Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syed Harun tolak dakwaan tidak berwibawa semasa khidmat sebagai NMP

Tekankan peri penting Ketua Pembangkang patuhi piawaian etika tertinggi
Jan 14, 2026 | 10:30 PM
Parlimen, Syed Harun, NMP
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi. - Foto MDDI

Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi, mempertahankan integritinya ketika beliau berkhidmat sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP) sebelum ini semasa perbahasan usul tentang kesesuaian Encik Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang pada 14 Januari.

Semasa menyertai perbahasan mengenai usul tersebut, Dr Syed Harun berkata adalah penting bagi Ketua Pembangkang untuk berkelakuan dengan penuh hormat dan integriti serta mematuhi piawaian etika tertinggi.

Beliau menambah walaupun sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa ini adalah satu piawaian yang terlalu tinggi, namun ia adalah piawaian yang diperlukan untuk memelihara kemurnian prosiding di Parlimen Singapura.

Berikutan ucapannya itu, Anggota Parlimen (AP) Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) berkata Dr Syed Harun telah mempersoalkan tentang integriti dalam ucapannya dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Cik Lim mempersoal integriti Dr Syed Harun yang meletak jawatan sebagai NMP pada 2025 menjelang Pilihan Raya Umum (GE2025).

Menyusuli itu, Dr Syed Harun telah bertanding dalam GE2025 sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Dalam jawapannya, Dr Syed Harun berkata perkara yang dibangkitkan oleh Cik Lim tidak relevan dengan usul yang sedang dibincangkan.

Menurutnya, urutan kejadian dan keadaan di mana beliau akhirnya meletak jawatan sebagai NMP diketahui umum.

Beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti semasa berkhidmat sebagai NMP, kata beliau.

“Saya tidak bersetuju secara terang-terangan mengenai hujah yang mempersoalkan integriti saya tentang apa yang telah berlaku pada masa lalu dan semasa saya berkhidmat sebagai NMP.

“Jelas sekali, saya tidak memihak kepada mana-mana parti, dan pada ketika ini, saya agak jelas dari segi pemikiran saya tentang integriti, dan saya berpegang teguh dengan apa yang baru saya katakan,” kata Dr Syed Harun.

Semasa berucap tentang usul itu, Dr Syed Harun berkata pejabat Ketua Pembangkang mempunyai tanggungjawab yang besar, yang timbul daripada kedudukan beramanah.

Daripada pejabat Ketua Pembangkang, rakyat Singapura berhak menuntut piawaian tertinggi untuk memimpin melalui teladan dan untuk menentukan nada dan tenor bagaimana pembangkang menjalankan diri mereka di Singapura, tambahnya.

Beliau menambah Encik Pritam telah diberi peluang yang mencukupi untuk membersihkan namanya dan mempertahankan tuduhan terhadapnya melalui proses yang sewajarnya.

Menurut Dr Syed Harun, sebagai AP, mereka mempunyai tanggungjawab yang serius untuk menghormati dan mematuhi semua undang-undang negara, bertindak dengan integriti sepanjang masa, dan menghormati kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat Singapura.

“Berbohong, melindungi atau menyembunyikan ketidakbenaran, malah mempertimbangkan sama ada sesuatu ketidakbenaran itu akan terbongkar secara asasnya melanggar kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Singapura kepada kami.

“Tindakan sedemikian... membawa keburukan kepada Dewan ini,” kata Dr Syed Harun.

Dalam hal ini, Dr Syed Harun berkata Encik Pritam telah gagal dalam membimbing Cik Raeesah Khan, seorang AP yang baru ketika itu, untuk bertanggungjawab atas tindakannya.

Tambah beliau, kini terpulang kepada Parlimen untuk membuat kesimpulan bahawa tindakan Encik Pritam “tidak boleh diterima dan tidak wajar”.

Dr Syed Harun berkata: “Biarlah generasi akan datang ingat bahawa Parlimen ini tidak berpaling daripada tingkah laku yang tidak bermaruah itu.

“Sebaliknya, kami menangani perkara ini dengan tepat dan tegas, dan kami melakukannya tanpa teragak-agak.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg