Mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun, telah diperkenalkan sebagai bakal calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mungkin bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 semasa lawatan ke 50A Pasar Marine Terrace pada 22 Mac.
Berpakaian serba putih, lengkap dengan lencana PAP, Cik Hazlina, yang juga merupakan mantan editor dan penyampai berita, dilihat mengiringi Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, semasa lawatan ke pusat makanan dan pasar itu.
Semasa memperkenalkan Cik Hazlina kepada penduduk, Dr Tan, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, berkata bakal calon itu “lebih muda dan berpotensi tinggi”.
“Beliau membawa udara yang segar kepada pasukan kami.
“Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai peranan dan dikenali dalam kalangan masyarakat,” ujar Dr Tan semasa ditanya media.
Cik Hazlina kini bertugas sebagai Naib Presiden Kanan di Teneo, sebuah syarikat perundingan sejak Mac.
Sebelum ini, beliau menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Make-A-Wish Singapura.
Selain berkhidmat bersama PPIS, di mana beliau kini menggalas peranan sebagai Mantan Presiden Terkini, Cik Hazlina juga menggalas peranan sebagai Pengarah di Mendaki dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).
Beliau juga berkhidmat kepada penduduk sebagai kaunselor daerah bersama Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan juga sebagai anggota Dana Masyarakat serta Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM).
Ketika ditanya tentang sentimen penduduk tatkala diperkenalkan dan sama ada beliau sudah bersedia bertanding dalam GE2025, Cik Hazlina berkata:
“Saya amat menghargai sambutan baik yang diberikan oleh penduduk.
“Mereka menerima saya dengan hati yang terbuka. Saya harap dapat diberi peluang untuk terus berkhidmat dalam apa jua cara yang terbaik,” kata Cik Hazlina.
Turut hadir di lawatan ke pasar itu adalah para AP GRC Marine Parade, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman; dan AP SMC MacPherson, Cik Tin Pei Ling.
Penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi Kembangan-Chai Chee, Dr Choo Pei Ling, yang juga merupakan penolong profesor di Kluster Kesihatan dan Sains Kemasyarakatan Institut Teknologi Singapura (SIT), turut serta dalam lawatan tersebut.
Lengkap dengan seragam putih dan lencana PAP, beliau turut diperkenalkan sebagai bakal calon PAP.
Semasa di pusat makanan dan pasar itu, Dr Choo mengiringi Cik Tin yang memperkenalkan beliau sebagai wajah baru PAP kepada para penjaja dan penduduk.
Sebelum ini, Cik Hazlina telah dilihat bersama Cik Tin di acara kemasyarakatan dan juga Sesi Bertemu Penduduk (MPS) di kawasan SMC MacPherson.
Mengulas tentang Cik Hazlina, Cik Tin berkata:
“Saya menyokong (Hazlina) sepenuhnya. Saya amat gembira jika saya diberi peluang untuk bertanding di GE2025 bersamanya. Beliau telah berkhidmat di MacPherson bersama saya sejak setahun yang lalu,” kata Cik Tin.
Pada masa kini, GRC Marine Parade terdiri daripada lima kawasan undi: Marine Parade, Joo Chiat, Geylang Serai, Braddell Heights dan Kembangan-Chai Chee.
Susulan laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) yang dikeluarkan pada 11 Mac, GRC Marine Parade akan dinamakan semula sebagai GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Ia akan menyerap SMC MacPherson dan beberapa bahagian SMC Mountbatten dan SMC Potong Pasir.
Namun, kawasan Joo Chiat, yang kini diterajui oleh Encik Edwin Tong, akan dikeluarkan dan digabungkan dengan GRC East Coast pada GE2025 akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, sebelum ini telah berkata beliau mengalu-alukan kemasukan dan khidmat Encik Tong kepada penduduk GRC East Coast.
Mengulas tentang kemungkinan beliau akan dimasukkan ke dalam GRC East Coast, Encik Tong berkata beliau terharu dan gembira diterima masuk oleh DPM Heng ke dalam keluarga GRC tersebut.
“Saya telah berada di sini dengan pasukan Marine Parade selama 10 tahun yang lalu. Sukar untuk saya tinggalkan pasukan ini.
“Sempadan telah berubah, namun persahabatan yang telah saya jalin bersama penduduk tidak akan berubah. Program untuk penduduk Joo Chiat akan diteruskan, meskipun sempadan GRC berubah,” kata Encik Tong.
Meskipun wajah baru seperti Cik Hazlina dan Dr Choo telah diperkenalkan, Dr Tan berkata barisan calon yang bakal bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada GE2025 masih belum dimuktamadkan.
Ini kerana dengan Encik Tong bakal berpindah ke GRC East Coast, terdapat enam anggota – Dr Tan, Encik Seah, Encik Fahmi, Cik Tin, Dr Choo, Cik Hazlina – yang mungkin bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights yang hanya mempunyai tempat untuk lima anggota sahaja.
Ketika ditanya sama ada beliau sedia untuk memimpin GRC tersebut sebagai Menteri Utamanya, Dr Tan berkata:
“Saya tidak menjangka sama ada saya akan memimpin GRC ini atau tidak. Namun, sekiranya Perdana Menteri bertanya, saya sedia untuk memimpin,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg