begitu mengagumkan saya. Ia satu sumber aspirasi dan memberi kami dorongan bahawa kami juga boleh mencapai masa depan yang lebih indah,” ujar beliau.

Cik Serin akur, perang di Gaza harus berakhir dan keadaan perlu kembali seperti sedia kala untuk warga Palestin sepertinya mengejar aspirasi itu.

Namun beliau juga sedar gencatan senjata yang kini terlaksana adalah rapuh dan keadaan boleh berubah pada bila-bila masa.

Ditanya sama ada beliau pernah berura-ura membawa nasib ke tempat yang tiada konflik dan penduduknya hidup aman damai, Cik Serin berkata perkara itu tidak pernah terlintas di fikirannya.

“Saya tidak berkata perbuatan itu salah... saya ada beberapa kenalan yang telah berpindah ke tempat lain... itu pilihan mereka,” ujar beliau.

“Bagi saya, di sinilah tempat tinggal saya, tempat kelahiran keluarga saya selama beberapa generasi. Di sinilah tempat saya menjalani hidup, pada masa baik atau ketika masa susah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg