Parti Titik Merah Bersatu (RDU) mencadangkan pemberian wang tunai tanpa syarat kepada semua rakyat Singapura untuk meningkatkan keselamatan kewangan di tengah-tengah kos sara hidup yang meningkat dan iklim ekonomi yang tidak menentu.
Semua flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) juga dicadangkan agar layak untuk menjalani proses penstrukturan semula supaya flat yang lebih lama tidak hilang nilainya akibat tempoh pajakan yang semakin susut.
Ini merupakan antara cadangan utama dalam manifesto RDU yang dilancarkan pada 19 April, bersama seruan untuk sokongan yang dipertingkat bagi perniagaan tempatan berskala kecil.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, berkata:
“Kita sedang berdepan krisis perdagangan global, dan Singapura tidak akan terkecuali darinya.
“Apa yang rakyat perlukan sekarang ialah satu pelan tindakan yang jelas ketika kita berdepan dengan lebih banyak ketidaktentuan, baik di dalam mahupun luar negara,” ujar beliau.
Manifesto tersebut menggariskan istilah ‘5C’ – yang lazimnya merujuk pada wang tunai, kereta, kad kredit, kondominium dan keahlian kelab eksklusif, yang sebelum ini melambangkan kejayaan dan mobiliti sosial – kini semakin sukar dicapai oleh ramai.
“Sebaliknya, 5C baru telah muncul.
“Bantuan tunai, baucar CDC, tambahan CPF, rebat penyelenggaraan dan rebat kad CHAS,” kata Encik Philemon.
Menurut manifesto itu, rakyat Singapura tidak boleh membina masa depan hanya dengan bergantung pada bantuan.
Tambahan pula, golongan tersebut berhadapan dengan kos hidup yang meningkat dan kenaikan gaji yang mendatar.
RDU turut mencadangkan inisiatif ‘Dividen Warganegara’ – pemberian wang tunai tanpa syarat yang berfungsi sebagai jaringan keselamatan kewangan bagi semua rakyat Singapura, bermula dengan golongan rentan.
Langkah ini juga bertujuan menangani ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos dan persaingan kerja dari luar negara yang mengancam keselamatan kewangan rakyat.
Mengenai perumahan awam pula, RDU turut berkata rakyat Singapura kini membayar harga tinggi untuk flat yang nilainya akan akhirnya merosot.
Dengan itu, beliau mencadangkan semua kawasan perumahan sepatutnya layak untuk Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (Sers).
“Kekurangan jaminan jangka panjang, ditambah pula dengan harga yang semakin meningkat, menjadikan pemilikan rumah satu beban kewangan yang kian berat, bukannya sumber kestabilan,” kata Encik Philemon.
Cadangan lain dalam manifesto RDU termasuk memastikan bantuan Medifund berfungsi sebagai jaringan keselamatan utama untuk semua warga Singapura dan menyemak semula undang-undang seperti Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma).
Encik Philemon menegaskan bahawa manifesto ini adalah untuk mengolah semula jenis masyarakat yang rakyat Singapura inginkan, sebagaimana jelasnya:
“Satu kontrak sosial baru yang menjamin peluang yang tidak terhad kepada segelintir orang, tetapi merupakan janji untuk semua.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg