Topik diikuti
Pergi ke BHkuFaishal mohon maaf kecewakan penduduk, penyokong
Faishal mohon maaf kecewakan penduduk, penyokong
Enggan ulas lanjut mengenai keputusan letak jawatan, minta privasi keluarga dihormati
Faishal mohon maaf kecewakan penduduk, penyokong
Mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim telah memohon maaf kepada penduduk dan penyokongnya kerana mengecewakan mereka dengan perbuatannya.
Beliau juga melahirkan harapan supaya orang ramai memahami keputusannya untuk meletak jawatan sebagai menteri dan Anggota Parlimen (AP) dan supaya tidak mengulas lebih lanjut mengenai keputusannya itu demi menghormati privasi keluarganya.
Menulis di Facebook pada 20 Julai, Dr Faishal berkata: “Saya mohon maaf yang sedalam-dalamnya kerana telah mengecewakan penduduk dan penyokong saya, yang telah meletakkan kepercayaan mereka kepada saya.
“Saya tahu berita ini akan mengejutkan ramai orang. Saya harap anda semua dapat memahami keputusan saya untuk tidak mengulas lanjut, demi menghormati privasi keluarga saya.”
Menambah, beliau berkata beliau yakin penduduk di Kembangan akan dijaga dengan baik oleh AP lain di GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada isterinya yang telah menyokongnya sepanjang tempoh sukar ini.
Dr Faishal, yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam dan Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri) mengumumkan beliau telah meletak jawatan sebagai menteri dan AP pada 20 Julai.
Beliau, yang menganggotai jawatankuasa eksekutif Parti Tindakan Rakyat (PAP) turut mengundur diri dari parti.
Awal dari itu, kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada hari yang sama mengatakan Dr Faishal berbuat demikian susulan “kesilapan pertimbangan” ketika mengendalikan interaksinya dengan seorang wanita, yang merupakan seorang orang awam.
Dalam kenyataan itu, Perdana Menteri Encik Lawrence Wong berkata beliau dimaklumkan tentang perkara tersebut kira-kira sebulan lalu dan perkara itu telah diserahkan kepada pihak polis selepas kededua Dr Faishal dan wanita itu mendakwa masing-masing mengganggu satu sama lain.
Siasatan polis, yang juga berunding dengan Jabatan Peguam Negara, mendapati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana pihak, kata kenyataan itu.
PMO juga menerbitkan surat yang dikirimkan Dr Faishal kepada Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong untuk menyatakan hasrat meletak jawatan, serta surat balas daripada Encik Wong kepada Dr Faishal.
Dalam surat peletakan jawatan yang dikirimkan kepada Encik Wong, Dr Faishal berkata tiada hubungan fizikal berlaku antara beliau dengan wanita tersebut.
Dr Faishal turut menekankan bahawa beliau tidak berniat untuk membiarkan interaksinya dengan wanita itu berkembang menjadi hubungan fizikal.
Namun begitu, Dr Faishal berkata beliau sedar bahawa kelakuannya tidak memenuhi piawaian yang diharapkan, dan tidak selaras dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.
“Terdapat kesilapan pertimbangan bagi pihak saya dalam cara saya mengendalikan interaksi tersebut, dan dalam kegagalan menetapkan batasan yang lebih jelas pada peringkat lebih awal,” katanya.
Justeru, Dr Faishal berkata beliau membuat keputusan untuk berundur diri daripada politik, supaya beliau dapat menumpukan masa dan perhatiannya kepada keluarga.
Dalam suratnya kepada Dr Faishal, Encik Wong berkata beliau menerima keputusannya untuk meletak jawatan.
Encik Wong turut meluahkan penghargaannya kepada Dr Faishal atas sumbangannya yang besar sepanjang dua dekad bersama perkhidmatan awam.
“Anda telah memberikan sumbangan besar sepanjang 20 tahun dalam perkhidmatan awam. Khususnya, saya menghargai perkhidmatan anda sepanjang setahun lalu sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. Saya mengucapkan terima kasih atas semua sumbangan anda yang banyak kepada Singapura,” kata Encik Wong.
Dalam hantarannya di Facebook pada 20 Julai, Dr Faishal turut melahirkan penghargaannya kepada rakyat Singapura atas persahabatan dan sokongan yang diberikan kepadanya selama ini. Menambah, beliau berkata usaha untuk memperkukuh masyarakat akan berterusan dan merupakan “usaha kolektif yang jauh lebih besar daripada mana-mana individu”.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, mengambil alih sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
“Saya yakin bahawa SMS Zaqy Mohamad dan pasukannya akan meneruskan kerja ini dengan komitmen dan perhatian.
“
“Terdapat kesilapan pertimbangan bagi pihak saya dalam cara saya mengendalikan interaksi tersebut, dan dalam kegagalan menetapkan batasan yang lebih jelas pada peringkat lebih awal.”“
“Anda telah memberikan sumbangan besar sepanjang 20 tahun dalam perkhidmatan awam. Khususnya, saya menghargai perkhidmatan anda sepanjang setahun lalu sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam. Saya mengucapkan terima kasih atas semua sumbangan anda yang banyak kepada Singapura.”