Lebih setahun lalu, Dr Syed Harun Alhabsyi, membuat keputusan yang bukan mudah.

Beliau bukan sahaja meninggalkan kerjaya sebagai pakar psikiatri dan menutup klinik swastanya sendiri, malah melangkah ke dunia politik sebagai Anggota Parlimen (AP) baharu bagi GRC Nee Soon sebelum diberi amanah menyandang jawatan Setiausaha Parlimen Kanan di Kementerian Pendidikan (MOE) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Bagi beliau, keputusan itu merupakan pengorbanan besar.

“Apabila masuk ke gelanggang politik ini, terutama sekali apabila menyertai pemerintah, memang perlu kita tinggalkan apa yang kita lakukan sebelum itu dan terus fokus kepada tanggungjawab yang ada sekarang,” katanya dalam podcast BHerbual, Berita Harian.

Sebagai pengasas sebuah klinik psikiatri swasta, antara perkara yang paling membimbangkan beliau ketika membuat keputusan itu adalah memastikan kebajikan pesakit serta pekerjanya terus terpelihara.

Beliau mengambil masa sekitar enam hingga tujuh bulan untuk menutup operasi kliniknya secara berperingkat, termasuk menguruskan proses pemindahan pesakit kepada doktor lain agar rawatan mereka tidak terjejas.

“Yang paling saya risau ialah bagi pesakit-pesakit saya yang sudah lama mendapatkan rawatan di klinik saya. Bagaimana kesinambungan keperluan mereka. Itu yang utama bagi saya,” katanya.

Walaupun meninggalkan bidang klinikal, minat mendalam terhadap kesihatan mental masih diteruskan dalam tugas baharunya.

Di MOE, antara bidang yang diberikan perhatian khusus adalah kesejahteraan mental pelajar, pendidikan khas dan usaha memperkukuh pembelajaran bahasa ibunda, termasuk Bahasa Melayu.

“Bagi MOE, tumpuan khusus saya ialah melihat kepada kesihatan mental pelajar-pelajar kita, sekolah pendidikan khas dan juga bahasa ibunda,” jelas beliau.

Dr Syed Harun Alhabsyi mengunjungi sekolah bagi pelajar autisme, Pathlight School. Pendidikan Khas bagi kanak-kanak istimewa adalah antara bidang tumpuan beliau di Kementerian Pendidikan (MOE).
Dr Syed Harun Alhabsyi mengunjungi sekolah bagi pelajar autisme, Pathlight School. Pendidikan Khas bagi kanak-kanak istimewa adalah antara bidang tumpuan beliau di Kementerian Pendidikan (MOE). - Foto FACEBOOK DR SYED HARUN ALHABSYI
Di Kementerian Pembangunan Negara (MND) pula, antara tumpuan Dr Syed Harun Alhabsyi (kiri), ialah perumahan sewa. Foto ini merakamkan kunjungan beliau bagi menemui keluarga yang tinggal di flat sewa.
Di Kementerian Pembangunan Negara (MND) pula, antara tumpuan Dr Syed Harun Alhabsyi (kiri), ialah perumahan sewa. Foto ini merakamkan kunjungan beliau bagi menemui keluarga yang tinggal di flat sewa. - Foto fail

Di MND pula, tumpuan beliau tertumpu kepada isu perumahan awam, khususnya flat sewa serta keperluan golongan rentan seperti warga emas dan keluarga berpendapatan rendah.

Walaupun skop kedua-dua kementerian itu luas, beliau melihatnya sebagai peluang untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dalam kapasiti yang lebih besar.

“Apabila diberi peluang untuk ke hadapan dan menyumbang kepada negara dan masyarakat, susahlah untuk kita katakan tidak,” ujarnya.

Melihat Nee Soon daripada lensa penduduk

Sebagai AP penggal pertama, Dr Syed Harun berkata pengalaman turun padang sepanjang setahun lalu banyak membentuk pemahamannya tentang keperluan penduduk.

Beliau memilih untuk melihat kawasan undinya bukan sekadar dari sudut seorang AP, tetapi sebagai seorang penduduk yang berkongsi kehidupan harian dengan masyarakat setempat.

“Bagi saya, penduduk saya ibarat keluarga besar. Saya membawa lensa sebagai penduduk. Apa yang mungkin sebagai penduduk saya inginkan bagi semua di situ,” katanya.

Pendekatan itu turut membantu beliau menyesuaikan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk majlis bandaran, agensi pemerintah dan pertubuhan masyarakat.

Menurutnya, pengalaman lama dalam badan kemasyarakatan seperti Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Yayasan Mendaki dan pelbagai pertubuhan sukarela memberikan asas yang berguna untuk membina hubungan serta mencari titik persamaan dalam menyelesaikan masalah.

“Walaupun kita AP, kita tidak semestinya tahu segalanya. Ada benda yang perlu kita pelajari terlebih dahulu,” ujarnya.

Sambung legasi, bina masa depan

Dr Syed Harun turut mengakui beliau mewarisi tanggungjawab yang besar apabila mengambil alih peranan yang sebelum ini digalas oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Nee Soon.

Beliau menyifatkan Dr Faishal sebagai pemimpin yang berjaya menjalin hubungan rapat dengan penduduk melalui keikhlasan, kehadiran tekal di lapangan dan tindakan yang berkesan.

Big shoes to fill (tugas besar untuk dicontohi),” katanya.

Selain tugas di kawasan undi, beliau juga terlibat dalam usaha memperkukuh pembangunan belia Melayu/Islam menerusi Pasukan Petugas Antara Agensi bagi Belia Melayu/Islam.

Menurutnya, golongan muda hari ini mempunyai cita-cita dan aspirasi yang jauh lebih pelbagai berbanding generasi terdahulu.

“Ada yang berminat dalam AI (kecerdasan buatan), ada yang dalam isu-isu kemampanan atau sustainability, ada yang mahu jadi usahawan, ramai juga yang mengambil laluan tidak konvensional jadi powerlifter dan skateboarder. Jadi potensi belia kita amat menyerlah sekali,” katanya.

Beliau percaya tugas pemimpin bukan sekadar memahami aspirasi golongan muda, malah, membuka ruang dan peluang untuk mereka merealisasikannya.

Pendidikan dan perumahan kekal utama

Dalam bidang pendidikan, beliau menegaskan matlamat MOE bukan untuk mengurangkan tekanan sistem pendidikan.

Sebaliknya, cabarannya adalah mencari keseimbangan antara kecemerlangan akademik dengan kesejahteraan pelajar.

“Kita memberi tumpuan yang berkurangan sedikit kepada peperiksaan semata-mata dan melihat secara holistik bagaimana kita dapat memupuk anak-anak kita menjadi warga negara yang berwibawa dan mempunyai daya tahan,” katanya.

Dalam sektor perumahan pula, beliau mengakui kebimbangan masyarakat mengenai peningkatan harga flat jualan semula.

Namun, beliau menegaskan pemerintah terus memantau keadaan dengan teliti dan kekal komited memastikan perumahan awam mampu dimiliki rakyat Singapura.

“Selagi mana ada keperluan bagi warga negara kita, perlu kita kekalkan kemampuan memiliki rumah,” katanya.

Bagi Dr Syed Harun, perjalanan daripada seorang doktor kepada AP dan pemegang jawatan politik masih merupakan proses pembelajaran yang berterusan.

Namun, prinsip yang membimbingnya sejak dahulu kekal sama.

“Keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan menabur bakti kepada masyarakat,” katanya.

“Kalau dipanggil untuk menyandang tanggungjawab sebegitu, kita harus cuba sedaya upaya,” ujar beliau.

Imbas kod QR untuk mendengar podcast penuh.
Imbas kod QR untuk mendengar podcast penuh. - Foto BH